Sebagai sebuah negara yang berpaksikan nilai ketimuran dan agama, isu rogol dan sumbang mahram seharusnya menjadi sesuatu yang asing dan jarang berlaku. Namun realiti semasa amat mengecewakan. Laporan demi laporan dalam media menunjukkan peningkatan kes-kes jenayah seksual yang membabitkan remaja, bahkan dalam lingkungan keluarga sendiri.
Baru-baru ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat melaporkan peningkatan ketara kes rogol dan sumbang mahram di negeri itu—dari 206 kes pada tahun 2023 kepada 252 kes pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 22.3 peratus. Lebih mengejutkan, sebahagian pelaku adalah remaja seawal usia 10 tahun. Daripada 90 kes rogol yang dilaporkan di Kelantan sehingga April 2024, 78 daripadanya melibatkan remaja bawah umur.
Lebih meruntun jiwa, banyak kes ini berlaku atas ‘kerelaan’ mangsa. Fenomena ini menunjukkan kelompongan kesedaran remaja terhadap maruah diri dan batasan pergaulan. Dari sudut undang-undang, hubungan seksual dengan remaja bawah umur tetap diklasifikasikan sebagai rogol walau tanpa unsur paksaan. Dalam konteks sumbang mahram pula, pelaku selalunya terdiri daripada individu yang sepatutnya menjadi pelindung seperti bapa, abang, bapa saudara atau datuk sendiri. Ini adalah pengkhianatan terhadap institusi keluarga—tempat yang sepatutnya menjadi zon paling selamat untuk seorang anak.
Gejala sosial ini berakar-umbikan beberapa faktor:
1. Pendidikan seksual yang tidak menyeluruh.
Sistem pendidikan negara masih belum benar-benar berjaya menyampaikan pendidikan kesihatan reproduktif dan seksualiti yang seimbang antara ilmu biologi, aspek undang-undang serta nilai agama dan moral. Dalam kebanyakan kes, pelajar hanya diajar dari sudut anatomi dan fungsi biologi semata-mata, tanpa ditekankan aspek tanggungjawab, batasan agama, serta akibat psiko-sosial daripada hubungan luar nikah. Akibatnya, remaja tidak memahami bahawa hubungan seksual bukan sekadar soal fizikal, tetapi melibatkan maruah, amanah dan dosa.
2. Kegagalan pengawasan ibu bapa.
Dalam era teknologi dan digital yang meluas, ramai ibu bapa masih berpegang kepada gaya keibubapaan konvensional yang tidak lagi sesuai dengan realiti semasa. Ramai tidak menyedari bahawa telefon pintar di tangan anak-anak bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga pintu masuk ke dunia maya yang penuh bahaya—pornografi, sexting, serta budaya ‘dating’ yang semakin normal. Ibu bapa yang tidak mengawal atau memantau penggunaan gajet secara bijaksana membuka ruang kepada pengaruh negatif yang mencorakkan perilaku seksual anak mereka.
3. Pengaruh media sosial dan hiburan.
Remaja masa kini lebih terpengaruh dengan pempengaruh di media sosial berbanding ibu bapa, guru atau pemimpin agama. Platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube sarat dengan kandungan yang mewajarkan hubungan bebas, mempersenda nilai kesucian diri dan mempromosi gaya hidup hedonistik. Filem, drama dan muzik pula sering menggambarkan seks pranikah sebagai normal dan wajar; atas nama mencari keserasian. Tanpa kawalan kendiri dan kesedaran agama, remaja mudah terikut dan meniru tanpa memahami implikasinya.
4. Rumah tangga yang toksik dan tidak berfungsi.
Keluarga yang bermasalah, sama ada akibat penceraian, keganasan rumah tangga, atau kemiskinan emosi mencipta suasana yang tidak selamat buat anak-anak. Dalam rumah yang penuh tekanan dan konflik, komunikasi antara ahli keluarga bukan sahaja menjadi lemah, malah menjadi racun yang merosakkan jiwa anak-anak. Anak yang terabai secara emosi menjadi mudah dieksploitasi. Lebih parah, ada yang menjadi mangsa penderaan seksual oleh ahli keluarga sendiri, tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut, malu atau tidak tahu kepada siapa harus mengadu.
