Bulan Syawal sudah melabuhkan tirainya, namun amalan dan semangat Aidilftri perlu diteruskan. Umat Islam di Malaysia khususnya sangat terkenal dengan budaya “balik kampung” atau lebih tepat amalan menyambung silaturrahim sesama kaum kerabat dan sanak saudara. Secara tidak langsung, amalan ini dapat mempereratkan semula hubungan sesama keluarga yang telah lama berpisah akibat kesibukan kehidupan bekerja dan berkeluarga di ibu kota.
Walau bagaimanapun, amalan ziarah ini masih diketuai oleh generasi ibu bapa, tidak bersambut oleh kalangan golongan muda terutama mereka yang baru membina rumah tangga. Lebih sulit apabila sudah tidak terbiasa berjumpa, masing-masing lebih selesa bermain telefon pintar atau lekafon (phubbing) walaupun di dalam ruang tamu yang sama. Keadaan ini pula ditangani agar amalan mulia ini dapat dikembalikan ruh dan tujuan asalnya sebagaimana yang dituntut dalam Islam.
Amalan yang Mulia dan Dituntut dalam Islam
Dalam Islam, ziarah dan menyambung silaturrahim bukan sekadar adat budaya Melayu, tetapi ia merupakan amalan yang sangat mulia dan dituntut syarak. Kepentingannya ditegaskan secara jelas dalam al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “…Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” [Surah al-Nisa’ (4): 1].
Manakala dalam hadis, Rasulullah SAW memberikan amaran keras terhadap mereka yang memutuskan hubungan ini. Baginda SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Hal ini menunjukkan bahawa silaturrahim juga jalan untuk meraih keredaan Allah SWT dan kebahagiaan di akhirat.
Kelebihan-kelebihan dalam Amalan Menjaga Silaturrahim
Menyingkapi keutamaan amalan menyambung silaturrahim, Imam Sulayman al-Bujayrimi (m. 1806 M) dalam karyanya Tuhfat al-Habib ala Sharh al-Khatib mencatatkan terdapat sepuluh kelebihan bagi mereka yang menjaga silaturrahim. Antaranya, amalan ini mendapat keredaan di sisi Allah SWT, kerana ia merupakan sebahagian daripada perintah-Nya.
Selain itu, ziarah juga mendatangkan kegembiraan kepada ahli keluarga. Ini tercatat dalam sebuah khabar bermaksud: “Bahawasanya sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah memasukkan kegembiraan ke dalam hati orang Mukmin.” Tambahan, ziarah juga dapat meninggalkan kesan yang positif terhadap saudara mara yang diziarahi. Bahkan jika selepas pemergiannya, mereka akan sentiasa mengingati, memuji dan menceritakan kebaikan-kebaikannya kepada orang lain.
Dari aspek spiritual, menurut Imam al-Bujayrimi, para malaikat sangat bergembira dengan mereka yang suka menjalin hubungan persaudaraan. Keutamaan ini dapat dilihat secara jelas dalam sebuah hadis riwayat Muslim, diceritakan seorang lelaki yang menziarahi saudaranya semata-mata kerana kasih kepada Allah SWT. Apabila lelaki itu menegaskan niatnya, malaikat pun berkata: “Sesungguhnya aku diutus Allah untuk memberitahumu bahawa: Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana-Nya.”
Berbeza dengan iblis, amalan ziarah ini menimbulkan rasa tidak senang dan duka kepada makhluk tersebut kerana tugas utama mereka adalah untuk memecahbelahkan umat Islam. Apabila kita saling ziarah menziarahi, masing-masing sebenarnya sedang meruntuhkan tembok perpecahan yang dibina oleh iblis.
Hubungan silaturrahim yang terjalin dapat meluaskan pintu dalam rezeki seseorang. Ertinya, seseorang memperoleh keberkatan dan pertambahan dalam rezeki, baik dalam bentuk sihat tubuh badan dan umur yang panjang sebagaimana hadis baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari).
Imam al-Bujayrimi menambah bahawa amalan ziarah sangat dikasihi oleh para keluarga yang telah meninggal dunia kerana anak-anak masih menjaga hubungan silaturrahim walaupun setelah ketiadaan mereka. Tanpa sedar, perkara ini termasuk dalam hadis berkenaan salah satu amalan yang berkekalan iaitu mempunyai anak-anak yang soleh.
Menjadikan Amalan Ziarah Lebih Bermakna
Bagi menghidupkan ruh amalan menyambung silaturrahim dan menjadikannya lebih bermakna, ia mestilah dimulakan dengan interaksi yang benar dan sepenuh hati. Tinggalkan sebentar telefon pintar saat berbual. Antara perkara yang menarik dan boleh dilakukan adalah bertanyakan ahli keluarga yang lebih berusia akan perkara yang bersifat nostalgia dan mengimbau kenangan seperti salasilah kekeluargaan.
Melalui pertanyaan seperti “apakah keturunan asal kita?,” “bagaimana moyang kita sampai ke sini?,” ia dapat memecahkan suasana dan masing-masing dapat bergembira mendengar cerita-cerita menarik yang jarang didengari. Malah kita dapat menghargai sumbangan ahli keluarga yang terdahulu.
Sebagai ketua keluarga yang baru membina rumah tangga, kita juga berpeluang mempelajari dan mengambil inspirasi serta kebaikan daripada budaya sihat sesebuah keluarga. Terdapat keluarga yang sangat pemurah yang sentiasa menjamu makan minum bagi sesiapa sahaja yang datang tanpa mengira waktu. Selain itu, terdapat keluarga yang menitikberatkan aktiviti secara berkumpulan seperti mengutamakan solat berjemaah setiap kali masuk waktu solat dan lain-lain.
Kesimpulannya, setiap manusia berasal dari sebuah keluarga yang telah membesarkan kita. Semakin menginjak usia, semakin penting menjaga hubungan silaturrahim. Hayatilah semula dalil dan tuntutan yang terdapat dalam syarak agar kita dapat mengamalkannya dengan bermakna dan sepenuh hati.
Menjaga hubungan silaturrahim sesama kaum kerabat bukan sekadar memenuhi ziarah atau permintaan orang tua tetapi ia adalah kefarduan ke atas setiap Mukmin dan tanda ketaqwaan seseorang di sisi Allah SWT.

