Beberapa minggu lepas ketika team Malaysia berhempas-pulas dan memerah keringat untuk meraih pingat emas, dalam gelanggang badminton di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro Brazil, hati kita telah menjadi satu untuk berkongsi rasa cemas dan merasai debarannya. Perasaan teruja rakyat Malaysia dirakam dan dikongsi di mana-mana media. Walaupun akhirnya pingat emas gagal diperolehi, kepulangan mereka tetap disambut sebagai wira negara. Ini kerana gelanggang yang menjadi tempat mereka bermain, bukanlah calang-calang tempat untuk beradu kekuatan, kemahiran dan kepintaran.
Banyak episod yang mengharukan, yang menjentik rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Walaupun sudah lama kita boleh duduk makan semeja, tetapi perkongsian perjalanan dalam perjuangan demi mengharumkan nama negara ketika itu, amat mengharukan. Betapa sukan telah dapat menyatukan hati-hati kita.
Ketika artikel ini ditulis, kemenangan atlet negara memperoleh tiga pingat emas dalam tiga acara olahraga dalam Sukan Paralimpik 2016, masih kita sama-sama rasai manisnya. Sekali lagi melalui platform sukan, hati kita dapat bersatu.
Walau bagaimanapun, persoalan yang muncul dalam benak penulis, berapa lamakah momentum ini boleh bertahan? Sedangkan, di celah-celah kemeriahan cerita gembira yang dikongsi oleh rakyat Malaysia, masih ketara metafora prejudis dan konflik sesama kita sebagai rakyat Malaysia.
Sehinggakan, seolah-olahnya sudut dan ruang kesejahteraan dan keamanan yang masih dimiliki hanya untuk dijadikan sebagai peluang yang boleh menghasilkan keuntungan dalam bentuk kebendaan. Bukannya untuk memelihara dan mempertahankan kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang berdaulat. Bahkan sesetengahnya sanggup mencetuskan polemik, dan menyinggung hati dan perasaan orang lain yang mempunyai pelbagai perbezaan latar belakang.
Apabila ada sebahagian rakyat berasa amat tersinggung, tentulah akan timbul reaksi yang tidak baik berupa kecaman dan ugutan yang boleh menjejaskan keselamatan individu atau pihak yang mencetuskan provokasi. Rentetan daripada itu, ada yang lari ke luar negara kerana takutkan keselamatan dirinya terancam atau melarikan diri daripada dihadapkan ke muka pengadilan, dan memohon suaka politik daripada negara terbabit. Tentulah amat menjengkelkan apabila perlindungan yang diterima, hanya memberi ruang untuk mereka meneruskan aktiviti-aktiviti provokatif mereka.
Yang lebih menyedihkan apabila sesetengahnya bukan sahaja menjadi perosak bangsa dan negara, tetapi juga menyertai golongan pengganas di peringkat antarabangsa. Atas nama agama kononnya, mereka cuba mendapatkan tiket ke syurga secara cepat dan mudah.
Semua yang berlaku ini adalah kerana tiadanya pegangan hidup dan jati diri yang kuat serta tiada kecintaan yang dalam terhadap keamanan. Patriotisme yang mereka miliki, tidak benar-benar tertanam dalam jiwa. Kita seharusnya bimbang jika simbol-simbol kenegaraan yang kita lihat pada hari ini, hanyalah berbentuk retorik dan dizahirkan atau dikumandangkan pada masa-masa tertentu. Jika ini terus berlaku, maka semakin rapuhlah jati diri bangsa Malaysia.
Jika tiada sifat patriotik, maka sukarlah rakyat negara ini untuk membentuk perpaduan yang jitu. Jika perpaduan tidak terjalin, maka kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini tidak akan panjang usianya. Malah sebenarnya pada hari ini, kita sudah mula merasai bahangnya.
Kemerdekaan negara ini yang sedang menghampiri enam dekad sebenarnya semakin jauh meninggalkan keperitan perjuangan dahulu. Terutamanya dalam kalangan generasi muda. Maka tidak mustahil jika ada kalangan mereka yang membaca buku sejarah negara ini tetapi membacanya tanpa penghayatan dan tiada rasa.
Oleh yang demikian, sesuatu perlu dilakukan bagi mengekalkan momentum patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia, dan negara ini terus dicintai oleh setiap warganegaranya. Bukan sahaja bagi menikmati kehidupan bernegara, tetapi juga sanggup menabur budi dan mempertahankan negara dari setiap ancaman.
Kita harus belajar daripada pengalaman lepas, bagaimana empayar Melaka yang sangat maju dan terbilang itu boleh jatuh dalam masa yang singkat. Dikhabarkan tembok pertahanan yang melindungi kota Melaka amat kuat. Juga dikatakan tahap persenjataan dan kekuatan tentera kerajaan pada ketika itu amat maju dan tinggi daya ketahanannya.
Maka, bukan disebabkan kelemahan kubu pertahanan kota Melaka, tetapi wujudnya petualang bangsa seperti Si Kitul, Raja Mendaliar dan Laksamana Khoja Hassan. Para pemimpin dan rakyat harus bersama-sama berusaha untuk tidak mengulangi sejarah silam yang pahit. Kaedah yang terbaik adalah dengan menanamkan semangat patriotik pada peringkat umur yang paling rendah, agar ia menjadi darah daging rakyat.
Ujar Dr Yusof al-Qaradhawi, “Jika kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan pemudanya adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara berkenaan pada masa akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur, tetapi, jika keadaannya adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan yang buruk, yang bakal berlaku.”
Justeru, pendidikan cintakan negara secara formal mahu pun tidak formal harus sentiasa dilaksanakan. Mungkin ada baiknya, untuk kita mencontohi pendidikan cintakan negara daripada negara-negara yang mendahului perkara ini. Amerika Syarikat contohnya, telah mendedahkan pendidikan berkaitan kenegaraan kepada rakyatnya, seawal umur tiga tahun. Dalam usia muda, mereka telah dikenalkan dengan simbol-simbol yang berkaitan dengan negara mereka seperti lambang presiden dan bendera negara. Dalam lingkungan 10 tahun pula, mereka telah didedahkan dengan konsep-konsep yang lebih abstrak sifatnya termasuklah peranan rakyat dalam bernegara.
Sebagai tambahan, dalam konteks Malaysia, memahami Perlembagaan Persekutuan dengan jiwa yang harmoni adalah amat penting atas sifat kepelbagaian budaya dan cara hidup Malaysia. Ia juga harus difahami bersama-sama atas tujuan apa Perlembagaan itu digubal untuk negara Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu menginsafi bahawa sebelum kita dapat menikmati kehidupan dan meraih kebaikan yang ada dalam negara, negara ini perlu dipelihara dan dipertahankan. Modalnya adalah jiwa patriotic.