Kebijaksanaan hakim adalah harapan negara. Ini kerana para hakimlah yang menjadi penentu kepada prinsip perundangan negara. Badan Perundangan adalah mereka yang dalam membuat undnag-undnag. tetapi apabila undang-undang tersebut siap dibuat, ia akan diserahkan kepada Badan Eksekutif untuk pelaksanaan. Kemudiannya undang-undang diserahkan kepada mahkamah untuk ditafsir.
Dalam konsep pengasingan kuasa, mahkamah merupakan institusi yang diamanahkan dengan tanggungjawab mengawal dan menyemak pelaksanaan undang-undang oleh para eksekutif.
Umumnya sekira kita melihat kepada fungsi mahkamah, perkara yang menjadi perhatian ialah kriteria para hakim.
Setakat ini perbahasan awam tentang kriteria atau syarat lantikan hakim masih lagi tidak seberapa. Perbahasan lebih ekslusif kepada mereka dalam ruang perundangan, seperti peguam sahaja.
Selain daripada syarat sebagai warganegara dan berada dalam jawatan berkaitan perundangan (sama ada sebagai peguam bela atau perkhimmatan perundangan lain) selama sekurang-kurangnya sepuluh tahun, sebagaimana termaktub dalam Perkara 123, Perlembagaan tidak melekatakkan syarat atau kriteria lain untuk seseorang itu dilantik menjadi hakim. Oleh itu, Perlembagaan tidak banyak membantu dalam penentuan kriteria lantikan hakim.
Dalam Perkara 125(3) dan (3A) Perlembagaan Persekutuan, ada disebut tentang para hakim perlu mematuhi Kod Etika yang disediakan menurut fasal 125(3B). Sebuah Kod Etika kemudiaanya yangtelah diwartakan pada 25 Jun 2009. Pada Bahagian III Kod Etika tersebut dinyatakan tentang tatakelakuan hakim, antara lain, untuk mendukung integriti dan kebebasan kehakiman, mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan, melaksanakan tugas-tugas kehakimana dengan adil dan cekap, mengurangkan risiko percanggahan antara tanggungjawab kehakiman dan aktiviti luar, mengisytihar harta, memberhentikan hubungan dengan firma guaman dan akhir sekali mematuhi arahan pentadbiran.
Pada jadual keenam Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang dilantik sebagai hakim da mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengambil sumpah jawatan kehakiman dengan menyatakan “menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya”.
Sebagaimana subjektif frasa-frasa dalam sumpah jawatan tersebut, begitulah juga kesannya ke atas kritiria hakim. Frasa ‘taat setia’ jelas tersurat, tetapi, apakah kriteria sebenar yang terangkum dalam frasa ‘taat setia’? Syarat ‘taat setia’ kepada Malaysia tidak kelihatan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diluluskan Parlimen pada awal 2009. Akta ini adalah satu Akta yang menyediakan prosedur lebih telus dalam pelantikan hakim. Namun, malang sekali ia tidak sedikitpun menyebut tentang ‘taat setia kepada Malaysia’ yang diangkat dalam sumpah jawatan para hakim.
Antara kriteria hakim yang disebut dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakima (sekyen 23) ialah mempunyai kualiti peribadi, keupayaan intelektual, cekap dan mampu menyelesaikan pertikaian dengan adil serta membuat keputusan berdasarkan kepada fakta dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Dengan kata lain, para hakim hendaklah mempunyai kelayakan yang melangkau kebolehan akademik.
Difaham dalam huraiannya, hakim-hakim juga hendaklah mempunyai pengalaman, menjaga maruah diri, rasional, ada keberanian, mempunyai kemahiran forensik, keupayaan berartikulasi, tekun, berintegriti intelektual dan bertenaga. Lebih daripada itu, hakim hendaklaah sabar itu dan menpunyai kualiti yang dipanggil kebijaksanaan (wisdom atau hikmah). Kemudiannya kualiti hakim itu hendaklah diperkaya dengan sifat rendah hati.
Mungkin sudah masanya untuk kita memperincikan dan membuka kepada perbahasan awam tentang kriteria pelantikan hakim. Ini kerana masyarakat berhak untuk menuntut daripada hakim kesetiaan kepada kualiti lantikan mereka.
Rang Undang-Undang pindaan Akta Hasutan tempohari yang telah diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen menunjukkan perubahan besar dalam undang-undang tentang kecenderungan menghasut. Kecenderungan “bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana Negeri” bukan lagi satu elemen kecenderungan menghasut. Pindaan ini membuka ruang kepada khalayak untuk membuat analisa atau komentar terhadap apa-apa keputusan kehakiman.
Sesungguhnya pindaan ini memberikan kesan yang sangat besar ke atas badan kehakiman. Oleh itu, mahkamah, atau para hakim hendaklah mempunyai pelan tindakan tersendiri dalam menempuh perubahan kepada undang-undang tersebut. Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah kriteria pelantikan. Ini kerana kelayakan atau kriteria seorang hakim akan sentiasa menjadi perbahasan sepanjang masa, perbahasan yang tiada noktah.