Bagaimana manusia memandang persekitarannya akan menentukan cara dia menggunakan sumber alam ini. Dengan itu, bagaimanakah manusia melihat ekosistem laut? Dalam hal ini, sebenarnya telah wujud banyak pandangan yang salah berkaitan hubungan manusia dan ekosistem tersebut.
Pertamanya, ramai yang beranggapan bahawa ekosistem laut itu amat luas. Oleh itu, apa sahaja sumber yang ada di dalam laut tersebut tidak akan habis sampai bila-bila. Ini merupakan satu pandangan yang salah. Apa juga sumber, baik di darat, udara mahupun lautan akan habis atau pupus jika diambil secara berlebihan. Dalam kes lautan, banyak hidupan serta sumber laut mengalami masalah kepupusan akibat perbuatan manusia yang tamak.
Sebagai contoh, kepupusan spesis penyu. Di Malaysia, terdapat empat spesis penyu yang mendarat di pantai Malaysia iaitu Penyu Belimbing, Penyu Agar, Penyu Karah dan Penyu Lipas. Keempat-empat spesis penyu ini dikategorikan sebagai spesis yang sangat terancam kerana jumlahnya yang semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Kepupusan ini pastinya akan mengganggu ekosistem lautan kerana penyu-penyu tersebut mempunyai peranan tertentu dalam ekosistem tersebut.
Bukan sahaja penyu, pelbagai spesis ikan di lautan Malaysia juga semakin terancam. Antara spesis ikan yang semakin terjejas populasinya ialah ikan kurau, gelama tirus, terubuk, pari, semilang karang, alu-alu, loban, kacang, banang dan cermin. Penurunan populasi ini akan menjejaskan tangkapan nelayan. Jika hal ini berterusan, mungkin tidak lama lagi ramai di antara kita perlu berhenti daripada memakan ikan atau sumber makanan berasaskan ikan.
Selain itu, salah anggapan lain ialah apabila kita sering melihat ekosistem laut sebagai tempat buangan untuk pelbagai jenis sisa. Ini kerana, laut itu luas dan besar. Laut yang paling hampir dengan negara kita iaitu Laut China Selatan sahaja berkeluasan tiga juta kilometer persegi. Oleh itu, pastinya dengan keluasan tersebut, ia boleh menerima atau menampung apa sahaja yang dibuang manusia tanpa mewujudkan masalah-masalah lain.
Namun, pandangan seperti amat salah. Ini kerana, sama seperti sumber alam lainnya, ekosistem laut mempunyai had tanggungannya yang tersendiri. Ini bermakna, apabila manusia berbuat sesuatu yang melampaui had tersebut, maka akan timbullah pelbagai masalah lain yang bukan sahaja menjejaskan hidupan flora dan fauna laut tetapi turut mengganggu kehidupan manusia.
Satu contoh paling mudah ialah apabila manusia membuang segala sisa beracun daripada pelbagai kegiatan perkilangan dan perindustrian, pelancongan serta kawasan perumahan ke laut. Bahan-bahan bertoksik ini akan merosakkan sumber terumbu karang. Ditambah pula dengan pelbagai kaedah penangkapan ikan serta pembangunan yang tidak terkawal, menambahkan lagi kemusahan terumbu karang. Antara kawasan yang menghadapi masalah seperti ini ialah Pulau Redang dan kawasan perairan Semporna.
Kemusnahan kawasan terumbu karang ini akan menjejaskan hidupan laut seperti ikan, ketam, sotong dan sebagainya yang sering menjadi hidangan untuk manusia. Perlulah diingat bahawa kawasan batu karang membekalkan lebih 50 peratus makanan laut. Selain sumber makanan, batu karang juga penting bagi tujuan perubatan. Sebatian bioaktif dari batu karang berpotensi digunakan sebagai ubat untuk rawatan kanser dan penyakit jantung. Selain itu, batu karang juga boleh digunakan sebagai ganti untuk tulang manusia dalam pembedahan ortopedik. Oleh itu, bayangkan jika kita terus bersikap tidak peduli terhadap ekosistem laut. Bukankah tindakan itu akhirnya akan menjejas kehidupan manusia?