5. Kepimpinan lelaki yang lemah.
Aspek yang jarang dibahaskan ialah kepincangan kepimpinan lelaki; sama ada sebagai ketua keluarga, guru, pemimpin komuniti mahupun pentadbir negara. Lelaki seharusnya menjadi pelindung dan pembimbing. Malangnya, ramai yang menyalahguna kuasa, malah menjadi pemangsa. Begitu juga, apabila lelaki bersikap tidak acuh dalam isu penderaan seksual, sedangkan merekalah yang patut ke hadapan membela yang lemah, maka masyarakat itu dengan sendirinya tidak terbela. Apabila pemimpin lelaki (di rumah, di sekolah, di masjid, malah di Parlimen) tidak bersuara untuk melindungi wanita dan kanak-kanak, itu adalah petanda masyarakat ketandusan kepimpinan.
Lalu, apakah solusinya? Masalah ini amat kompleks dan perlu ditangani bersama. Ia menuntut perubahan budaya, pembaharuan sistem dan kebangkitan peranan sosial, terutamanya dalam kalangan lelaki.
1. Pendidikan seksual Islamik di sekolah.
Pendidikan seksual perlu dibincangkan bukan sahaja dari segi biologi, tetapi juga akhlak, undang-undang, dan nilai murni. Pelajar perlu memahami bahawa tubuh mereka adalah amanah, dan batasan syariah bukanlah untuk menyekat keseronokan, tetapi untuk menjaga kehormatan dan keselamatan. Modul ini harus melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama dan pakar psikologi.
2. Pemantauan dan keibubapaan yang berkesan.
Ibu bapa perlu dilatih dan dibimbing agar menjadi lebih peka dengan perkembangan emosi, sosial dan teknologi anak-anak. Kursus keibubapaan, sesi sokongan komuniti serta ceramah masjid perlu diaktifkan agar ibu bapa tidak ketinggalan dalam memahami cabaran remaja masa kini. Pemantauan bukan sekadar mengawal, tetapi membina kepercayaan agar anak berani berbicara jika ada ancaman.
3. Penguatkuasaan undang-undang dan pendedahan kes.
Pihak berkuasa perlu mempertingkat penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah seksual dan sumbang mahram. Pendakwaan tidak boleh bertangguh, dan hukuman mesti memberi kesan mendidik kepada masyarakat. Media juga boleh memainkan peranan dengan melaporkan kes-kes ini secara berhemah sebagai langkah pencegahan dan pendidikan awam.
4. Peranan aktif institusi agama dan NGO.
Masjid, surau dan organisasi masyarakat harus menjadikan isu penderaan seksual sebagai topik utama dalam khutbah, forum dan ceramah. Dakwah perlu mengulas isu-isu semasa, dan mengaitkan hal-hal ibadah sebagai mekanisme mengawal perilaku dan hawa nafsu. Perbincangan tentang zina, aurat, pergaulan dan tanggungjawab lelaki perlu dihidupkan semula dalam ruang keagamaan agar membentuk kesedaran kolektif.
6. Pemerkasaan kepimpinan lelaki.
Lelaki perlu berperanan sebagai pelindung. Ini bukan soal maskuliniti toksik, tetapi tentang sifat qudwah—teladan dan tanggungjawab. Lelaki yang berakhlak tinggi akan membina generasi muda yang berakhlak juga. Guru lelaki, imam, penceramah, ketua masyarakat dan ahli politik lelaki mesti lebih lantang membela hak wanita dan kanak-kanak; bukan sekadar diam, memandang remeh isu ini, apatah lagi menyalahkan pihak lain.
Rogol dan sumbang mahram bukan sekadar jenayah, tetapi cerminan keruntuhan tamadun. Setiap kita, sama ada sebagai ibu bapa, guru, pemimpin atau anggota masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting. Mangsa bukan sekadar angka dalam statistik. Mereka adalah anak-anak kita dan masa depan negara. Jika masyarakat terus memandang enteng perkara ini, kita seolah-olah mengizinkannya berleluasa.