Kisah Thumamah bin Uthal, pemimpin Bani Hanifah yang sangat berpengaruh dan amat memusuhi Nabi s.a.w. serta risalah Baginda namun akhirnya memeluk Islam menarik untuk dijadikan panduan. Thumamah ialah salah seorang daripada lapan orang pemerintah yang diutus surat oleh Baginda dan diseru supaya menerima agama yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Surat yang diutus Nabi s.a.w. telah menimbulkan kemarahan Thumamah dan mencetuskan niatnya untuk membunuh Baginda. Pada suatu ketika, Thumamah berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah dan melaksanakan korban untuk berhala di sekeliling Kaabah. Dalam perjalanannya, dia telah ditangkap oleh pasukan berkuda Nabi s.a.w. yang diutus ke Najd bagi tujuan rondaan dan kawalan. Pasukan berkuda tersebut yang tidak mengenali Thumamah telah membawanya ke Masjid Nabi dan mengikatnya pada salah sebuah tiang masjid. Nabi lantas mengenali Thumamah sebaik sahaja melihatnya dan meminta agar ahli keluarga Baginda menyediakan makanan serta minuman untuk dibawa kepadanya. Saban hari Nabi s.a.w. berusaha memujuk Thumamah supaya menerima agama Islam dan dia pula sebaliknya menawarkan sama ada dibunuh, dimaafkan, atau juga dibebaskan dengan bayaran pampasan menurut jumlah yang dikehendaki oleh Nabi s.a.w.
Pada hari ketiga, Nabi s.a.w. membebaskan Thumamah. Namun, layanan baik yang diberikan Nabi s.a.w. dan tindakan Baginda yang menempatkannya di masjid telah membolehkan Thumamah menyelami kehidupan serta akhlak kaum Muslimin. Faktor-faktor ini telah berjaya membuka hati Thumamah untuk menerima Islam, agama yang begitu dibenci sebelumnya. Diriwayatkan bahawa setelah berlalunya tiga malam, dididik oleh kaum Muslimin tentang agama Islam, dan dibebaskan, Thumamah keluar dari masjid dan singgah di kebun tamar yang berhampiran lalu membersihkan dirinya. Beliau kemudian kembali ke masjid dan mengucap syahadah.
Jelas bahawa tindakan yang diambil oleh Nabi s.a.w. dalam kisah ini membentuk garis panduan yang jelas bagi institusi pemulihan atau penjara misalnya dalam soal pendidikan serta pemulihan pesalah. Persekitaran yang baik (bi’ah salihah) yang diisi dengan pelbagai bentuk ibadah dan amalan yang bermanfaat seperti pembelajaran dan hafazan al-Qur’an, pembelajaran ilmu fardu `ain dan kelas bimbingan dapat membantu menjayakan program pemulihan yang dilaksanakan oleh sesebuah institusi pemulihan. Ibadah terutamanya memainkan peranan yang penting dalam mencetuskan kesedaran tentang pengawasan Allah s.w.t. terhadap setiap perbuatan yang dilakukan, membimbing seseorang, khususnya pesalah untuk menyucikan jiwa dan memperbaiki akhlak serta tidak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan. Sebagaimana dimaklumi, antara faktor yang menyumbang perlakuan jenayah ialah kealpaan, kejahilan, dan lemahnya pegangan agama. Justeru, `ulama’ amat menekankan kepentingan melaksanakan ibadah oleh pesalah atau banduan.
