Ada yang melihat bahawa guru tidak lagi mempunyai peranan utama sebagai pendidik dalam dunia yang digerakkan oleh teknologi. Guru hanya dilihat sebagai pemudah cara di dalam bilik darjah iaitu sebagai medium penyampai ilmu dan bukan sebagai pendidik.
Demikian realiti pada zaman ini apabila dunia semakin melupakan nilai kasih, bimbingan, didikan dan hubungan guru dengan murid yang tulus. Ramai guru yang mengeluh dengan cabaran yang dihadapi hari ini. Masalah akhlak dan adab dalam generasi hari ini diletakkan sepenuhnya ke atas bahu guru.
Sukar untuk guru menjalankan tugas sebagai pendidik apabila guru hanya dilihat sebagai pemudah cara yang menyampaikan ilmu. Tidak mungkin guru dapat membentuk akhlak dan adab sekiranya tidak wujud suhbah antara guru dengan murid.
Konsep suhbah sudah sebati dalam tradisi pendidikan Islam. Suhbah ialah satu bentuk pergaulan yang menghidupkan nilai, kasih sayang dan teladan, lalu memberi makna satu kebersamaan yang membina dan menyuburkan jiwa insan. Nabi Muhammad SAW membentuk keperibadian para sahabat melalui pendekatan suhbah iaitu kehadiran yang hidup yang menular dari hati ke hati.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang membawa maksud, “Seorang lelaki itu bergantung dengan teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Dalam kata lain, manusia bukan sahaja dibentuk menerusi apa yang dipelajari tetapi juga dengan siapa dia bersama. Apabila perkara ini dikaitkan dengan pendidikan, suhbah menjadi roh kepada proses pembelajaran. Suhbah bukan sahaja melibatkan penyampaian ilmu daripada seorang guru kepada pelajarnya, malahan merupakan satu pertemuan antara hati dan jiwa.
Suhbah membolehkan seorang guru menyentuh hati sanubari pelajarnya kerana wujud saling mempercayai antara satu sama lain menerusi rasa hormat. Namun, roh suhbah semakin terhakis di tengah-tengah dunia digital, tekanan sistemik dunia pendidikan dan kehadiran segelintir ibu bapa yang mementingkan aspek akademik semata-mata tetapi mengabaikan aspek akhlak dan adab anak-anak mereka.
Apabila bilik darjah hilang rohnya, maka suhbah tidak akan dapat tumbuh. Jika roh suhbah wujud, guru dapat mengenali dengan dekat setiap pelajarnya. Guru akan tahu siapa yang tidak mempunyai cukup wang untuk makan, siapa yang dahagakan kasih sayang, siapa yang menghadapi masalah keluarga dan sebagainya.
Hubungan guru dengan murid ini tidak tercatat alam mana-mana data atau laporan tetapi terzahir dalam kepercayaan, keyakinan dan senyuman dalam diri pelajar-pelajar yang diterapkan dengan roh suhbah. Hakikatnya, suasana dunia pendidikan hari ini sudah berubah.
Guru menjadi pemudah cara dan pengoperasi sistem, bukan lagi sebagai pendidik dan pembimbing insan. Pelajar-pelajar hadir ke sekolah dengan beban emosi, gangguan perhatian dan keletihan digital. Guru pula berhadapan dengan penilaian berasaskan data yang mengukur prestasi tetapi mengabaikan nilai keinsanan dan kasih sayang.
Suhbah yang dahulunya wujud asbab kepercayaan antara guru, pelajar dan ibu bapa kini digantikan dengan benteng e-mel, skrin dan aduan. Ibu bapa yang dahulunya rakan dalam mendidik insan kini menjadi pelanggan. Guru yang sebelum ini dihormati kini dilihat tidak lebih daripada petugas khidmat pelanggan.
