Hendak sediakan payung sebelum hujan kerana disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pandemik COVID-19 mendesak agar tabung Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) dijadikan talian hayat demi kelangsungan hidup. Keputusan menggadai skim tabungan persaraan sudah tentu melalui pertarungan sengit antara pelbagai hikmah dengan risiko. Sekali pandang, keputusan ini boleh melepaskan sementara keterdesakan hidup rakyat, namun yang lebih penting adalah semua pihak perlu menyambutnya dengan perspektif dan sikap yang betul.
Pandemik menguncupkan ekonomi dan produktiviti di seluruh dunia. Malaysia menyaksikan beberapa siri pakej rangsangan fiskal yang nampaknya sekadar membendung air di muara. Himpitan kelembapan ekonomi memaksa kita setuju untuk memecahkan tabung persaraan, dengan harapan duit tabung ini mampu menompang serta memacu kembali kekuatan isi rumah untuk terus memulihkan dan menggerakkan ekonomi keluarga. Di sinilah pentingnya sikap yang betul supaya duit tabung tersebut hanya digunakan untuk keperluan, modal aktiviti ekonomi atau pelaburan berpotensi serta tidak sekali-kali digunakan untuk mendapatkan keperluan perhiasan dan kemewahan.
Mengenali tabiat dan tingkah laku berbelanja majoriti rakyat Malaysia, kebimbangan tidak dapat dihilangkan terhadap situasi yang bakal terjadi. Di ambang perayaan terutamanya, perniagaan yang baru dapat bernafas mengambil kesempatan untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan. Kelonggaran pengeluaran wang KWSP memberi peluang kepada peniaga untuk memancing pembeli dengan skim potongan harga yang mampu menarik keluar duit daripada poket mereka. Sudah tentu, keadaan ini menambahkan lagi kesulitan mendisiplinkan diri setelah duit sudah ada ditangan, sedangkan tawaran potongan harga “seumur hidup” mengganggu emosi pembeli yang tamak dan tidak berfikir panjang.
Setelah semua duit habis dibelanjakan barulah disedari bahawa keperluan asas keluarga masih tidak mencukupi malah sangat diperlukan. Simpanan hari tua yang dicagarkan bukan sahaja tidak mampu ditebus malah keperluan asas demi kelangsungan hidup juga terabai. Menurut kajian KWSP, setiap individu perlukan simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 bagi tempoh 20 tahun (umur 55 sehingga 75 tahun) untuk menampung keperluan asas dengan kadar perbelanjaan asas sebanyak RM1,000.00.
Jika dinilai dari segi kenaikan harga barang dan faktor-faktor lain, peruntukan sebanyak ini tidak mencukupi. Jumlah RM3,000 sebulan mungkin agak selesa, tetapi memerlukan simpanan sebanyak RM720,000 ketika tempoh bersara (55 sehingga 75 tahun). Dengan menggunakan kalkulator persaraan (jumlah tunai untuk kegunaan bulanan), berapa baki simpanan yang dimiliki jika ditolak dengan Pengeluaran Khas yang dibuka pada April 2022? Kalau tidak mencukupi, bersedialah untuk terpaksa bekerja lagi di era umur emas atau hidup dalam ehsan orang lain. Mungkin pada masa ini kita akan mengesahkan betapa benarnya hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan “dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia ialah kesihatan dan waktu lapang” (hadis Riwayat al-Bukhari) kerana pada waktu umur sebegini, kedua-duanya sudah mula suntuk.
Ada sebilangannya yang keliru dengan peningkatan kadar kematian semasa COVID-19 menganggap perancangan persaraan sudah tidak signifikan. Yang diutamakan adalah kelangsungan sekarang berbanding kemungkinan masa hadapan yang tidak jelas. seyogia, diingatkan bahawa jika kini kita amat perlukan kemampuan kewangan untuk meneruskan kehidupan, apatah lagi pada hari tua ketika kudrat dan kesihatan tidak membantu untuk kita terus bekerja mencari sara hidup.
Tanpa kemampuan kewangan memungkinkan kita bergelandangan kerana tidak mampu menyediakan keperluan asas seperti tempat teduh atau makanan. Berbeza dengan mereka yang beringat di hari tua, lebihan wang pada masa persaraan selain memenuhi keperluan, wang tersebut boleh digunakan untuk berehat dan melancong ke luar negara. Menurut statistik, Belanda, Denmark dan Singapura antara negara yang mempunyai skim simpanan wajib perancangan persaraan (Central Provident Fund) terbaik di dunia sehingga mampu menampung pendapatan/bayaran bulanan sepanjang hayat.
Himpitan kewangan semasa dan penguncupan ekonomi yang dihadapi mengajak kita mencari solusi samawi. Hari ini kita diperingatkan kembali terhadap peri pentingnya peranan zakat, wakaf dan baitulmal yang merupakan satu instrumen penyeimbang aturan struktur sosioekonomi masyarakat. Falsafah dan konsep di sebalik instrumen ini adalah menyumbang, menyimpan dan mengagihkan.
Al-Quran melalui kisah Nabi Yusuf a.s membayangkan idea menyimpan pada kemudian hari bakal mendapat rahmat daripada Allah SWT sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim: “Allah memberi rahmat kepada seseorang yang berusaha dengan baik, membelanjakan secara sederhana, menyimpan yang lebih untuk kegunaan di waktu susah dan memerlukan”. Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW berpesan; “Simpanlah sebahagian daripada harta kamu untuk kebaikan masa depan kamu, kerana itu jauh lebih baik bagi kamu” (Riwayat Bukhari).
Salah faham terhadap kekayaan sering berlaku dalam Islam kerana menganggap mencari kekayaan adalah satu perkara tercela dan tidak selari dengan agama sedangkan konsep-konsep pengurusan kekayaan seperti di atas sangat banyak disokong dengan nas dan sejarah ketamadunan Islam. Malah, Muslim sebenar sentiasa berikhtiar agar mampu menyediakan keperluan asas dan perbelanjaan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selain selari dengan tuntutan agama, KWSP ialah skim simpanan persaraan ini dilindungi perundangan dan diurus oleh pengurus dana yang profesional. Semangat pengeluaran khas juga hendaklah selari dengan tuntutan agama agar tidak berlebih-lebihan dan menggunakan kemudahan untuk keperluan. Pola bermewah-mewah atau bermegah-megah dengan peranti pintar atau kenderaan baharu untuk pulang beraya bukanlah satu perkara yang bijak menggunakan duit tabung kecemasan. Jika ada keberkatan, wang tabung ini mampu membangunkan sebuah perniagaan yang tidak mungkin kita lupakan inisiatif kerajaan membenarkan pengeluaran. Eloklah kita berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Semua ini terletak ditangan kita, demi masa depan bersama.