Setiap kali kemalangan maut berlaku akibat pemandu mabuk, khayal dadah atau memandu secara melulu, negara bukan sekadar kehilangan satu angka dalam statistik jalan raya. Sebuah keluarga mungkin kehilangan suami, isteri, ibu, ayah atau anak mungkin seorang pencari nafkah tidak lagi pulang malah masa depan waris berubah dalam sekelip mata. Pesalah boleh dipenjarakan, didenda dan hilang kelayakan memandu tetapi satu persoalan tetap menuntut jawapan iaitu siapakah yang memikul beban kehidupan keluarga yang ditinggalkan?
Bertitik-tolak pertimbangan inilah, persetujuan dasar Jemaah Menteri pada 15 Julai 2026 untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris wajar disambut baik. Cadangan tersebut memperluas makna pertanggungjawaban. Hukuman tidak lagi hanya berhubung pembalasan negara terhadap pesalah, bahkan turut mengambil kira kerugian sebenar yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga mereka.
Mekanisme ini mempunyai titik temu yang jelas dengan falsafah keadilan Islam. Syariah meletakkan pemeliharaan nyawa atau hifz al-nafs sebagai salah satu tujuan tertinggi pensyariatannya. Hak untuk hidup bukan perkara sampingan tetapi asas maruah manusia. Oleh sebab itu, apabila nyawa diragut sama ada dengan sengaja atau akibat kecuaian, Islam tidak membiarkan peristiwa tersebut berakhir tanpa tanggungjawab moral, undang-undang dan kewangan.
Dalam rangka hukum jenayah Islam, diyat merujuk pampasan yang wajib diserahkan kepada mangsa atau warisnya dalam kes tertentu yang melibatkan pembunuhan atau kecederaan. Hukum ini terpakai antaranya dalam pembunuhan tidak sengaja dan boleh menjadi penyelesaian dalam kes qisas apabila waris memilih untuk menerima pampasan sebagai ganti hukuman balas setimpal. Waris juga mempunyai ruang untuk memberikan kemaafan. Pilihan antara qisas, diyat dan kemaafan menunjukkan bahawa keadilan Islam tidak dibina atas pembalasan semata-mata bahkan turut membuka jalan kepada rahmah, perdamaian dan pemulihan.
Prinsip ini terang lagi bersuluh menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 92. Bagi pembunuhan yang berlaku secara tidak sengaja, ayat tersebut menetapkan kewajipan menyerahkan diyat kepada keluarga mangsa kecuali jika mereka melepaskan hak itu, di samping kaffarah yang perlu ditunaikan oleh pelaku. Susunan ini membawa makna yang mendalam. Kaffarah menghubungkan pelaku dengan tanggungjawabnya kepada Allah SWT, manakala diyat mengiktiraf hak manusia yang menanggung akibat daripada perbuatannya. Taubat peribadi tidak dengan sendirinya melunaskan hak keluarga yang terjejas.
Diyat tidak sekali-kali bermaksud nyawa manusia boleh diletakkan tanda harga. Tiada jumlah wang yang mampu menggantikan seorang ayah di meja makan, seorang ibu yang membesarkan anak-anak atau seorang anak yang menjadi harapan keluarga. Pampasan juga bukan lesen untuk orang berada melepaskan diri daripada hukuman. Sebaliknya, diyat ialah pengakuan bahawa kehilangan nyawa membawa kesan sosial dan ekonomi yang nyata dan kesan itu tidak adil jika ditanggung sepenuhnya oleh waris yang tidak bersalah.
Pada titik inilah sistem diyat mempertemukan dua tuntutan yang sering dianggap bertentangan iaitu keadilan terhadap mangsa dan pengiktirafan hak pesalah sebagai manusia. Perbincangan tentang hak untuk hidup tidak seharusnya hanya tertumpu kepada nasib orang yang dijatuhi hukuman. Hak mangsa yang nyawanya telah diragut dan hak waris untuk meneruskan kehidupan dengan bermaruah juga mesti berada dalam pertimbangan yang sama. Keadilan yang seimbang tidak memadam kesalahan pesalah tetapi memastikan hukuman dan pemulihan berjalan bersama.
Menerusi lensa pakar juga menjelaskan mengapa pemansuhan hukuman mati mandatori tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam kerangka qisas, hukuman mati bukan satu-satunya kesudahan yang tersedia. Syarak mengiktiraf peranan waris, ruang kemaafan dan penyelesaian melalui diyat tertakluk pada proses kehakiman dan kuasa pemerintah. Penghapusan sifat mandatori bukan bererti nyawa mangsa diringankan nilainya sebaliknya membolehkan setiap kes dinilai menurut fakta, niat, tahap kesalahan dan tuntutan keadilan yang berkaitan.
