Sumber utama ajaran Islam ialah kitab suci al-Quran. Kitab suci ini ialah mukjizat yang memberikan petunjuk kepada manusia keseluruhannya. Dalam al-Quran terkandung pelbagai rahsia dan panduan kepada manusia yang boleh membawa kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Antaranya termasuklah dalam aspek membangunkan ilmu. Ilmu seperti sains dan teknologi penting bagi membolehkan manusia menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Perkara ini jelas apabila Allah SWT memerintahkan manusia supaya menggunakan segala sumber asli yang ada di muka bumi ini bagi kebaikan dan kemajuan manusia.
Firman Allah SWT dalam ayat 21 Surah al-Mukminun yang bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum daripada susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”
Bagaimanapun, sebarang aktiviti membangunkan ilmu perlu dipandu berdasarkan nilai-nilai yang diberikan menerusi al-Quran supaya tidak membawa kepada kerosakan di muka bumi. Pendeknya, pembangunan ilmu perlu dipandu oleh nilai akhlak seperti yang dituntut oleh Islam.
Penggunaan sumber yang ada di muka bumi seperti haiwan ternakan, hasil tanaman, bahan api, galian, sumber perhutanan dan sebagainya memerlukan kepada pengetahuan sains dan aplikasi teknologi. Tanpa sains dan teknologi, adalah mustahil bagi manusia menggunakan sumber-sumber yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Namun, Islam melarang manusia daripada mengeksploitasi sumber asli sehingga membawa kepada kerosakan. Hal ini diperingatkan dalam ayat 41 Surah al-Rum yang bermaksud: “Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali bertaubat.”
Ayat ini menjelaskan akan kepentingan mentadbir dan menguruskan hasil bumi ini dijalankan secara beretika, bijaksana, terancang dan teliti. Penyelidikan dan pembangunan ilmu secara melulu tanpa mempertimbangkan buruk baiknya mendatangkan mudarat dan masalah kepada manusia.
Islam menggalakkan umatnya mendalami ilmu dengan sebanyak mungkin supaya dapat memastikan ilmu tersebut membawa manfaat dan bukannya mudarat. Perancangan yang teliti juga perlu supaya tidak berlaku pembaziran kos, masa dan tenaga dalam menggunakan teknologi khususnya bagi aktiviti-aktiviti yang berteraskan ekonomi.
Bagi membolehkan ilmu dikembangkan, antara perkara yang perlu dilakukan ialah membudayakan penyelidikan yang berteraskan nilai-nilai Islam. Tanpa budaya penyelidikan berteraskan nilai Islam, perkembangan ilmu termasuk sains dan teknologi berpotensi menyebabkan kerosakan.
Budaya penyelidikan ialah budaya yang mengkaji, meneliti dan membangunkan ilmu. Saranan ini banyak disebut dalam al-Quran apabila Allah SWT menyuruh manusia supaya sering memerhatikan alam tabii yang diciptakan-Nya dengan begitu sempurna dan sistematik.
Menerusi pemerhatian ini, manusia beroleh pengajaran dan meningkatkan iman serta takwa. Satu contoh boleh diambil daripada firman Allah SWT dalam ayat 164 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang berlayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia, demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi setelah matinya, serta Ia biakkan padanya berbagai-bagai jenis binatang, demikian juga peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dengan bumi, sesungguhnya pada semua itu ada tanda-tanda bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.”
Maka, agenda membudayakan kembali penyelidikan dalam masyarakat perlu dibentuk kembali kerana budaya inilah yang membawa kepada kemajuan dan kegemilangan Tamadun Islam yang terdahulu. Kekuatan Tamadun Islam sebenarnya bukan terletak semata-mata pada kekuatan ketenteraan, sebaliknya banyak bergantung kepada kekuatan penguasaan ilmu. Seandainya penyelidikan dalam bidang ilmu seperti sains dan teknologi ini dipacu dan dipandu oleh nilai-nilai Islam, maka umat Islam mampu membangunkan satu tamadun pada zaman moden ini yang seimbang bagi membawa kepada kejayaan dunia dan akhirat.