Dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 6 Julai 2002, dilaporkan keputusan sebuah mahkamah di Berlin yang menegah seorang guru wanita Islam memakai tudung. Fereshta Lydin telah memperjuangkan hak kebebasan mengamalkan agama termasuk memakai tudung. Isu yang sama pernah juga berlaku di sebuah negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bahkan pada satu ketika pelajar-pelajar wanita Islam Malaysia yang belajar kursus perubatan di negara tersebut terpaksa pulang kerana pihak berkuasa universiti melarang pelajar-pelajar wanita memakai tudung.
Kita juga ada mendengar bagaimana seorang ahli Parlimen wanita ditegah melahirkan identiti keagamaannya seperti bertudung di Parlimen. Kita boleh dengan mudah mengatakan perkara ini berlaku di negara bukan Islam atau di negara yang meletakkan asas pemerintahnya adalah sekular.
Ukuran sama ada sesebuah negara itu Islam atau tidak bukanlah terlalu sukar. Ia boleh dikaji dari aspek sejarah, kemasyarakatan, ekonomi, perundangan dan lain-lain. Adalah tidak perlu untuk meletakkan sesebuah negara itu Islam hanya apabila perkataan Islam dicetak di muka dokumen perundangan seperti perlembagaan, tanpa memperhitungkan atau mengambil kira dasar-dasar pemerintahan negara berkenaan.
Beberapa pemimpin negara dalam OIC telah berusaha untuk menampalkan label Islam dalam perundangan negara; seperti yang dilakukan oleh bekas Presiden Sudan – Jaafar Al-Namiri dan begitu juga oleh bekas Presiden Republik Islam Pakistan, Jeneral Zia Al-Haq.
Saya pernah ke Sudan beberapa tahun yang lepas untuk melihat kejayaan negara tersebut dalam melaksanakan undang-undang Islam termasuk undang-undang jenayah syariah. Secara kebetulan ketika itu undang-undang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Sudan adalah sebuah negara seperti juga Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris dan penduduknya terdiri daripada berbilang agama.
Ada beberapa produk dan perkhidmatan Islam seperti Takaful dilaksanakan di Sudan. Pengkaji mendapati Takaful di Sudan kurang berjaya. Takaful di Malaysia lebih berjaya bahkan telah menjadi rujukan oleh beberapa negara Islam lain di Asia Barat dan Asia Tenggara sendiri. Buat masa kini telah ada tiga atau empat syarikat Takaful beroperasi di negara kita. Selain dari perbankan Islam yang lebih menyeluruh pelaksanaannya.
Pakistan telah mencapai kemerdekaan lebih awal dari Malaysia dan mengisytiharkan sebagai negara Islam dalam perundangan negaranya. Hanya selepas 30 tahun barulah diadakan undang-undang jenayah syariah seperti hudud dan qisas.
Pada suatu ketika memang kita ada mendengar dan melihat gambar di dada akhbar orang yang melakukan kesalahan tertentu seperti zina disebat di khalayak ramai. Semasa kunjungan saya ke Islamabad bersama dengan Al-Marhum Prof. Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim, persoalan hudud telah dibangkitkan. Begitu juga pada tahun lepas seorang Menteri Wakaf Pakistan yang menghadiri satu persidangan di Kuala Lumpur telah mengunjungi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Soalan tentang perkara yang sama telah diketengahkan. Menurut menteri itu, beliau telah memberi pandangan kepada sebuah kerajaan negeri supaya tidak gopoh untuk melaksanakan undang-undang hudud. Pakistan mendapati ada masalah dalam pelaksanaan undang-undang hudud. Beberapa ahli akademik di Universiti Islam Islamabad juga memberi pandangan yang sama. Oleh demikian perkara ini perlu dikaji dan seterusnya membuat satu rumusan yang konstruktif sebelum negara-negara Islam lain melaksanakan sepenuhnya.
Telah ramai sarjana Islam termasuk bukan Islam dari luar negara mengiktiraf Malaysia sebuah negara Islam; sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad membuat kenyataan di satu perhimpunan parti politik bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Pemimpin-pemimpin dalam kerajaan dari pelbagai kaum dan agama tidak menentang kenyataan ini. Bahkan ada daripada kalangan pemimpin dalam kerajaan yang bukan Islam yang menyebut Malaysia adalah negara Islam yang moderat.
Pada satu tahap ada pihak yang mencabar supaya pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam dibuat di Parlimen. Baru-baru ini dalam titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ada melafazkan Malaysia sebagai negara Islam.
Bagaimanapun masih kedengaran suara yang cuba menafikan Malaysia ini sebuah negara Islam. Mungkin atas tujuan hanya mengakui jika negara ini dipimpin oleh mereka baru negara Islam. Pandangan dan pendapat mereka sahajalah yang betul dan muktamad. Persoalannya konsep apa yang mereka pakai dan untuk tujuan apa berbuat demikian.
Memang ada buku yang ditulis oleh penulis yang menghuraikan konsep negara Islam secara sempit. Akan tetapi apakah buku-buku yang ditulis oleh ramai lagi sarjana yang lebih berwibawa tidak perlu diberi perhatian dan dibuat perbandingan. Sedangkan mereka lebih ilmiah dan tidak berkepentingan.
Jika ulama tafsir seperti dalam tafsir Ibn Kathir dan Kitab tafsir Al-Maghari boleh berbeza membuat tafsiran kepada ayat mengenai pemilihan orang kafir sebagai pembantu mencerminkan ia tidak jumud dan rigid serta mengambil kira kenyataan ciri-ciri kontemporari dalam memberi tafsir, mengapa mesti kita begitu rigid dalam menetapkan konsep dan kriteria negara Islam.
Bukankah sesuatu konsep itu diperkembangkan oleh ulama sendiri dan ia tidak muktamad? Sifat keterbukaan perlu ada dalam dada dan pemikiran serta bersifat ilmiah, bukan sentimen dan taksub yang menguasai diri.
Kita perlu melihat pemerintahan sesebuah negara dalam perspektif yang lebih luas. Tidak menyempitkan konsep atau takrif negara Islam. Kriteria negara Islam tidak bergantung kepada pelaksanaan hudud semata-mata. Orang Islam dan bukan Islam di negara ini tidak semua faham tentang kesalahan hudud. Jika ditanya orang ramai nescaya pelbagai jawapan akan diberi tentang hudud.
Pemerintahan sesebuah negara hendaklah dikaji dari segenap sudut secara komprehensif, seperti ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan bukan terbatas kepada perundangan semata-mata.
Tugas pemerintah seperti yang disebutkan dalam buku Al-Ahkam Al-Sultaniyyah oleh Al-Mawardi adalah menjaga agama dan siasah di dunia. Perkara-perkara pokok agama seperti rukun-rukun Islam terlaksana dan dapat dilihat dilaksanakan dengan bebas, begitu juga bidang-bidang yang lain berkembang maju. Semuanya mengikut tuntutan Islam dan menuju ke arah Islamisasi.
Mengikut Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi, pelaksanaan hukum Islam tidak bermula dari seratus peratus, ia berlaku secara beransur-ansur. Inilah pendekatan yang diambil oleh kerajaan sekarang. Perbezaan pendekatan tidak sewajarnya dimomokkan. Bahkan ini adalah pendekatan yang praktikal dan realistik.