Bagi kematian yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, penilaian hukum perlu mengambil kira bahawa pelaku telah memilih untuk melakukan perbuatan berbahaya sebelum mengendalikan kenderaan. Kes sebegini tidak wajar dilihat sebagai kemalangan biasa yang sama sekali terpisah daripada pilihan manusia. Dalam perbahasan fiqh, pengelasannya boleh berbeza menurut fakta kes, tahap pengetahuan, bentuk kecuaian dan hubungan sebab serta akibat. Namun, prinsipnya jelas iaitu ketiadaan niat langsung untuk membunuh tidak semestinya menghapuskan tanggungjawab apabila seseorang secara sedar mencipta risiko besar terhadap nyawa orang lain.
Walau bagaimanapun, cadangan pindaan Akta 333 belum boleh dianggap sebagai pelaksanaan diyat secara lengkap. Kementerian Pengangkutan menjelaskan bahawa jumlah pampasan dicadangkan untuk ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes termasuk tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian waris serta kemampuan pesalah membayar. Mekanisme itu juga tidak sepatutnya menjejaskan hak mangsa atau waris untuk menuntut insurans dan menggunakan saluran sivil sedia ada. Ciri-ciri ini memperlihatkan keserasian tertentu dengan tujuan diyat tetapi bentuk perundangan akhirnya tetap perlu diteliti dengan cermati
Penelitian yang mendalam dan menyeluruh amat diperlukan sebelum konsep diyat dapat diintegrasikan secara tersusun ke dalam sistem perundangan negara. Antara persoalan yang mesti diperincikan ialah kedudukan mekanisme tersebut dalam undang-undang jenayah dan sivil, kaedah menentukan kadar pampasan, hubungannya dengan tuntutan insurans atau takaful, kaedah pembayaran apabila pesalah tidak berkemampuan, tatacara mengelakkan pertindihan pampasan serta jaminan layanan yang adil tanpa mengira agama dan kedudukan ekonomi.
Kerangka yang dibina juga tidak boleh menyebabkan keadilan bergantung pada kekayaan pesalah. Jika orang berada mampu membayar sedangkan pesalah miskin gagal berbuat demikian, waris tidak seharusnya dibiarkan tanpa pembelaan. Oleh itu, penelitian terhadap peranan takaful, insurans, dana pampasan mangsa atau mekanisme pembayaran berjadual perlu dilakukan. Dalam tradisi fiqh, konsep al-‘aqilah memperlihatkan bahawa tanggungan bagi pembunuhan tidak sengaja tidak semestinya dipikul oleh pelaku secara bersendirian. Semangat tanggungjawab bersama ini boleh menjadi ilham kepada pembentukan mekanisme moden tanpa memindahkan konsep klasik secara tergesa-gesa.
Meskipun begitu, pampasan tidak boleh menjadi pengganti kepada pencegahan. Penguatkuasaan tegas, pendidikan keselamatan jalan raya, pemulihan pesalah, pengukuhan Sistem KEJARA dan penggunaan teknologi perlu digerakkan dengan kolektif. Matlamat sebenar bukan untuk mengutip bayaran selepas tragedi tetapi menghalang tragedi daripada berlaku. Diyat mendidik masyarakat bahawa kecuaian mempunyai akibat, dasar keselamatan pula memastikan pengajaran itu diterjemahkan kepada perubahan tingkah laku.
IKIM, JKSM dan JAKIM terlibat dalam usaha awal mengadakan persidangan meja bulat pada 2022 bagi melihat cadangan pengenalan bayaran diyat sebagai pampasan dalam perundangan Malaysia. Usaha ini diteruskan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama para mufti dan pakar perundangan pada Februari 2026. Sumbangan kepakaran syariah perlu digandingkan dengan pengalaman hakim, pengamal undang-undang sivil, pakar aktuari, industri insurans dan takaful, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) serta agensi penguat kuasa. Hanya melalui muzakarah rentas bidang dapat mewujudkan suatu sistem yang jelas, adil, mudah dicapai dan tidak membuka ruang kepada kelompangan undang-undang.
Intihanya, dimensi sebuah sistem keadilan bukan hanya pada beratnya hukuman terhadap pesalah tetapi sejauh mana sistem itu memulihkan kehidupan mereka yang menjadi mangsa. Penjara mungkin menghukum pelaku dan denda menjadi hasil kepada negara tapi pampasan yang adil memberi pembelaan langsung kepada keluarga yang kehilangan tempat bergantung. Nyawa memang tidak ternilai dengan wang malah kerana nyawa begitu bernilai, kehilangan itu tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tanggungjawab. Di situlah diyat menawarkan hikmah yang wajar diteroka Malaysia, sebuah keadilan yang tegas terhadap kecuaian, ihsan yang mendakap sifat kemanusiaan dan ingatan tulus buat waris yang menanggung luka yang dalam serta parut yang panjang
Penulis bersama :
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah IKIM
dan
Mohamad Daniel Syafiq bin Mohamad Sulaiman
Pegawai Penyelidik, Pusat Syariah, Undang-undang & Politik (SYARAK)
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

