Sudah lebih kurang seminggu umat Islam menyambut Hari Raya. Syawal yang tiba dinantikan kerana ia menandakan hari kemenangan melawan hawa nafsu pada siang hari sepanjang Ramadan, serta kemenangan kerana dapat menghalang diri daripada melakukan perkara yang dilarang. Kesempatan menyambut Hari Raya bersama keluarga dan rakan semestinya menggembirakan lebih-lebih lagi selalunya agak sukar berkumpul beramai-ramai begitu.
Namun apa yang diperhatikan rata-rata masyarakat Malaysia sukar dipisahkan dari membincangkan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan kewangan dan kebendaan. Perbualan selalunya berkisar berkenaan duit, gaji, pangkat, bonus Raya, kereta baru, pelaburan dan sebagainya. Bagi yang lebih berani pula akan bertanya tentang bayaran sebulan untuk kereta dan rumah. Tidak ketinggalan juga pertanyaan tentang bayaran untuk taska, tadika dan transit anak-anak. Agak merimaskan juga sebenarnya bila diaudit sebegini. Sikap ini tidak hanya terhad kepada orang muda sahaja.
Orang yang sudah tua juga bersikap demikian. Mereka akan bertanyakan tentang bonus Raya dan sebagainya. Terdapat juga datuk dan nenek yang melebihkan cucu yang ibu bapanya memberi duit Raya yang banyak berbanding dengan cucu yang ibu bapanya hanya memberi sedikit saja duit Raya kepada mereka. Sikap pilih kasih ini jika berterusan diamalkan, akan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang. Apa salahnya memberikan layanan yang sama antara semua anak dan cucu? Bukankah mereka itu anak-anak dan cucu-cucu mereka juga.
Sikap suka membezakan antara anak-anak ini yang menyebabkan ada anak yang kurang gemar pulang ke kampung bila tiba Hari Raya. Dia akan sentiasa mencari alasan agar tidak perlu pulang ke kampung pada Hari Raya. Rasanya agak keterlaluan jika seluruh kehidupan adalah berkisar tentang kebendaan. Perkara ini akan menyebabkan suburnya budaya berhutang semata-mata untuk kelihatan ‘berduit’, walaupun sebenarnya seseorang itu memang tidak mampu.
Contoh yang biasa adalah peralatan dan gajet telefon terkini yang cara mudah mendapatkannya adalah belian secara kad kredit. Jika seseorang berhutang pula dengan Along, seluruh kehidupan keluarganya menjadi porak peranda kerana asyik ketakutan dikejar Along dan kuncu-kuncunya.
Harus juga diingat bahawa budaya kebendaaan dalam masyarakat juga akan menyebabkan rasuah berleluasa. Rasuah merupakan cara yang mudah untuk menjadi kaya. Persoalannnya sekarang mengapa di kalangan orang Islam ada yang mengambil rasuah? Walhal perkara ini dilarang keras, Allah telah berfirman dalam al-Quran:
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya” (al-Baqarah: 188).
Duit haram hasil mengambil rasuah yang diberi makan anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging mereka. Maka tidak hairanlah jika pada hari ini kita dapati anak-anak semakin nakal dan tidak mendengar cakap ibu bapa. Seperkara lagi berkaitan dengan ini adalah skim cepat kaya. Memang terdapat banyak skim cepat kaya yang hanya menunggu mangsa untuk diperdayakan. Semuanya berpunca daripada keinginan untuk menjadi kaya dengan cepat agar dipandang tinggi oleh masyarakat.
Kes-kes mencuri, meragut dan merompak juga semakin hari semakin berleluasa. Ia secara tidak langsung berpunca daripada sikap masyarakat yang terlalu kebendaan. Maka masyarakatlah yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Didik anak-anak kita agar tidak terlalu memandang kepada harta benda dunia dan bersikap terlalu materialistik. Memang tidak dinafikan wang adalah penting untuk kelangsungan hidup di dunia ini, namun ia bukanlah segala-segalanya. Jangan kita memandang rendah orang yang miskin dan tidak berharta.
Walau macamana miskinpun seseorang itu, dia masih mempunyai harga diri. Jangan terlalu mengejar agar dipandang tinggi oleh masyarakat. Apa yang lebih penting adalah pandangan Allah terhadap diri kita. Allah tidak pernah memandang berapa banyak harta yang dimiliki seseorang itu. Apa yang lebih penting adalah tahap ketakwaan dan keimanan seseorang itu kepada PenciptaNya.