Menurut Syariah, sesuatu harta yang sudah mencukupi haul dan menepati syarat-syarat tertentu wajib dikeluarkan zakat. Matlamatnya ialah supaya harta tadi beredar di dalam sistem ekonomi dan pada masa yang sama ia boleh membantu mereka yang memerlukan pembelaan. Pada prinsipnya, kitaran harta yang berlaku secara meluas di kalangan anggota masyarakat akan meningkatkan kemakmuran dan kebahagiaan kehidupan di dalam sesebuah komuniti. Selain itu juga ia mampu untuk menghalang penularan kegiatan tidak bermoral yang mungkin timbul kesan daripada ketaksamaan agihan kekayaan di dalam komuniti tadi.
Ini juga bertepatan dengan matlamat penjagaan harta (hifz al-mal) – yang terkandung di dalam Maqasid al-Syariah – yang antara lain menggariskan lima keutamaan yang perlu diberi perhatian di mana salah satu daripada keutamaan tersebut ialah rawaj al-amwal.
Rawaj al-amwal merujuk kepada peredaran harta secara adil di kalangan seramai mungkin manusia. Selain zakat, sedekah dan wakaf, peredaran harta juga boleh berlaku menerusi proses-proses transaksi perniagaan dan perdagangan. Justeru tidak hairanlah Islam memberi penekanan dan galakan yang kuat kepada kita semua supaya menceburi bidang ini. Bukan sahaja bidang ini mampu menjana keuntungan kepada usahawan atau peniaga, malah ia turut mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada ahli masyarakat dan seterus dapat membantu mereka dalam meningkatkan kualiti kehidupan.
Selain daripada itu sistem faraid juga merupakan satu lagi mekanisme yang terdapat di dalam ajaran Islam yang berperanan dalam memastikan harta-harta ini beredar secara adil di dalam sesebuah ekonomi.
Bagaimanapun di Malaysia, sebelum sesuatu pusaka itu dapat diserahkan kepada waris yang berhak ia perlu melalui beberapa prosedur dan formaliti. Selain itu bergantung kepada keadaan, waris juga terpaksa berurusan dengan beberapa institusi yang berbeza yang lazimnya terdiri daripada Amanah Raya Berhad (ARB), mahkamah Syariah, mahkamah sivil dan Bahagian Pembahagian Pusaka di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sebelum harta si mati tadi dapat dibahagikan kepada mereka yang berhak. Ini sememangnya akan mengambil masa dan biasanya tempoh tersebut ialah antara 4 bulan hingga 5 tahun. Tempoh ini akan menjadi lebih lama jika ia melibatkan kes kematian berlapis atau harta berada di daerah berlainan. Lebih teruk lagi jika ia melibatkan pertikaian di kalangan waris. Jadi tidak hairanlah ada kes-kes pusaka yang mengambil masa sampai 50 tahun untuk diselesaikan oleh mahkamah dan ada pula yang melibatkan tuntutan beratus pewaris ke atas sebidang tanah yang kecil.
Implikasinya para waris kehilangan potensi ekonomi yang sepatut diperolehi daripada harta tadi jika mereka dapat memanfaatkan lebih awal. Selain daripada kehilangan potensi ekonomi, pewaris juga mungkin akan mengalami kerugian lebih-lebih lagi sekiranya harta tadi wujud dalam bentuk wang ringgit. Susut nilai akibat hakisan inflasi merupakan ciri utama yang ada pada matawang. Selain itu dalam kes waris berlapis, pertambahan pemilik boleh menyebabkan bahagian yang bakal diwarisi semakin mengecil dan menjadikan harta tadi tidak ekonomikal.
Ini belum diambil kira lagi soal kebajikan waris si mati terutamanya anak-anak yang berstatus yatim; dan isteri mereka yang terutamanya yang tidak bekerja. Sedangkan pada masa yang sama mereka ini sebenarnya memerlukan sokongan kewangan bagi menampung keperluan asasi harian.
Selain itu pembekuan harta dan kelewatan waris dalam menuntut atau mencairkan harta tadi juga boleh menyebabkan tanggungjawab si mati yang belum dilunaskan gagal disempurnakan dan ini akan menjejaskan kesejahteraannya di alam roh. Sebagai contoh, jika si mati tadi masih mempunyai hutang dan disebabkan kelewatan dalam mencairkan harta tadi akan menyebabkan hutangnya lambat untuk dibayar.
Sesungguhnya kelewatan dalam menyelesaikan pembahagian pusaka apatah lagi membiarkan harta tadi berstatus beku adalah sesuatu yang tidak bertepatan dengan matlamat Syariah. Selain daripada soal pembaziran kerana kelewatan dalam memanfaat potensi ekonomi yang ada pada harta tadi, isu ini juga boleh mencetus masalah kezaliman atau ketidakadilan kepada anak yatim atau balu mahupun ibubapa yang sebelum ini hanya bergantung harap kepada si mati.
Justeru, selain daripada pemilik harta perlu membuat perancangan awal semasa hidupnya dan pewaris perlu mengambil tahu prosedur dan formaliti yang perlu dilalui bagi proses tuntutan dan pembahagian pusaka; sudah tiba masanya pihak berkuasa di Malaysia melakukan transformasi pengurusan pusaka menerusi penubuhan sebuah entiti tunggal bagi menyelaraskan kepelbagaian insitusi-institusi pengurusan harta pusaka agar rakyat hanya berurusan dengan sebuah institusi sahaja kelak. Ini mungkin turut melibatkan pindaan akta-akta tertentu. Bagaimanapun transformasi ini adalah difikirkan perlu kerana jika masalah ini tidak diselesaikan isu harta beku ini akan berterusan tanpa kesudahan dan umat Islam sendiri juga yang akan rugi.