Perlumbaan menjadi sebuah negara tua dengan persediaan menjadi sebuah negara tua berbaki lebih kurang lima tahun lagi. Ironinya, biar siapapun yang menang, “tua” akan kekal datang tanpa dapat dihalang.
Tidak banyak pilihan yang tinggal buat Malaysia. Sedia atau tidak, penduduk warga emas akan bertambah seiring dengan pertambahan kualiti perkhidmatan kesihatan. Ketika ini, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan seramai 3.9 juta orang atau 11.6% daripada populasi di Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas pada 2024.
Pertambahan individu warga emas juga membayangkan peningkatan penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease). Ketika ini, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan lebih 500,000 atau 2.5% individu dewasa di Malaysia menghidap empat penyakit tidak berjangkit iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol dan obesiti. Sekiranya tiada langkah-langkah proaktif diambil, semakin ramai individu dewasa akan membawa bersama-sama penyakit ini pada usia tua.
Fitrah tubuh badan yang menua tidak akan sama seperti ketika muda. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang menyebut tentang mereka yang dipanjangkan usia akan dikembalikan dalam keadaan lemah (Yāsīn, 36: 68). Begitu juga mereka yang dilanjutkan umur sehingga peringkat tua sehingga tidak lagi mengetahui apa yang diketahui sebelum ini (Al-Ḥajj, 22: 5; Al-Naḥl, 16: 70).
Perpindahan ke wilayah sunyi
Usia muda telah banyak digunakan dalam pengembaraan dan membina kehidupan. Maka ada individu memilih untuk berehat atau bergerak perlahan dalam fasa usia tua. Dalam masa yang sama, ada juga mahu mengekalkan kehidupan aktif selagi mempunyai kudrat dan peluang untuk berbuat sedemikian.
Bagaimanapun, sekelompok masyarakat dilihat mengharungi usia tua dalam keadaan yang berbeza—penghijrahan senyap ke wilayah sunyi, di mana hidup seakan “menunggu mati.” Keterbatasan fizikal dan psikologikal ketika menginjak usia tua seakan-akan menjadi hukuman bukan sahaja pada empunya diri, bahkan juga kepada masyarakat di sekeliling.
Kesunyian yang wujud dalam kalangan warga emas ini hasil daripada keterasingan diri dan kekosongan emosi. Ini termasuklah disebabkan oleh perubahan struktur sosial seperti kehilangan pasangan dan status sosial; tiada simpanan/pendapatan; penurunan fungsi tubuh badan dan kesihatan mental; kurangnya komunikasi yang bermakna dan lain-lain.
Keterasingan sosial juga telah menjadi suatu fenomena dalam kalangan warga emas bagi negara yang menunjukkan kecenderungan demografi ke arah pembentukan “negara tua.” Kemuncak keterasingan sosial ini juga boleh membawa kepada kematian dalam kesunyian—suatu keadaan menyedihkan yang boleh berlaku ke atas seorang insan.
Fenomena ini dikenali sebagai Kodokushi di Jepun, yang juga sebuah negara yang berada dalam kategori “super-aged.” Kodokushi merujuk kepada keadaan individu yang meninggal dunia tanpa sebarang penjagaan, dan jasadnya hanya ditemui selepas suatu tempoh masa tertentu. Kajian Byard (2025) berhubung implikasi forensik kematian sunyi menyatakan anggaran kes kematian sunyi di Jepun pada 2024 adalah sebanyak 68,000.
Berdasarkan kajian, penyelidik mendapati jasad individu yang terasing secara sosial berkemungkinan tidak ditemui segera berbanding mereka yang meninggal dunia dalam kalangan ahli keluarga. Oleh itu, penyelidik berpandangan tahap pereputan mayat juga boleh dianggap sebagai satu petunjuk keadaan pengasingan sosial.
Terdapat kes-kes kematian dalam kesunyian yang berlaku di Malaysia dilihat terarah kepada kesimpulan sebagaimana kajian tersebut. Ada jasad yang ditemui dalam keadaan yang telah berulat dan berbau. Laporan penemuan juga dibuat oleh masyarakat setempat hanya setelah bau mayat telah tersebar.
Lalu timbullah pelbagai polemik sama ada melalui cakap-cakap setempat atau dalam media sosial tentang pengabaian aspek penjagaan dan khabar masyarakat sekeliling terhadap si mati. Ironinya, polemik tersebut berbunyi seperti lirik lagu rakyat Bangau Oh Bangau—yakni menunding jari kepada pihak lain, tanpa menunjuk kepada diri sendiri.
Realitinya, sebarang kejadian kematian sunyi yang berlaku adalah tanda kegagalan kolektif masyarakat. Inilah di antara perkara yang perlu diberi perhatian apabila Malaysia sudah berada di landasan pembentukan “negara tua.” Fenomena kematian sunyi ini boleh berubah menjadi kanser yang membunuh sekiranya tiada pendekatan inter-disiplin yang merangkumi perubatan, penjagaan, keselamatan dan keterjaminan kewangan di ambil kira dalam dasar negara.
Menangani kesepian warga emas
Di antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT ialah menciptakan manusia untuk hidup berpasangan dalam kasih sayang dan kasihan belas (Al-Rūm, 30: 21). Bahkan dijadikan manusia dari pelbagai bangsa untuk saling berkenalan (Al-Ḥujurāt, 49: 13) yang menunjukkan manusia adalah makhluk yang hidup bermasyarakat.
Oleh itu, hidup bersendirian hanya berlaku jika terpaksa, dan ia bukanlah satu perkara yang ideal. Bagaimanapun, setiap individu meniti ujian yang berbeza di dunia ini. Justeru Islam tidak menafikan kewujudan dan hak individu termasuk warga emas yang tidak mempunyai keluarga, waris, rakan ataupun yang ditinggalkan/diabaikan.
Dalam hal ini, Islam telah meletakkan masyarakat dan negara untuk menggantikan fungsi keluarga. Di peringkatan masyarakat, orang ramai hendaklah melaksanakan tanggungjawab mengambil berat akan warga emas melalui semangat kejiranan, pemantauan ahli kariah dan mengeratkan hubungan rakan sebaya.
Dalam konteks negara pula, penjagaan bagi warga emas yang hidup sendirian dilihat lebih wajar dilaksanakan secara desentralisasi. Ini kerana pihak berkuasa setempat mempunyai maklumat yang lebih tepat tentang struktur masyarakat di kawasan tersebut. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah melalui lawatan berkala khususnya terhadap warga emas sendirian yang mempunyai isu kesihatan.
Membina masyarakat yang bertanggungjawab dan penyayang
Fenomena kesepian dan kematian dalam kesunyian dalam kalangan warga emas tidak lagi boleh dilihat sebagai isu terpinggir, lebih-lebih lagi ketika negara berada dalam landasan ke arah status “negara tua.” Sebaliknya, fenomena ini mencerminkan krisis nilai dan kegagalan tanggungjawab kolektif masyarakat Malaysia yang selama ini berbangga dengan cara hidup berpaksikan agama dan budaya ketimuran.
Penghormatan terhadap warga emas khususnya ibu bapa bukan pilihan, tetapi kewajipan yang ditetapkan syarak. Tanggungjawab ini perlu dipikul secara bersama oleh anak-anak, waris, masyarakat dan juga negara. Usah biar arus kemajuan teknologi dan kepesatan pembangunan “melambatkan” kita dalam merangka rancangan untuk masa depan hari tua kita sendiri.