{"id":28812,"date":"2021-04-05T07:51:35","date_gmt":"2021-04-04T23:51:35","guid":{"rendered":"http:\/\/www.ikim.gov.my\/new-wp\/?p=28812"},"modified":"2021-04-05T07:51:35","modified_gmt":"2021-04-04T23:51:35","slug":"pandemik-covid-19-dan-cabaran-pemeliharaan-lima-prinsip-maqasid-syariah","status":"publish","type":"post","link":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/pandemik-covid-19-dan-cabaran-pemeliharaan-lima-prinsip-maqasid-syariah\/","title":{"rendered":"Pandemik Covid-19 Dan Cabaran Pemeliharaan Lima Prinsip Maqasid Syari\u2019ah"},"content":{"rendered":"\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Setakat 30 Mac 2021, terdapat 344,018 kes jangkitan Covid-19 dan 1,256 kes kematian\ndi Malaysia. Sejak pandemik ini bermula, semua pihak terpaksa berhadapan dengan\npelbagai cabaran sama ada dari sudut ekonomi, sosial, politik, kesihatan dan\nsebagainya.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Jika diteliti, pandemik serta cabarannya itu boleh menggugat pemeliharaan\nlima prinsip <em>Maqasid Syari\u2019ah<\/em>. Secara\numumnya, <em>Maqasid Syari\u2019ah<\/em> ialah tujuan\nyang ingin dicapai oleh <em>syara\u2019<\/em> dalam\nmensyariatkan sesuatu hukum bagi menjamin kemaslahatan masyarakat. Tujuan <em>Maqasid Syari\u2019ah<\/em> adalah untuk memelihara\nlima perkara, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta demi mengekalkan <em>maslahah<\/em> dan menjauhi <em>mafsadah<\/em> (kerosakan).<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Dari sudut pemeliharaan agama, pandemik Covid-19 telah menimbulkan beberapa\nkekangan kepada umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Muslim.\nMisalnya, umat Islam (lelaki) tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat\natau hanya sebahagian yang dibenarkan bersolat di masjid. Umat Islam juga masih\nbelum mendapat kebenaran untuk menunaikan haji dan umrah. Malah, bagi\namalan-amalan sunat seperti solat tarawih juga belum pasti dapat dilaksanakan\nsecara berjemaah di masjid seperti dahulu. Bukan itu sahaja, banyak lagi\nperkara yang sering dilakukan oleh umat Islam tidak boleh dilaksanakan seperti\ndahulu.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Kekangan-kekangan seperti ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan\nmasyarakat Islam. Malah, ada yang mempersoalkan perintah atau halangan yang\ntelah ditetapkan. Kebimbangan dan bantahan seperti itu tidaklah menghairankan\nkerana ahli masyarakat tidak memahami alasan di sebalik perintah yang\ndikeluarkan. Satu penjelasan mudah telah diberikan oleh Sahibus Samahah Datuk\nDr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan, dalam sebuah program bertajuk\n<em>Expert Consultation on Maqasidic\nFramework for the Formation of Khaira Ummah<\/em> pada 3 Februari 2021 lepas.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Beliau menjelaskan bahawa dalam Islam, pemeliharaan agama berasaskan dua\nperaturan ketat, iaitu <em>\u2018azimah<\/em> dan <em>rukhsah<\/em>. <em>\u2018Azimah<\/em>\nbermaksud hukum asal yang disyariatkan pada permulaan, dan bukan kerana suatu\nkeuzuran. Manakala <em>rukhsah<\/em> bermaksud\nsuatu ketetapan hukum yang disyariatkan kerana satu keuzuran dan kesusahan.\nAntara contoh <em>rukhsah<\/em> ialah\nmengqasarkan solat, bertayammum dan sebagainya. Dalam keadaan biasa,\nperaturan berasaskan <em>\u2018azimah<\/em> diberikan\nkeutamaan manakala dalam keadaan tertentu (keadaan sukar), Islam membenarkan\numatnya mengikuti <em>rukhsah<\/em>. Amalan\nmengikuti <em>rukhsah<\/em> ini adalah untuk\nmengelakkan <em>mafsadah<\/em>. Oleh itu, dalam\npandemik, larangan solat Jumaat di masjid juga boleh dilaksanakan untuk\nmengelakkan penularan virus Covid-19.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Selain pemeliharaan agama, pandemik kini turut mencabar pemeliharaan nyawa.\nIni sangat jelas kerana virus Covid-19 boleh mengancam nyawa manusia hingga\nmembawa kematian. Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha misalnya pengenalan\n<em>Standard Operating Procedure<\/em> (SOP), kemudahan\nkesihatan (hospital, pusat kuarantin), penyediaan maklumat yang tepat,\npemberian vaksin dan sebagainya. Semua usaha ini dilaksanakan untuk\nmenyelamatkan nyawa manusia.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Namun, usaha-usaha ini tidak dapat dijayakan dengan baik jika masyarakat\ntidak mempunyai kepercayaan terhadap usaha tersebut. Malah, ada segelintir ahli\nmasyarakat yang meragui usaha-usaha tersebut. Keraguan ini timbul kerana mereka\ntidak mendapatkan maklumat yang tepat berkaitannya. Situasi \u201ctsunami maklumat\u201d\nyang berlaku kini menimbulkan kebingungan dalam kalangan masyarakat sehingga\nmempengaruhi tindakan mereka untuk menolak sesetengah peraturan yang\ndilaksanakan. Oleh itu, amat penting untuk mencari maklumat yang sahih. Perkara\nini sebenarnya satu tuntutan dalam Islam. Setiap Muslim harus ber<em>tabayyun<\/em> (memeriksa dengan teliti) dalam\nmencari maklumat sepertimana yang telah disebutkan dalam ayat ke-6, surah <em>al-Hujurat.