9 Mei ini kita akan bersama-sama memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara kita untuk lima tahun yang akan datang. Ini satu tanggungjawab bersama demi kebaikan semua. Apa-apa yang mendatangkan kebaikan, memerlukan penyertaan kita. Ini selaras dengan firmam Allah yang bermaksud, “… Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Maidah: 2)
Pilihan raya umum (PRU) 14 ini merupakan kali ke-5 penulis mengundi. Sama seperti lebih 14.6 juta pengundi berdaftar yang lain, penulis berasa amat bersemangat dan akan mengundi dengan penuh tanggungjawab.
Apakah yang dimaksudkan dengan mengundi dengan penuh tanggungjawab? Mengundi dengan penuh tanggungjawab merangkumi tiga perkara utama.
Pertama, keluar mengundi. Di negara ini, mengundi adalah tanggungjawab setiap warganegara yang berusia 21 tahun dan ke atas. Warganegara yang telah mencapai usia ini dan telah mendaftar sebagai pengundi, layak untuk mengundi. Dalam konteks ayat al-Quran di atas, mereka yang keluar mengundi bakal melaksanakan satu kebaikan.
Melihat kepada peratus keluar mengundi di negara ini, jelas bahawa masih ramai yang tidak melaksanakan tanggungjawab ini atas sebab-sebab yang hanya mereka yang tahu. Dalam PRU-13 misalnya, peratus keluar mengundi hanyalah sekitar 85 peratus. Ini bermaksud, terdapat 15 peratus lagi pengundi berdaftar yang tidak keluar mengundi. Justeru, mereka gagal melaksanakan tanggungjawab kepada negara dan memilih untuk tidak melaksanakan satu kebaikan. Maka, untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi ini, seruan, malah rayuan untuk keluar mengundi, perlu dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh agar lebih ramai ahli masyarakat yang terlibat dalam proses pemilihan pada kali ini.
Kedua, pastikan undi kita tidak rosak. Keluar mengundi adalah langkah pertama untuk kita melaksanakan tanggungjawab kepada negara ini. Namun, bagi memastikan langkah itu membawa kebaikan, kita perlu memangkah dengan betul agar undi kita tidak termasuk dalam kategori undi rosak. Pada PRU 13 terdapat sejumlah 332,297 undi rosak manakala terdapat sebanyak 324,120 undi rosak pada PRU sebelumnya. Ini bukanlah satu jumlah yang kecil. Justeru, video ‘tutorial’ bagi mengelakkan undi rosak perlu dibuat dan disebarkan secara meluas supaya setiap kertas undi yang dipangkah menghasilkan “undi yang dikira”.
Walaupun dikatakan bahawa sesetengah undi rosak adalah disengajakan, namun video ‘tutorial’ seperti ini amat bermanfaat khususnya untuk mereka yang pertama kali mengundi. Golongan ini juga bukan sedikit bilangannya. Dilaporkan bahawa jumlah pemilih baharu yang telah didaftarkan mulai 1 Jan hingga 30 Jun 2017 sahaja mencecah lebih 400,000 orang. Dalam era kecanggihan dan kepantasan media sosial hari ini, menyebarkan maklumat sepenting “Apa yang pengundi baharu perlu tahu” bukanlah sesuatu yang sukar.
Peratusan keluar mengundi yang tinggi dan jumlah undi rosak yang rendah amat penting untuk dicapai kerana salah satu penentu demokrasi yang sihat ialah tahap dan kualiti penyertaan orang awam dalam satu proses pilihanraya. Semoga usaha untuk menyeru lebih ramai pengundi keluar mengundi dan usaha untuk mengurangkan jumlah undi rosak pada PRU 14 ini berhasil.
Ketiga, mempertimbangkan dengan penuh tanggungjawab mengenai calon yang akan dipilih. Seperti yang disebutkan tadi, dalam pilihan raya ini, kita memilih kerajaan yang bakal mentadbir negara ini untuk lima tahun berikutnya. Ini bermakna kita perlu memilih individu-individu yang bakal membentuk kerajaan itu. Maka, pemilihan ini bukanlah satu perkara yang main-main. Malah, ia memerlukan kita berfikir dengan serius mengenai calon yang akan dipilih.
Berfikir dengan serius bukan sekadar mempertimbangkan fakta dan hujah yang serasi dengan “perasaan” kita. Sebaliknya, berfikir dengan serius memerlukan kita membuang “rasa” dan mencari bukti-bukti kukuh.
Bukti-bukti kukuh mengenai apa? Bukti-bukti kukuh mengenai calon-calon yang bertanding yang ingin kita pilih sebagai wakil kita dalam kerajaan. Mungkin makalah atas talian yang bertajuk “Voting Guidelines for Muslims” boleh kita jadikan pedoman. Makalah ini menyebutkan bahawa antara perkara yang perlu dipertimbangkan ialah: (a) keperibadian calon – kewibawaannya, etikanya dan integritinya; (b) keutamaan dan pendiriannya mengenai isu-isu yang penting; (c) kelayakan akademik calon dan kemahirannya berkomunikasi dan berhujah serta pengalamannya berpolitik; (d) sikap serta keprihatinannya terhadap masyarakat dan keperluan masyarakat tersebut; (e) penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan, kesukarelaan dan persatuan; dan, (f) jika calon-calon itu didapati sama hebatnya dalam kelima-lima perkara ini, kecenderungan partinya kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kita serta sikap pemimpin partinya terhadap masyarakat dan keperluan masyarakat (serta masyarakat Islam dan keperluan masyarakat Islam, khasnya) perlu dijadikan asas pertimbangan.
Dalam era ICT ini, maklumat-maklumat dari (a) hingga (f) di atas bukanlah sukar untuk diperolehi. Apa yang penting ialah kita sebagai pengundi perlu melakukan sedikit “kerja rumah” agar dapat bersikap adil dan bijaksana ketika membuat pertimbangan agar dapat: (i) memilih calon terbaik sebagai wakil; dan, (ii) memberikan amanah kepimpinan ini kepada yang betul-betul layak.
Nama calon-calon yang bertanding di kawasan kita telahpun diketahui. Masih ada masa untuk “berfikir dengan serius” tentang siapa yang akan dipilih. Mengundilah dengan penuh tanggungjawab. Bukankah kita akan ditanya tentangnya di akhirat kelak?