Selain itu, ramai juga di antara kita sering memikirkan bahawa lautan yang jauh tidak akan menerima apa-apa kesan daripada pelbagai kegiatan manusia. Tidak semua penduduk di negara ini tinggal berhampiran kawasan pesisir pantai. Sebahagian besar daripada kita tinggal jauh dari kawasan pantai. Oleh itu, ramai yang beranggapan bahawa “apa yang saya buat tidak ada kena-mengena dengan laut.”
Cara berfikir sebegini amatlah salah. Apa sahaja yang berlaku di kawasan daratan akan memberi kesan secara langsung atau tidak kepada ekosistem laut. Sebagai contoh, seorang suri rumah ketika membasuh pinggan di dapur telah membuang sisa minyak masakan terus ke sinki. Sisa minyak tersebut masuk ke dalam saluran sinki, ke longkang kecil, longkang besar dan seterusnya ke anak sungai, sungai utama dan akhirnya ke laut. Jadi, mana mungkin perbuatan membuang sisa minyak masak tadi tidak melibatkan ekosistem lautan? Hal yang sama berlaku apabila kilang-kilang di kawasan perindustrian, kedai-kedai makanan serta pusat-pusat cucian kereta mengalirkan terus sisa buangan mereka ke saliran-saliran yang ada. Pada akhirnya, sisa tersebut akan tiba ke lautan jua.
Oleh itu, salah faham manusia terhadap ekosistem lautan yang dinyatakan tadi amat perlu diubah dan diperbetulkan. Malah, sempena sambutan Hari Laut Sedunia hari ini (8 Jun 2015), semua rakyat Malaysia seharusnya beriltizam untuk mengubah persepsi mereka terhadap ekosistem lautan. Hakikatnya, ekosistem lautan amat dekat dengan kita dan apa sahaja kerosakan yang dilakukan ke atasnya, bermakna manusia sendiri sedang memusnahkan kehidupan dan ketamadunannya.
Sehubungan itu, laut serta sumbernya perlu dipelihara dan dipulihara dengan pelbagai cara yang difikirkan sesuai. Dalam konteks penulisan ini, agama serta nilai-nilai murni yang dibawanya wajar menjadi satu saluran yang membuka minda manusia terhadap pentingnya menjaga ekosistem lautan.
Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyatakan tentang ekosistem laut. Antaranya ayat yang menunjukkan sifat-sifat laut yang gelap dan keadaan gelombang di dasar lautan (surah an-Nuur, 24:40). Selain itu terdapat juga ayat-ayat yang menunjukkan manfaat lautan kepada manusia iaitu membekal sumber makanan dan barang perhiasan (surah al-Maa’idah, 5:96, surah an-Nahl, 16:14). Melalui beberapa ayat lain pula, Allah SWT “mempermudahkan laut” untuk membantu manusia dari sudut pengangkutan kerana dengan adanya laut, kapal boleh belayar dari satu tempat ke satu tempat yang lain (surah ar-Rahmaan, 55:24, surah asy-Syura, 42:32, surah Ibrahim, 14:32). Malah, Allah SWT turut memperingatkan bahawa manusia jugalah yang akhirnya suka berbuat kerosakan di bumi dan lautan (surah ar-Ruum, 30:41).
Hal-hal berkaitan ekosistem laut yang disebut di dalam al-Quran itu bukan semata-mata untuk memperlihatkan kebesaran, kekuasaan serta rahmat kasih sayang Allah SWT tetapi juga satu peringatan kepada umat manusia agar mengambil pengajaran daripadanya, berusaha membongkar rahsia lautan itu sendiri dan akhirnya berhemah dalam menggunakan sumber tersebut. Semoga dengan itu, kita akan menjadi lebih berpengetahuan tentang ekosistem laut serta menjaga perilaku tatkala menggunakan laut serta sumbernya.