<\/em><\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Dari segi pemeliharaan akal pula, situasi pandemik kini memberikan cabaran\nkepada kesihatan mental manusia. Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam\nkalangan ahli masyarakat tetapi juga dalam kalangan petugas barisan hadapan.\nBagi masyarakat, tekanan dirasakan apabila mereka terpaksa \u201cberkurung\u201d di rumah\nkerana sekatan pergerakan. Malah, rasa tertekan juga timbul apabila ada\nsesetengahnya kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji, tidak boleh bertemu ahli\nkeluarga dan jangkitan virus Covid-19 sendiri menimbulkan rasa takut dan\ntekanan kepada pesakit. Bagi petugas barisan hadapan pula, tekanan dalam\ntugasan, bekerja dalam masa yang panjang dan sikap pesakit juga memberikan tekanan\ntertentu. Hal ini perlulah diuruskan dengan baik dan bantuan-bantuan sewajarnya\nharus diberikan. Yang penting, maklumat berkaitan bantuan itu boleh diakses\ndengan mudah oleh ahli masyarakat.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Seterusnya berkaitan pemeliharaan keturunan. Sepintas lalu, kemungkinan\nbesar tidak dapat dikaitkan hubungan pemeliharaan keturunan dengan pandemik. Walau\nbagaimanapun, beberapa kejadian keganasan rumahtangga dan penderaan anak yang\nberlaku semasa pandemik boleh menggugat pemeliharaan keturunan. Pertubuhan\nPertolongan Wanita (WAO) telah melaporkan bahawa kes keganasan rumah tangga\nmeningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama antara Mac hingga\nSeptember 2020. Keadaan menjadi lebih sukar apabila masyarakat sekeliling sukar\nmengenal pasti kejadian tersebut atau memberikan bantuan kerana terkurung di\nrumah masing-masing. Jika sebuah keluarga rosak atau hidup dalam keganasan,\nbagaimanakah sebuah keturunan masyarakat Muslim yang bermutu boleh dibangunkan?\nOleh itu, perlulah difikirkan usaha untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa\nkeganasan. Sekali lagi, maklumat bantuan juga perlu tersedia dan mudah\ndisampaikan kepada mangsa.<\/p>\n\n\n\n<p class=\"wp-block-paragraph\">Akhir sekali, berkaitan pemeliharaan harta. Tidak dapat dinafikan bahawa\npandemik Covid-19 sememangnya memberikan tekanan dari sudut ekonomi. Ramai ahli\nmasyarakat yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa berhadapan dengan pemotongan\ngaji. Keadaan sebegini pastinya memberi cabaran besar untuk kelangsungan hidup mereka.\nPelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan Malaysia misalnya dalam bentuk\nbantuan kewangan secara langsung, moratorium, perlindungan takaful (untuk\nkumpulan B40) dan sebagainya. Namun, Dr. Aznan Hasan dari Universiti Islam\nAntarabangsa Malaysia, menyuarakan pendapatnya dalam program <em>Expert Consultation<\/em> yang disebutkan di\natas bahawa lebih banyak bantuan boleh diberikan kepada rakyat mahupun peniaga\nkecil dan sederhana. Bagi tujuan ini, satu perbincangan atau kajian wajar dijalankan\nuntuk menggariskan bentuk-bentuk bantuan yang sesuai. Malah, pada pandangan\nbeliau, ini adalah masa yang sesuai untuk menggerakkan peranan sektor ketiga\nterutamanya wakaf untuk membantu masyarakat dan golongan peniaga bagi\nmerancakkan semula ekonomi negara.<\/p>\n","protected":false},"excerpt":{"rendered":"<p>Setakat 30 Mac 2021, terdapat 344,018 kes jangkitan Covid-19 dan 1,256 kes kematian di Malaysia. Sejak pandemik ini bermula, semua pihak terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sama ada dari sudut &#8230;<\/p>\n","protected":false},"author":17,"featured_media":0,"comment_status":"open","ping_status":"open","sticky":false,"template":"","format":"standard","meta":{"_analytify_skip_tracking":false,"_wpzoom_pinterest_image_url":"","_wpzoom_pinterest_hidden_image":"0","_wpzoom_pinterest_description":"","footnotes":""},"categories":[141],"tags":[],"class_list":["post-28812","post","type-post","status-publish","format-standard","hentry","category-berita-harian","category-141","description-off"],"_links":{"self":[{"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/posts\/28812","targetHints":{"allow":["GET"]}}],"collection":[{"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/posts"}],"about":[{"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/types\/post"}],"author":[{"embeddable":true,"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/users\/17"}],"replies":[{"embeddable":true,"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/comments?post=28812"}],"version-history":[{"count":0,"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/posts\/28812\/revisions"}],"wp:attachment":[{"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/media?parent=28812"}],"wp:term":[{"taxonomy":"category","embeddable":true,"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/categories?post=28812"},{"taxonomy":"post_tag","embeddable":true,"href":"https:\/\/www.ikim.gov.my\/en\/wp-json\/wp\/v2\/tags?post=28812"}],"curies":[{"name":"wp","href":"https:\/\/api.w.org\/{rel}","templated":true}]}}