Di tengah landskap sosial, teknologi dan pendidikan yang semakin cepat berubah, keadaan dan tahap kesejahteraan mental remaja di Malaysia perlu dilihat sebagai satu isu penting, bukan sekadar permasalahan peribadi, tetapi sebagai cabaran sosial dan kesihatan awam yang perlu ditangani secara menyeluruh. Golongan remaja, khususnya mereka yang berumur antara 10 hingga 17 tahun, melalui satu fasa kehidupan yang kritikal dari segi pembentukan identiti diri, emosi, sosial dan akademik. Tekanan akademik, media sosial, perubahan struktur keluarga serta kesan jangka-panjang pandemik telah meletakkan kelompok ini dalam kedudukan yang rentan. Oleh itu, pemetaan semasa terhadap keadaan kesihatan mental remaja di Malaysia adalah langkah awal yang sangat diperlukan, dan menuntut pembuat dasar, institusi pendidikan, komuniti dan keluarga dapat merangka intervensi lebih tepat, efisien dan berterusan.
Kajian terkini yang dijalankan oleh Institute for Youth Research Malaysia (IYRES) bersama UNICEF Malaysia menghasilkan laporan Malaysian Youth Mental Health Index 2023 (MyMHI’23) telah memberi beberapa gambaran mengenai status kesihatan mental belia di Malaysia. Kajian ini yang meliputi tujuh domain: gaya hidup (lifestyle), persekitaran (surrounding environment), ciri individu (personal characteristics), pengalaman hidup (life experience), sokongan sosial (social support), mekanisme penanggungan (coping mechanism) dan pemikiran sihat (healthy mind). Menurut laporan tersebut, skor keseluruhan bagi belia berumur 15-30 tahun ialah 71.91 daripada 100, yang dikategorikan sebagai tahap “risiko sederhana”. Antara domain yang menunjukkan prestasi paling rendah adalah “surrounding environment” dan “social support”, satu cerminan bahawa sokongan sosial serta persekitaran yang menyokong kesejahteraan mental masih belum mencukupi.
Sebagai contoh terkini, laporan daripada Bernama pada Mei 2025 menyatakan bahawa kes-kes penolakan sekolah (school refusal) dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia semakin meningkat di mana punca utama termasuk kebimbangan sosial, buli dalam talian atau luar talian, konflik keluarga, dan tekanan akademik. Tambahan pula, gangguan kesihatan mental pada hakikatnya merupakan “bom jangka masa” yang sedang meliar dalam kalangan belia Malaysia, dan keadaan ini jika tidakdikenalpasti dan diuruskan sebaiknya, akan memberi implikasi amat merbahaya terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara.
Dari segi dasar, kerajaan Malaysia melalui National Strategic Plan for Mental Health 2020‑2025 telah menetapkan antara sasaran utama untuk pengurangan kadar kemurungan remaja dari 18 % ke 10 % menjelang 2025. Ini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental belia diiktiraf sebagai keutamaan nasional. Di antara beberapa cabaran utama yang menyumbang kepada isu kesejahteraan mental golongan ini adalah berkaitan dengan persekitaran dan sokongan social. Skor rendah dalam domain “surrounding environment” dan “social support” menunjukkan ramai belia merasa persekitaran keluarga, sekolah, komuniti dan rakan sebaya kurang menyokong.
Selain itu, tekanan akademik dan konflik identiti digital di mana ramai kini berhadapan dengan beban pencapaian akademik, harapan tinggi guru dan keluarga, serta cabaran dunia digital: media sosial, perbandingan sosial (social comparison), cyber-bullying dan FOMO (fear of missing out) turut membantu memburukkan keadaan.