Apabila kepercayaan kepada guru hilang, maka suhbah juga pupus. Dari sinilah bermulanya kehancuran dalam dunia pendidikan. Islam menegaskan bahawa ilmu tanpa hubungan guru dengan murid yang baik merupakan satu hubungan yang kering dan kosong.
Dalam tradisi Islam, suhbah menjadi asas kepada pendidikan rohani dan akhlak. Ulama besar dalam Islam, antaranya seperti Imam al-Ghazali, menekankan bahawa pelajar mesti belajar bukan sahaja dengan buku tetapi juga dengan kehadiran seorang guru yang berakhlak. Malah, Imam Malik pernah berkata kepada pelajarnya, “Pelajarilah adab sebelum ilmu.”
Abu Zakariya al-Anbari pula pernah menukilkan bahawa “Ilmu tanpa adab ibarat api tanpa kayu bakar manakala adab tanpa ilmu ibarat jasad tanpa roh.” Dalam konteks moden, semua nukilan kata-kata ini mengingatkan kita bahawa pendidikan bukan sekadar penguasaan akademik tetapi yang lebih utama ialah pendidikan membentuk manusia.
Apabila guru hilang ruang untuk berinteraksi dengan pelajarnya berteraskan kepercayaan dan kasih sayang, roh suhbah akan terhakis. Apabila pelajar hanya mengenali wajah gurunya melalui skrin, maka akhirnya nanti pendidikan akan kehilangan makna dan tujuannya.
Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi mengubah cara kita berhubung. Namun, perubahan ini tidak semestinya membawa kepada kehilangan. Suhbah boleh dihidupkan semula jika kita memulakan semula dengan hati sanubari.
Untuk para guru, suhbah bermula dengan melihat murid sebagai manusia, bukan angka atau statistik dalam sistem. Walaupun terikat dengan sukatan pelajaran yang berat, pelbagai laporan yang perlu disediakan dan jadual waktu yang padat, guru seharusnya masih boleh mengekalkan ruang kecil untuk mendengar, bertanya dan memahami.
Bagi ibu bapa pula, suhbah bermakna memberi kepercayaan kepada guru untuk menjalankan tanggungjawab dan amanahnya sebagai pendidik. Ibu bapa tidak harus mempunyai sifat menghukum ke atas guru tanpa usul periksa. Hubungan ibu bapa dengan guru perlu kembali kepada hubungan rakan dalam pendidikan dan bukannya hubungan sebagai pelanggan kepada penyedia perkhidmatan.
Di pihak pembuat dasar pula, suhbah antara guru dengan pelajar perlu diwujudkan kembali supaya peranan guru sebagai pembangun insan dan pembina tamadun diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Guru bukan sekadar penyampai sukatan pelajaran yang telah disediakan. Ilmu yang disampaikan tanpa diterapkan nilai akhlak dan adab akan melahirkan generasi yang sekadar menghafal tanpa memahami ilmu yang dipelajari.
Teknologi pastinya boleh membantu tetapi hakikatnya, teknologi tidak sama sekali mampu menggantikan sentuhan insan. Kata-kata nasihat yang disampaikan dengan ikhlas oleh seorang guru adalah lebih bermakna berbanding laporan digital yang dimuat turun. Senyuman dan tangisan seorang guru apabila melihat pelajarnya berjaya lebih berkesan berbanding seribu emoticon dalam mesej WhatsApp.
Dunia pendidikan akan terus bergerak ke hadapan dengan dipacu oleh teknologi. Namun, masalah yang timbul di sekolah hari ini tidak akan mampu diselesaikan oleh teknologi semata-mata. Sebaliknya, kita perlu kembali kepada usaha untuk menghidupkan roh suhbah dalam dunia pendidikan.
Apabila suhbah dapat dikembalikan, hubungan tulus ikhlas melibatkan guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat dapat dihidupkan kembali. Selagi mana suhbah masih wujud di institusi pendidikan seperti sekolah, harapan untuk pendidikan yang melahirkan manusia beradab, berakhlak dan berilmu pengetahuan tidak akan padam.

