Pada 17 April lalu, Perdana Menteri menyeru agar rakyat Malaysia mewujudkan keluarga bahagia. Seruan ini dibuat kerana beliau percaya bahawa keluarga bahagia adalah salah satu kekuatan untuk membangunkan negara. Ini amat benar. Cuma, oleh kerana pembangunan negara amat sering dikaitkan dengan pembangunan ekonomi dan politik, maka pembangunan keluarga sering dilihat sebelah mata.
Salah satu prinsip gagasan Islam Hadhari ialah kehidupan berkualiti. Jika dilihat kepada Indeks Kualiti Hidup Malaysia, kita akan dapati bahawa ia merangkumi banyak aspek kehidupan iaitu pendapatan dan pengagihannya; alam pekerjaan; pengangkutan dan komunikasi; kesihatan; pendidikan; perumahan; alam sekitar; penglibatan sosial; keselamatan awam; budaya dan hiburan; termasuklah kehidupan berkeluarga.
Jika baik kedudukan mata aspek-aspek kehidupan ini, akan baiklah kualiti hidup kita.
Sebenarnya, kualiti hidup berkeluarga amat mempengaruhi dan sangat dipengaruhi oleh aspek lain kehidupan kita. Misalnya, perselisihan faham dengan pasangan akan membantutkan semangat di tempat kerja, manakala tekanan di tempat kerja akan menjejaskan hubungan kita di rumah.
Begitu juga, harga barang yang semakin meningkat kini, sedikit sebanyak menjejaskan kualiti hidup keluarga kita.
Bila bercakap tentang kualiti hidup keluarga, kita sering merujuk kepada pendapatan keluarga tersebut, jenis kediaman dan kenderaan yang dimiliki, taraf pendidikan suami-isteri dan seumpamanya. Ini hanyalah sebahagian daripada kayu ukurnya.
Namun, kualiti hidup keluarga juga perlu diukur dengan perkara-perkara yang bukan material.
Dalam Islam, kriteria-kriteria kehidupan keluarga berkualiti ini dinyatakan dengan jelas dalam ayat 21, surah ar-Rum yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih-sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Kriteria-kriteria itu ialah suami-isteri yang:
(i) bersenang hati (berlapang dada) antara satu sama lain;
(ii) hidup mesra;
(iii) saling sayang-menyayangi; dan
(iv) wujud dalam hati mereka rasa belas kasihan antara satu sama lain.
Cabaran
Walaupun Islam menjanjikan kesejahteraan melalui institusi perkahwinan dan kekeluargaan, malangnya kehidupan berkeluarga pada hari ini semakin terjejas kualitinya.
Begitu banyak cabaran yang perlu dihadapi dan tidak kurang juga perkahwinan yang kecundang.
Untuk bertahan dan berhadapan dengan cabaran-cabaran ini, ahli keluarga memerlukan ilmu serta kemahiran kekeluargaan yang sesuai dengan keperluan semasa.
Dari segi ini, ahli keluarga perlu sentiasa berusaha untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran itu pada setiap masa dan tidak terhad pada kursus praperkahwinan semata-mata.
Isu sama ada masyarakat kita perlu atau tidak menghadiri kursus pascaperkahwinan, heboh diperkatakan baru-baru ini.
Ada di kalangan keluarga di Malaysia yang amat memerlukan kursus pasca perkahwinan ini.
Jika tidak, rumah tangga mereka akan porak peranda, jumlah perceraian akan bertambah, bilangan anak-anak yang menerima kesan daripadanya juga akan meningkat.
Walaupun perceraian itu dibenarkan agama, namun membesar dalam keluarga yang tiada salah seorang ibu atau bapa bukanlah norma yang ingin kita wujudkan dalam masyarakat hadhari ini.
Kepada mereka yang sering menyertai seminar keluarga atau wanita, tentu bersetuju bahawa antara cadangan atau resolusi yang popular dalam seminar-seminar seperti ini ialah agar diadakan kursus pascaperkahwinan.
Ini menunjukkan bahawa telah ada kesedaran tentang perlunya kursus pasca perkahwinan ini diadakan.
Walaupun banyak seminar yang dianjurkan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan keluarga kepada ahli masyarakat, namun setakat ini tiada paksaan dikenakan untuk menyertainya.
Akibatnya, pihak penganjur hanya preaching to the converted. Keluarga yang tidak bermasalah, terus cemerlang prestasinya, manakala keluarga yang bermasalah terus-terusan bermasalah.
Keadaan ini tidak menyumbang kepada pembangunan keluarga secara keseluruhannya.
Memang benar bahawa mewajibkan mereka yang telah berkahwin selama 10 tahun dan ke atas untuk menghadiri kursus pascaperkahwinan bukanlah sesuatu yang realistik.
Namun, mengetepikan terus cadangan ini juga adalah tidak realistik. Melihat kepada pelbagai masalah yang berlaku dalam institusi keluarga kita dewasa ini, penulis berpendapat perlu difikirkan dengan lebih terperinci lagi tentang cara bagaimana keluarga-keluarga yang bermasalah dapat diberikan kursus-kursus seperti ini untuk memperbaiki kualiti hidup keluarga mereka.
Sementara itu, kepada mereka yang berminat, IKIM akan menganjurkan Seminar Islam Hadhari: Kefahaman Mengenai Kehidupan Keluarga Berkualiti pada 7 hingga 8 Jun 2005 di Dewan Besar IKIM.
Seminar ini akan menyentuh tentang;
(i) ajaran Islam mengenai pembangunan keluarga;
(ii) persefahaman luhur suami-isteri;
(iii) pengurusan kewangan dan harta untuk keluarga;
(iii) penyelesaian konflik dan kaunseling keluarga; dan,
(iv) perbincangan tentang institusi keluarga dari perspektif pelbagai agama.