Setiap insan mempunyai peranan untuk memberikan kesan kepada pembentukan persekitaran sosial, pendidikan dan akhlak generasi akan datang. Sikap dan tindakan seseorang terhadap peranan yang diamanahkan kepadanya menentukan sejauh mana pengaruhnya dihormati, diteladani, ataupun ditolak. Apabila sesuatu peranan itu diabaikan, akan hilanglah kewibawaan dan pengaruhnya. Maka, pengaruh bukan datang asbab kedudukan, tetapi kerana komitmen terhadap tanggungjawab itu sendiri.
Dalam konteks institusi keluarga, ibu bapa merupakan tunjang pembentukan karakter anak-anak. Ibu adalah madrasah pertama, tempat di mana anak mengenal erti nilai, kasih sayang, dan kepercayaan. Bapa pula menjadi pembentuk akhlak dan disiplin yang memandu kehidupan anak-anak mengikut landasan moral yang betul. Namun pada hari ini, banyak ibu bapa kelihatan semakin jauh daripada realiti kehidupan anak-anak. Ketagihan terhadap media sosial, kesibukan kerja tanpa batas, serta tumpuan berlebihan dalam urusan peribadi mengabaikan keperluan anak-anak menjadikan mereka membesar tanpa bimbingan yang sewajarnya.
Ibu bapa sering lupa bahawa pengaruh terhadap anak bukannya datang daripada arahan mahupun suruhan, tetapi melalui kehadiran. Tidak ada gunanya menasihati anak agar tidak ketagih telefon pintar, sedangkan ibu bapa sendiri sentiasa leka menatal skrin. Tidak bermakna mengingatkan anak menjadi insan berbudi pekerti, jika pertuturan di rumah penuh bentakan, cercaan dan makian. Oleh sebab itu, apabila ibu bapa gagal memainkan peranan sebagai teladan (role model), anak-anak akan mencari teladan lain yang banyaknya ditemukan di alam maya yang tidak dapat menjamin keselamatan akhlak dan fikrah mereka.
Dewasa ini, ketagihan kepada media sosial dan permainan video dalam talian telah menjadi satu ancaman sama ada di peringkat individu, keluarga mahupun masyarakat. Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2024 menunjukkan 99.7 peratus pengguna internet di negara ini mempunyai akaun media sosial, dan purata 3.5 jam sehari dihabiskan di media sosial berdasarkan Laporan Internet Malaysia 2023 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Oleh sebab itu, isu ketagihan media sosial bukan membabitkan golongan muda sahaja tetapi semua golongan dari pelbagai peringkat umur.
Kurangnya interaksi sosial dalam dunia nyata antara ibu bapa dengan anak-anak meningkatkan jurang hubungan antara mereka sekali gus menghakis kasih-sayang dalam keluarga. Dampak buruknya, ibu bapa semakin kurang berpengaruh dalam kehidupan anak-anak dan anak-anak pula tidak mendapat bimbingan sepatutnya daripada ibu bapa lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran dunia digital masa kini.
Ibu bapa mesti kembali menjadi pendamping rapat anak-anak, bukan sekadar penyedia makan minum dan duit poket. Ibu bapa patut menjadi rujukan utama untuk anak-anak bertanyakan soalan, berkongsi masalah, mendapatkan pedoman serta kasih sayang dan perhatian pada setiap masa. Sudah masanya ibu bapa muhasabah diri dan memperbaiki hubungan dengan anak-anak yang dilihat kian longgar dan goyah. Masa bersama-sama keluarga sudah lah terhad pada hujung minggu, waktu malam atau cuti sekolah, maka seeloknya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membina ikatan kekeluargaan yang utuh berlandaskan keimanan kepada Allah SWT.
