Bendera merupakan lambang negara yang mempunyai peranan yang besar. Dalam konteks Malaysia, bendera menjadi penzahiran prinsip kesetiaan kepada raja dan negara yang merupakan prinsip kedua Rukun Negara. Bendera ialah lambang kedaulatan dan patriotisme yang melahirkan rasa bangga dan megah terhadap negara. Bendera juga merupakan identiti rasmi bagi sebuah negara bangsa.
Perkara-perkara yang dinyatakan ini bertepatan dengan takrif bendera seperti yang terkandung dalam buku Menghormati Lambang-lambang Kebesaran Negara: Jata Negara, Jalur Gemilang dan Alat-alat Kebesaran Diraja terbitan Jabatan Penerangan Malaysia pada tahun 2020.
Bendera ditakrifkan sebagai “lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat, kekuasaan dan kedaulatan sesebuah negara.” Takrif ini selari dengan peranan penting yang dimainkan oleh bendera seperti yang tercatat dalam sejarah peradaban manusia termasuk sejarah Tamadun Islam sendiri.
Mengambil satu contoh daripada sirah Rasulullah SAW, semasa peristiwa Fathu Makkah pada 20 Ramadan tahun kelapan Hijri, baginda Rasul telah memasuki kota Makkah dengan membawa bendera baginda yang berwarna putih.
Ibn Abbas r.a. menjelaskan bahawa, “Bendera Rasulullah berwarna putih dan panjinya berwarna hitam” (riwayat al-Baihaqi). Dalam riwayat lain dinyatakan bahawa bendera Rasulullah SAW yang berwarna putih itu tertulis kalimah “la ilaha illa-Allah, Muhammad Rasulullah” (riwayat al-Tabarani).
Bendera yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW menjadi perlambangan kepada kehebatan kepimpinan baginda yang berjaya membebaskan kota Makkah daripada kaum Musyrikin tanpa pertumpahan darah dan seterusnya menyatupadukan bangsa Arab di bawah panji-panji Islam.
Dalam usaha menawan kota Kustantiniyyah (Constinople) oleh Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1453 Masihi, semangat tentera Uthmaniyyah melonjak apabila panglima tentera berketurunan Turki bernama Hasan Ulubatli memacakkan bendera kerajaan Uthmaniyyah di tembok tertinggi kota tersebut.
Peristiwa ini menunjukkan betapa bendera turut memainkan peranan dalam meningkatkan semangat juang tentera kerana bendera menjadi penzahiran kepada semangat cintakan negara dan agama.
Sejarah Islam turut menunjukkan bahawa bendera mempunyai kedudukan penting sehinggakan bukan sembarangan orang boleh memegang atau membawa bendera. Hanya yang diperturunkan kuasa atau diberikan mandat oleh ketua negara yang berhak memegang bendera.
Penghormatan tinggi yang diletakkan oleh Islam kepada bendera adalah kerana peranannya yang penting sebagai lambang kesatuan dan penyatuan umat. Atas sebab itu, bendera perlu dihormati dan rakyat mempunyai tanggungjawab khusus yang perlu dimainkan terhadap bendera.
Perkara yang paling utama ialah bendera tidak boleh sama sekali dihina, diperlekeh atau dijatuhkan oleh mana-mana pihak. Dalam peristiwa Peperangan Mut‘ah, bendera Islam dipertahankan bersilih ganti dipegang oleh seorang panglima yang syahid kepada seorang panglima yang lain bagi memastikan bendera tidak rebah ke tanah.
Kisah Jaafar ibn Abi Talib yang terus memegang bendera Islam dalam peperangan tersebut sekalipun dirinya ditikam dan tangannya ditetak oleh tentera musuh sehingga akhirnya beliau syahid menunjukkan betapa pentingnya kedudukan bendera dipertahankan dan dimuliakan dalam Islam.
Bendera juga perlu diletakkan di tempat yang tinggi dan bukannya di atas lantai sehingga orang boleh memijaknya. Perbuatan memijak bendera bukan sahaja satu perbuatan yang biadap malah satu penghinaan kepada negara yang berdaulat.
Bendera juga tidak boleh sama sekali dipasang terbalik yang lazimnya dilakukan sebagai tanda protes. Perkara ini seperti yang sedang berlaku di Amerika Syarikat apabila sebahagian rakyat negara tersebut memasang bendera terbalik sebagai bantahan terhadap dasar-dasar dan tindak-tanduk pentadbiran Donald Trump.
Sering juga dilihat bendera dikibarkan terutamanya semasa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Sayangnya, ada sesetangah bendera yang dikibarkan ini dibiarkan berminggu-minggu lamanya sehingga koyak dan lusuh. Seharusnya bendera yang koyak dan lusuh diganti dengan yang baharu sebagai tanda hormat kepada satu lambang utama negara.
Bukan itu sahaja, perkara yang dilihat mudah seperti menaikkan dan menurunkan Jalur Gemilang juga mempunyai tertib dan adab sopan yang perlu diikuti sehinggakan orang yang menjalankan tugas tersebut dikehendaki berpakaian kemas.
Perkara-perkara yang dinyatakan ini merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh semua rakyat dalam memelihara kehormatan dan kedudukan Jalur Gemilang. Maka apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mencetak imej Jalur Gemilang yang salah (tanpa bulan sabit), tidak hairanlah perbuatan ini mengundang kemarahan rakyat Malaysia yang cintakan negara.
Walaupun pihak berkenaan telah memohon maaf, hakikatnya perbuatan tersebut menzahirkan kejahilan dan ketidakpekaan pihak tersebut terhadap letak duduknya bendera Malaysia yang perlu dimuliakan sebagai satu daripada lambang kebesaran negara.
Seharusnya tindakan yang amat tegas berdasarkan peruntukan undang-undang negara dikenakan kepada pihak berkenaan sebagai satu pengajaran kepada semua supaya tidak memandang ringan terhadap kepentingan bendera yang perlu dihormati. Meminta maaf semata-mata atas perkara yang tidak sepatutnya berlaku adalah tidak memadai.
Semua pihak yang terlibat dengan perbuatan memalukan ini juga sewajarnya diwajibkan mengikuti kursus latihan pembinaan negara bangsa di bawah Akademi Kenegaraan Malaysia bagi memastikan mereka diterapkan dengan semangat patriotisme dan nasionalisme yang sepatutnya dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.
Menjadi suatu perkara yang tidak boleh diterima logik akal apabila selepas hampir tujuh dekad negara mengecap kemerdekaan, masih ada rakyat Malaysia yang tidak peka atau sengaja tidak cakna dengan Jalur Gemilang.
Dalam hubungan ini, usaha Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan Pekeliling Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada Pakaian Seragam Murid adalah satu perkara yang wajar dipuji.
Seperti yang dinyatakan dalam pekeliling tersebut, arahan yang akan berkuat kuasa pada 21 April 2025 adalah untuk menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.
Arahan untuk memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam ini dikuatkuasakan ke atas semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Usaha melentur buluh daripada rebung yang diambil di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini seharusnya mampu membawa hasil yang dihasratkan. Namun, usaha dalam bentuk lain untuk memupuk rasa cinta kepada Jalur Gemilang perlu difikirkan supaya dapat melibatkan pihak-pihak lain yang berada di luar daripada institusi pendidikan.
Tanggungjawab mempertahankan martabat dan maruah lambang-lambang kebesaran negara termasuk bendera ialah tanggungjawab semua rakyat Malaysia. Tiada yang terkecuali, dan tiada yang boleh berpura-pura tidak tahu atau tidak sengaja.