Golongan belia adalah tunggak dan penerus generasi sesebuah masyarakat. Mereka mempunyai upaya yang luar biasa memandangkan dari segi tenaga, mereka sangat kuat dan keupayaan yang cukup jauh untuk mereka membina kekuatan.
Di samping itu golongan belia mudah dipengaruhi oleh cara berfikir dan corak hidup sesebuah masyarakat yang di anggap oleh mereka sebagai masyarakat maju dan berjaya. Asas penilaian tersebut disandarkan kepada kemajuan ekonomi semata-mata. Rata-rata masyarakat tersebut adalah masyarakat luar dimana cara hidup mereka berbudayakan corak hidup hedonisme, iaitu corak hidup yang mengutamakan kepuasan hawa nafsu. Corak hidup demikian memberi keutamaan dan keluasan kebebasan mutlak kepada individu untuk berperanan dalam kehidupan masyarakat. Pendekatan kepada corak kehidupan sedemikain akan mengundang banyak permasalahan kepada kestabilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.
Dalam lingkungan usia yang suka mencuba, belia tanpa asas pandangan hidup yang luhur dan menyakinkan, akan mudah dipengaruhi oleh pemikiran dan budaya hedonisme. Kebebasan hidup tanpa ikatan adalah sesuatu yang dekat dengan minat belia. Yang menjadi kebimbangan ialah corak hidup yang demikian bukan sahaja membinasa upaya dan kehidupan mereka bahkan mereka boleh menjadi golongan masyarakat yang menggugat dan meroboh budaya sebuah masyarakat yang berakhlak dan bertamadun. Bukan sekadar itu, mereka turut pada akhirnya menjadi bebanan kepada keutuhan keseluruhan masyarakat terbabit.
Dalam menangani kemungkinan belia Islam dipengaruhi oleh budaya yang membahaya dan boleh membantut kemajuan ummah, beberapa langkah berkesan perlu diberi perhatian dalam membimbing hala tuju belia Islam dalam konteks pembangunan belia di negara ini.
Pertama, belia Islam perlu memiliki pandangan hidup yang syumul berkaitan dengan Islam itu sendiri. Pengamatan sedemikian akan mewujudkan belia yang berwawasan serta dapat berperanan secara sesuai dan berdaya maju. Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun yang mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun sekular semasa, bahkan pada awal lagi ia diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia termasuk yang bukan beragama Islam. Prinsip-prinsip Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat adalah bersesuaian dengan nilai kemanusiaan yang membolehnya menangani perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Di atas semangat kebenaran, keadilan dan kasih sayang, pendekatan Islam akan sentiasa sesuai dan berdaya maju. Kefahaman kepada Islam secara mendalam ini perlu diusahakan melalui sistem pendidikan negara.
Aspek yang kedua melibatkan pembinaan keutuhan akhlak di kalangan ke semua lapisan masyarakat Islam khususnya belia. Akhlak belia yang tinggi akan menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup mereka ke arah menjayakan keluhuran Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi (emotional attachment) seseorang kepada perjuangan Islam.
Akhlak tidak boleh difahami sebagai prilaku individu yang jujur dan lurus semata-mata, ia harus dilihat dalam rangka yang lebih luas yang melibatkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dalam ke semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk menyuci niat dan sikap serta memiliki sifat ehsan kepada saudara manusia yang lain dalam menjalani urusan hidup. Kemuncak kepada penghayatan akhlak ialah anggota masyarakat akan berusaha melaksana nilai dan semangat keadilan dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki akhlak yang mulia akan membentuk individu menjadi seorang yang lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyrakat. Kefahaman yang demikian menganjurkan kepada individu semoga membina prilakunya sahaja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki dan membangun akhlak masyarakat. Sebagai insan yang bersifat individu sosial, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam yang positif. Umat Islam perlu bersama dalam urusan menyusun masyarakat dengan semangat untuk membina.
Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak belia Islam khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi memajukan negara. Amalan rasuah, menipu, menindas, mengfitnah dan memiliki beberapa sifat lain yang hina, perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat-sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan.
Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat kita pada masa ini perlu dibimbing moga-moga kejayaan ekonomi sesetengah golongan membawa kepada sumbangan yang membangun kepada kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat. Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupai tanggungjawab sosial yang jelas dituntut oleh Islam. Pada contohnya, prinsip `memperoleh keuntungan melalui tanggungjawab sosial’ wajib dihayati oleh golongan korporat Muslim. Ia sangat menepati hasrat akhlak Islam. Golongan korporat Muslim yang berjaya perlu berperanan positif untuk meningkat kebajikan hidup ummah keseluruhannya. Melalui usaha tersebut ia akan memberi teladan yang baik kepada generasi belia mempelajari bahawa asas akhlak tetap sesuai dalam memperolehi kejayaan dalam urusan perniagaan.
Akhlak Islam mendidik umatnya bahawa dalam menguasai harta ia harus menganggap harta tersebut hanya sebagai amanah kurniaan Allah. Justeru itu harta yang dimiliki perlu dibelanja dan dilabur demi mendapat keredaan Ilahi. Ia tidak seharusnya menjadi matlamat mengumpul harta sebagai muktamad dalam kehidupannya. Perspektif ini yang membezakan diantara akhlak Islam dengan fahaman sekular. Islam menganjur kepada hak pemilikan dengan disertai kepada tanggungjawab keagamaan kepada kebajikan masyarakat.
Belia Islam yang berakhlak oleh itu tidak patut membisu dengan amalan masyarakat yang bercanggah dengan nilai Islam. Amalan rasuah, menyalahguna kuasa dan menindas golongan awam yang miskin perlu dihapuskan. Mereka perlu menangani persoalan tersebut dengan menyertai usaha membina masyarakat dan bukan menjauhkan diri dari membaiki keruntuhan masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina akhlak masyarakat. Dengan mantapnya akhlak masyarakat negara akan dapat menjayakan agenda pembangunan yang sejati.
Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap. Rasulullah S.A.W. begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat. Baginda sentiasa mendoa moga-moga cubaan tersebut dijauhi. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan.
Tambah lagi dalam keadaan semasa adalah menjadi satu tuntutan bagi sesebuah negara khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk memajukan ekonomi negara bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan asasi rakyat tetapi hendaklah berusaha dengan penuh perancangan untuk mencapai taraf ekonomi maju yang mampu membolehkan negara menghayati kemerdekaan pada hakikat sebenar dan seterusnya boleh mempengaruhi perjalanan orde baru dunia.
Jika hasrat ini tidak dianggap sebagai suatu tuntutan pada masa ini, keluhuran Islam tidak mungkin dapat dicapai dan dilaksana. Dalam era semasa dimana kuasa ekonomi sangat penting, pelaksanaan dan penghayatan Islam akan hanya dapat diwujudkan dari kedudukan kekuatan ekonomi umat Islam.
Belia yang berakhlak dalam ertikata yang syumul akan berperanan secara positif dan membina dalam mencapai kemajuan negara terbabit. Belia Islam dengan itu wajib menguasai ilmu yang diperlui untuk menguasai kemampuan melaksana apa bentuk tugas dengan sempurna dan cekap. Salah satu jurusan ilmu tersebut ialah ilmu profesional. Menguasai ilmu tersebut akan memungkinkan umat Islam untuk mengurus negara dengan cekap dan cemerlang.
Mendidik ummah semoga memiliki pandangan hidup Islam yang berwawasan dan berdaya maju serta menghayati akhlak baik dan menguasai ilmu profesional semoga mampu mengendalikan urusan pentadbiran dan kemampuan membina kemampuan masyarakat, adalah tiga aspek yang sangat mendesak kepada keperluan belia Islam pada masa ini.
Mengikut pendekatan pendidikan Islam, ketiga-tiga asas tersebut adalah tiga unsur yang perlu disepadukan dalam sistem pendidikan. Oleh itu sistem pendidikan negara semasa perlu mengambil pendekatan tersebut dengan berkesan dalam mendidik generasi belia.
Dalam keadaan persaingan semasa yang hebat, umat Islam harus dapat bersaing dengan masyarakat antarabangsa. Dunia makin bertambah kecil dan peranan sebaran media massa dunia maju mudah mempengaruhi dunia umat Islam. Dari suasana yang sebegini, kegagalan belia Islam menghadapi cabaran semasa akan meruncing kemajuan ummah itu sendiri. Belia Islam yang berwawasan serta berakhlak tinggi dan menguasai ilmu profesional akan mampu membina sebuah tamadun yang utuh.