Ibu bapa sepatutnya menghargai anak-anak sebagai amanah dan anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT. Cara terbaik menghargai pemberian Allah SWT ini adalah dengan sentiasa meningkatkan kemahiran keibubapaan dan mempelajari ilmu agama agar dapat menanamkan tauhid kepada Allah dalam diri anak-anak sedari mereka kecil atau mumaiyiz (sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk). Oleh yang demikian, ayat 6 surah at-Tahrim yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…” bukan hanya sekadar menjadi hafalan tetapi disusuli dengan tindakan.
Selain keluarga, sekolah atau guru juga membawa pengaruh besar dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembina harapan masa depan. Di sekolah, guru menjadi ikon moral kerana anak-anak melihat ketegasan, kesabaran dan keikhlasan mereka sebagai pendidik. Namun, jika guru hanya dilihat sebagai “pegawai pengajar” tanpa ruh pendidik, maka pengaruh mereka semakin mengecil. Guru yang hilang asa untuk mendidik kerana terlalu dibebankan dengan tugas-tugas sampingan, penilaian berlebihan, serta tekanan sosial akan kehilangan kemampuan untuk menyentuh jiwa murid. Akhirnya, yang tinggal hanyalah pengajaran, tetapi tidak pendidikan. Oleh yang demikian, guru perlu diperkasakan semula semangatnya untuk mendidik dengan kasih, ihsan dan hikmah.
Peranan pihak berkuasa juga tidak boleh diketepikan. Penguasa mempunyai pengaruh besar terhadap akhlak masyarakat melalui dasar, undang-undang, dan teladan moral yang mereka tonjolkan. Autoriti bukan hanya soal kuasa menghukum, tetapi kuasa mempengaruhi. Sekiranya pemimpin tidak menunjukkan integriti, kejujuran dan kesederhanaan, maka masyarakat juga tidak akan menghormati undang-undang yang telah ditetapkan. Begitulah halnya apabila pihak berkuasa hanya menonton kerosakan sosial seperti penularan budaya hedonisme, ketagihan media sosial, buli siber, rasuah dan penyelewengan atau penghinaan kepada agama tanpa tindakan tegas, maka runtuhlah pengaruh mereka sebagai benteng akhlak bangsa. Maka, pihak berkuasa mesti tegas menjaga akhlak rakyat, bukan hanya bertindak selepas kerosakan berlaku.
Dalam struktur masyarakat, terdapat juga kelompok berpengaruh seperti ahli agama, tokoh sosial, para pemikir dan intelektual. Mereka ini diharapkan menjadi suara kebenaran, penunjuk arah yang memperbaiki pemikiran masyarakat. Peranan pelbagai pihak ini sangat diperlukan untuk menjadi pertahanan terakhir tatkala masyarakat berdepan dengan tsunami maklumat, fitnah, hedonisme dan kekeliruan nilai. Dalam konteks ini, para cendekiawan wajar menegakkan suara kebenaran, meskipun tidak disukai sesetengah pihak.
Cabaran era teknologi kini menjadikan ramai lebih mengutamakan perhatian digital berbanding pengaruh berprinsip. Pengaruh kini diukur melalui jumlah pengikut, bukan kualiti amanah. Namun, pengaruh sebenar bukanlah terletak pada pujian dan reaksi (like, comment dan share) masyarakat maya, tetapi sejauh mana seseorang mampu mendidik jiwa dan memperbetulkan keadaan.
Generasi muda sedang memperhatikan kita hari ini. Jika kita memandang enteng peranan masing-masing, tidak menjadi suri teladan yang baik, justeru mereka akan membesar tanpa pengaruh bermakna yang membimbing perjalanan hidup mereka. Maka, sebelum kita bertanya mengapa generasi hari ini semakin hilang akhlak dan adab, tanyakanlah dahulu: adakah kita sedang memainkan peranan yang sewajarnya? Apabila peranan sudah hilang, pengaruh juga akan hilang. Jika pengaruh hilang, masa depan bangsa akan terus tercipta tanpa pedoman. Marilah kita kembali berperanan agar pengaruh kebaikan terus subur dalam masyarakat.