Merujuk Peraturan-Peraturan Penjara 2000, iaitu undang-undang yang menggariskan hak banduan negara ini, pengajaran agama dan moral kepada pesalah selain pelaksanaan ibadah dan lawatan kakitangan agama atau anggota persatuan agama yang berdaftar dengan sah, diperuntukkan misalnya dalam Peraturan 148. Kajian yang dijalankan penulis di sebuah penjara wanita tempatan tahun lalu menunjukkan bahawa terdapat keberkesanan dari aspek tertentu pada pelaksanaan beberapa program keagamaan. Ini terutamanya dalam memberikan pendedahan kepada penghuni tentang pengetahuan asas agama dan membimbing pelaksanaan ibadah dengan lebih sempurna. Terdapat antara mereka misalnya yang dapat membaca al-Qur’an dengan baik meskipun sebelum menghuni penjara, mereka sama sekali tidak memiliki keupayaan untuk berbuat demikian. Menarik untuk dinyatakan di sini di peringkat antarabangsa, misalnya Jabatan Penjara Sudan menjadikan hafazan ayat-ayat al-Qur’an sebagai salah satu daripada empat bentuk parol. Satu persepuluh daripada tempoh hukuman penjara akan dikurangkan dengan hafazan tiga juzuk al-Qur’an.
Selain persekitaran yang baik, keseluruhan prasarana yang disediakan dalam sesebuah institusi pemulihan atau penjara termasuk perpustakaan perlulah dipastikan menyokong sepenuhnya program pemulihan yang dilaksanakan. Dengan kata-kata lain, kejayaan matlamat pemulihan pesalahan bergantung pada keselarasan atau kesepaduan antara program pemulihan dengan persekitaran dan prasarana yang disediakan oleh sesebuah institusi pemulihan atau penjara. Berdasarkan pemerhatian penulis sepanjang menjalankan kajian, terdapat keperluan bagi memastikan buku-buku di perpustakaan penjara terdiri daripada judul yang dapat membantu meningkatkan kesedaran dan motivasi diri pesalah untuk tidak mengulangi kesalahan, memperbaiki akhlak, dan berusaha memberikan sumbangan setelah dibebaskan kelak. Justeru, penglibatan institusi pengajian tinggi dan lebih khusus, ilmuwan dan cendekiawan yang memiliki kepakaran tentang pemulihan dan pembentukan motivasi diri banduan dilihat amat relevan. Sebagai contoh, dalam merangka judul khusus untuk dihasilkan penulisan yang berkaitan dengan pemulihan atau juga bagi membuat pemilihan teliti terhadap buku-buku yang perlu dimuatkan dalam perpustakaan penjara. Selain itu perlu dipastikan bahawa perpustakaan penjara tidak menjadi tempat longgokan buku-buku lama dan yang tidak dikehendaki. Di samping itu, program pemulihan, khususnya berkaitan keagamaan menuntut kerjasama erat agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO yang terlibat dengan institusi pemulihan atau penjara. Ini khususnya bagi memastikan pemulihan diri pesalah-pesalah berkenaan melalui program-program yang dilaksanakan, berkekalan sifatnya. Justeru, kemudaratan yang berjaya dihalang sepanjang mereka ditahan tidak akan berulang semula dengan penyertaan semula mereka dalam masyarakat. Dengan kata-kata lain, kesedaran dan keinsafan yang diperoleh sebagai hasil pemulihan berjaya melenyapkan kemudaratan yang ditimbulkan sebelumnya, bukan untuk tempoh sementara sahaja.
Selain itu, masyarakat umum sebagai salah satu kelompok terpenting dalam proses pemulihan pesalah perlu dilibatkan secara langsung kerana dengan demikianlah mereka akan menyedari dan melaksanakan peranan penting yang dimiliki. Selain melenyapkan stigma sedia ada terhadap pesalah, mereka perlu memberikan peluang kepada pesalah untuk membuktikan bahawa program pemulihan yang dijalani telah dimanfaatkan sepenuhnya. Hal ini berdasarkan hakikat ruang dan peluang sentiasa diberikan oleh Allah s.w.t. kepada insan yang melakukan dosa serta kesalahan untuk bertaubat, memohon keampunan, dan melaksanakan amal salih. Hakikatnya juga sebagaimana ditegaskan al-Qur’an, fitrah asal manusia adalah baik lagi suci. Justeru, fitrah yang telah dicemari perlu dibimbing untuk dibersihkan semula. Penyucian inilah akhirnya yang dapat membantu insan yang melakukan jenayah atau kesalahan untuk kembali melaksanakan peranannya sebagai khalifah Allah dengan penuh iltizam dan tanggungjawab.