Ramadan semakin hampir ke penghujungnya. Bagi ibu bapa, persiapan perlu dibuat seawal mungkin. Walaupun mungkin hanya ala kadar, namun perancangan berkenaan juadah untuk dihidangkan, warna dan tema pakaian serta tarikh untuk pulang ke kampung tetap ada.
Lazimnya, kanak-kanak yang paling gembira menjelang hari raya. Di sesetengah kampung dan taman perumahan, mereka akan mula ‘meronda’ ke rumah jiran sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat hari raya Aidil Fitri di masjid atau surau. Bukan sahaja dapat berkunjung ke rumah jiran dan merasa juadah yang dijamu, malah yang paling seronok ialah mengutip duit raya!
Tradisi memberi duit dan hari perayaan adalah sinonim dalam kebanyakan budaya dan masyarakat. Saya teringat ketika di bangku sekolah, rakan-rakan berbangsa Cina bercerita tentang sampul merah berisi duit yang mereka ‘raih’ pada Tahun Baru. Di Oman, di mana saya bermastautin hampir sedekad lamanya, anak-anak juga menerima duit raya daripada rakan-rakan yang berkunjung ke rumah. Bagi masyarakat Cina, duit raya diletakkan di dalam sampul berwarna merah, iaitu warna ‘ong’ atau warna yang memberi tuah. Bagi masyarakat Melayu dan kaum lain, warna tidak penting. Malah terdapat berbagai-bagai bentuk sampul raya dijual menjelang Aidil Fitri.
Ada yang menganggap amalan memberi duit raya pada hari raya Aidil Fitri sebagai tashabbuh atau menyamai amalan memberi ang pow dalam tradisi masyarakat Cina. Namun, hakikatnya amalan memberi duit raya ini berakar umbi sebagai amalan bersedekah yang sangat dianjurkan dalam Islam. Bertepatan dengan amalan bersedekah, sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga, diikuti dengan orang lain yang bukan ahli keluarga. Pemberian kepada ahli keluarga menghasilkan dua ganjaran iaitu ganjaran pahala bersedekah, dan juga ganjaran pahala menyuburkan silaturrahim kekeluargaan.
Namun, adakala amalan yang baik ini boleh tercemar dengan perkara yang tidak sepatutnya. Agama menyuruh kita berlumba berbuat baik; namun kita dilarang untuk merasa ujub, dan riak dengan kebaikan yang kita lakukan seperti mana yang dinyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 264. Pemberian duit raya ialah suatu bentuk sedekah, dan sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang tidak diketahui umum. Rasululullah S.A.W. bersabda bahawa antara golongan yang mendapat naungan Allah S.W.T ialah seseorang yang bersedekah lalu menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya (Riwayat Bukhari 1423).
Mungkin kita perlu lebih bijak pada hari raya di mana sanak saudara berkumpul dan sukar untuk memberi duit raya secara tersembunyi. Sekiranya kita ingin memberi duit raya yang dirasakan lebih tinggi nilainya daripada orang lain, seeloknya diletakkan dalam sampul yang ditutup rapi. Sekiranya pemberian yang bernilai tinggi itu adalah kepada isteri dan anak-anak, elakkan memberi di hadapan ahli keluarga yang lain seperti adik-beradik dan ipar.
Bukan itu sahaja, bersedekah dan berinfak adalah ibadah yang bertujuan untuk membersihkan jiwa. Namun, sekiranya sedekah dan infak yang dihulur menimbulkan ujub atau rasa bangga maka tersia-sialah sedekah itu. Apatah lagi sekiranya ia menjemput sakit hati, iri hati dan hasad dengki orang lain yang melihatnya, tentulah tercemar suasana hari raya yang sepatutnya harmoni dan ceria. Sedekah dan duit raya juga tidak perlu dijadikan satu pertandingan sehingga menjadi beban kepada si pemberi. Hukum memberi duit raya adalah harus; maka tidak wajar ia dijadikan suatu kewajiban. Berilah berdasarkan kemampuan dan dengan sepenuh ikhlas.
Di samping itu, ibu bapa juga perlu cakna agar anak-anak tidak tersalah laku dalam keghairahan menerima duit raya. Asuhlah anak-anak dengan kemahiran sosial; malah hari raya ialah waktu terbaik mengasuh kemahiran ini. Ajarlah anak-anak yang bakal menerima duit raya agar tidak membuka sampul di hadapan saudara-mara dan tetamu lain, apatah lagi memberi komen tentang jumlah duit raya yang diterima. Ibu bapa perlu memahamkan anak-anak konsep syukur dan rasa berterima kasih atas apa yang diterima. Hari raya ialah waktu untuk saling menziarahi, berkenalan dan menjalinkan silaturrahim. Mengutip duit raya bukanlah matlamat sebenar hari raya, malahan agama melarang kita meminta-minta dan mengharapkan pemberian. Hari raya Aidil Fitri ialah hari kita meraikan kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang terlatih di bulan Ramadan. Ia juga hari kita kembali kepada fitrah diri yang bersih dan suci. Jadikan tradisi memberi dan menerima duit raya sebagai amalan yang menyuburkan jiwa bagi semua: orang yang memberi, orang yang menerima, serta juga orang yang melihat.