Kajian terkini menunjukkan bahawa faktor individu seperti kaum wanita, usia muda, etnik tertentu serta status sosio-ekonomi yang rendah berkait rapat dengan tahap tekanan psikologi yang lebih tinggi dalam kalangan remaja Malaysia. Pada masa sama, walaupun kesedaran tentang kesihatan mental semakin meningkat, ramai remaja masih gagal mendapatkan bantuan akibat stigma sosial terhadap isu ini serta kekurangan pakar kesihatan mental dalam persekitaran sekolah atau dalam kawasan luar bandar. Tambahan pula, masalah yang nyata seperti keengganan hadir ke sekolah (“school refusal”) selepas pandemik turut mencerminkan tahap pengasingan sosial dan kemerosotan kesejahteraan emosi yang semakin meluas. Akhirnya, walaupun wujud dasar nasional yang mentadbir intervensi kesihatan mental, terdapat jurang signifikan dalam pelaksanaannya, di samping kekurangan data yang komprehensif berdasarkan lokasi, etnik dan tahap sosio-ekonomi, yang amat menyukarkan pelaksanaan intervensi yang lebih bersasar dan berkesan. Dalam Islam, kaedah intervensi adalah bersifat holistik.
Ini kerana, kesihatan mental bukan sekadar ketiadaan gangguan psikologi tetapi merangkumi kesejahteraan jiwa secara holistik meliputi kesedaran rohani, hubungan seimbang dengan diri sendiri, dengan Pencipta dan masyarakat. Nilai murni seperti wasatiyyah (kesederhanaan), amanah, sabar, redha, dan ukhuwah (persaudaraan) membentuk asas pemulihan emosi dan sosial remaja dengan menanam keseimbangan rohani serta sosial dalam diri. Pendidikan jiwa dan pembinaan karakter Islam yang diterapkan di sekolah dan komuniti dapat memperkukuh daya tahan terhadap tekanan hidup melalui pembentukan disiplin, kawalan kendiri, empati dan kesedaran diri. Menyepadukan perspektif Islam dalam intervensi kesihatan mental remaja bukan sekadar menyediakan rawatan psikologi, tetapi juga menghubungkan remaja dengan sistem nilai yang memberi makna, harapan dan arah hidup yang jelas. Pendekatan ini penting dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduknya Muslim, agar rawatan dan sokongan yang diberikan selaras dengan budaya serta kepercayaan agama, seterusnya menjadikan usaha pemulihan mental lebih berkesan dan berakar pada nilai spiritual.
Namun begitu, dalam menghadapi cabaran besar ini terdapat pelbagai peluang intervensi yang boleh dimanfaatkan merangkumi pengupayaan teknologi. Dengan semakin meluasnya capaian internet dan aplikasi digital, teleperubatan dan terapi dalam talian kesihatan mental boleh menjangkau remaja di kawasan luar bandar atau yang sukar datang ke pusat fizikal. Memperlengkapkan institusi sekolah dan institusi pengajian tinggi sebagai platform intervensi awal dan pusat teras untuk literasi kesihatan mental, latihan guru sebagai pemantau awal, screening stres/kebimbangan secara berkala. Memperkukuhkan sistem komuniti dan keluarga sebagai rangkaian sokongan, serta mengeratkan kerjasama antara agensi dan multisektor pelbagai kementerian dan agensi. Agensi-agensi Islam seperti jabatan agama, masjid dan persatuan belia Islam juga boleh dilibatkan peranan sebagai ‘ruang selamat’ bagi remaja berbicara mengenai isu kesihatan mental.
Bagi memperkukuh kesihatan mental remaja, langkah strategik perlu memberi tumpuan kepada pencegahan awal, pendidikan dan integrasi nilai Islam. Antara keutamaan bukan hanya meningkatkan bilangan kaunselor, tetapi lebih meningkatkan kualiti dan kemahiran mereka, serta mengiktiraf peranan ahli profesional yang lain untuk menyumbang kepakaran dalam persekitaran sekolah dan di institusi pendidikan serta melatih guru sebagai pengesan awal tekanan emosi. Program kesedaran perlu menggunakan pendekatan digital seperti media sosial, video pendek dan “chatbot” interaktif yang selaras dengan gaya hidup remaja Muslim. Selain itu, fenomena seperti “school refusal” wajar dikenal pasti lebih awal melalui intervensi berasaskan tazkiyah al-nafs dan pembinaan karakter Islam yang mampu memperkukuh ketahanan rohani, emosi dan sosial remaja.

