Dua cabaran besar dunia masa kini ialah isu perubahan iklim dan keterjaminan makanan. Islam, sebagai satu cara hidup yang syumul, menekankan prinsip keseimbangan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar serta menawarkan pendekatan yang menyeluruh dalam menangani dua isu ini.
Prinsip-prinsip Islam menggalakkan cara hidup lestari yang sekiranya dibudayakan mampu menangani cabaran global ini. Prinsip-prinsip ini menatijahkan beberapa instrumen Islam yang bukan sahaja praktikal malahan berkesan dalam menawarkan penyelesaian kepada permasalahan dan cabaran semasa yang timbul.
Dalam ajaran Islam, manusia dipertanggungjawabkan sebagai khalifah yang membawa satu amanah besar dalam memelihara alam sekitar dan mengekalkan keseimbangan alam. Umat Islam dilarang melakukan pembaziran dalam segenap aspek termasuk dalam penggunaan sumber makanan.
Hal ini ditegaskan dalam ayat 31 Surah al-A’raf, yang bermaksud, “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
Walaupun ajaran Islam menyediakan panduan moral yang kukuh untuk menangani isu keterjaminan makanan, terdapat cabaran dalam menterjemahkan panduan ini ke dalam bentuk tindakan yang bermakna. Kemiskinan, ketidaksamaan ekonomi dan ketidakstabilan politik di beberapa negara majoriti Muslim menghalang pembangunan sistem makanan yang lestari.
Pada waktu yang sama, dunia juga menghadapi ancaman perubahan iklim yang menjejaskan hasil pertanian terutama di kawasan yang sudah terdedah kepada masalah kekurangan sumber. Bagi mengatasi cabaran keterjaminan makanan ini, Islam menawarkan pelbagai pendekatan melalui instrumen seperti zakat, sedekah dan wakaf.
Zakat, sebagai salah satu rukun Islam, mempunyai peranan penting dalam memastikan keadilan sosial dan membantu golongan asnaf yang memerlukan. Dana zakat boleh disalurkan kepada inisiatif yang menyasarkan golongan miskin termasuk petani kecil yang hasil pendapatannya terjejas disebabkan perubahan iklim.
Sebagai contoh, zakat boleh digunakan untuk menyediakan modal kepada petani untuk membeli benih tahan cuaca ekstrem atau mendapatkan teknologi pertanian pintar, membangunkan bank makanan komuniti untuk memastikan akses makanan kepada mereka yang menghadapi kesukaran di samping melaksanakan projek kemasyarakatan seperti ladang komuniti dan pusat pengedaran makanan.
Melalui bantuan ini, instrumen zakat bukan sahaja mengurangkan beban kewangan komuniti rentan, malah mampu menyumbang ke arah mewujudkan keterjaminan makanan secara menyeluruh menerusi pembiayaan projek pertanian mampan dan peningkatan daya tahan masyarakat terhadap cabaran perubahan iklim.
Wakaf pula merupakan satu instrumen yang berupaya memberikan penyelesaian jangka panjang dengan mewujudkan tanah pertanian dan pusat pengedaran makanan yang kekal memberi manfaat kepada masyarakat.
Wakaf tanah boleh digunakan untuk mewujudkan ladang komuniti yang mempraktikkan pertanian lestari. Sumber wakaf juga boleh digunakan untuk membiayai teknologi hijau dalam pertanian seperti sistem pengairan yang cekap atau tenaga solar untuk operasi ladang.
Wakaf juga boleh dimanfaatkan untuk membiayai penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian mampan. Inisiatif ini dapat mendorong inovasi baharu dalam usaha menangani perubahan iklim.
Dalam kata lain, wakaf berkeupayaan menyediakan sokongan jangka panjang menerusi wakaf tanah dan sumber kepada masyarakat dalam memastikan kelangsungan sumber makanan.
Selain itu, konsep hima atau kawasan perlindungan yang pernah diamalkan dalam sejarah Islam boleh diberikan nafas baharu untuk melindungi biodiversiti dan memastikan kelestarian sumber alam. Hal ini penting bagi memastikan ekosistem dan rantaian makanan tidak terjejas.
Konsep hima boleh dimanfaatkan dalam era moden untuk melindungi biodiversiti dengan mengehadkan aktiviti manusia di kawasan kritikal seperti kawasan hutan, padang ragut dan sumber air yang penting untuk kestabilan ekosistem.
Konsep ini juga jika dilaksanakan dengan berkesan mampu mengekang aktiviti-aktiviti seperti pembalakan haram dan penebangan hutan yang akhirnya menyumbang kepada perubahan iklim.
Menerusi hima,masyarakat setempat juga dapat digerakkan untuk memainkan peranan aktif dalam mengurus kawasan perlindungan melalui pendekatan berasaskan komuniti seperti ladang agroforestri yang menggabungkan pertanian dengan pemeliharaan alam sekitar.
Hima boleh dilihat sebagai benteng terhadap kemusnahan alam sekitar dan pada masa yang sama, mampu menyumbang ke arah usaha meningkatkan hasil makanan dan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Pendekatan hima bukan sahaja mampu memelihara ekosistem, melindungi biodiversiti dan memastikan keseimbangan sumber alam, malahan ia berupaya memelihara alam untuk manfaat generasi akan datang.
Dengan memanfaatkan instrumen yang ada dalam ajaran Islam iaitu zakat, wakaf dan hima, masyarakat dapat diupayakan untuk menangani cabaran keterjaminan makanan dan perubahan iklim.
Pendekatan bersepadu menerusi pelaksanaan ketiga-tiga instrumen ini bukan sahaja mendorong keadilan sosial dalam masyarakat tetapi juga menjamin kelestarian alam dan memenuhi tuntutan dunia moden tanpa mengabaikan prinsip kerohanian yang dibawa oleh ajaran Islam.