Bergurau adalah sebahagian daripada fitrah hidup manusia. Jika kita serius sepanjang masa, hidup akan menjadi amat membosankan. Di rumah, kita bergurau dengan pasangan dan anak-anak. Di tempat kerja, kita bergurau dengan rakan yang rapat dan rakan sekerja yang lainnya. Begitu juga dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh seorang yang pandai bergurau pastinya lebih menyeronokkan berbanding pengerusi yang serius sepanjang masa.
Islam tidak menafikan fitrah suka bergurau dalam diri manusia. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga bergurau ketika hayat Baginda.
Anas bin Malik meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki meminta kepada Rasulullah SAW supaya dibawa menaiki tunggangan. Rasulullah SAW berkata kepadanya, “Aku akan beri kamu menunggang anak unta betina.”Lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?” Lalu jawab Baginda, “Bukankah semua unta ialah anak kepada unta betina?” (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Dalam peristiwa yang lain, Hasan al-Basri meriwayatkan ada seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada Allah agar aku dapat masuk syurga.” Rasulullah SAW menjawab: “Wahai ibu, tidakkah kamu tahu bahawa syurga tidak dihuni oleh orang-orang yang sudah tua?” Mendengar jawapan Rasulullah SAW, wanita itu pergi sambil menangis teresak-esak. Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke syurga dengan keadaan usia tua. Sesungguhnya Allah SWT berfirman, ‘Sesungguhnya Kami menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya umurnya.’ (Surah al-Waaqi’ah (56), ayat 35–37)” (HR at-Tirmidzi).
Berbeza sungguh gurauan Baginda berbanding gurauan kita pada hari ini. Masyarakat Melayu sendiri memiliki peraturan atau larangan tertentu yang dibuat untuk membataskan diri dalam bersenda gurau. Ungkapan “banyak tertawa banyak dukanya”, “Banyak gelak banyak balanya” dan “banyak gurau banyak risaunya” adalah peraturan atau larangan yang memandu kita dalam hal bergurau senda ini.
Pada usia remaja penulis, apabila sepupu berkumpul dan bertukar cerita sehingga kami ketawa terbahak-bahak, ibu-ibu kami pasti mengingatkan, “Jangan ‘ingka’ sangat! Nanti menangis!” Kadang kala, ibu-ibu kami hanya sebutkan, “Ha… ingka! Ingka!” Maka, kami pun akan mengecilkan suara dan menghentikan cerita kelakar itu. Rupa-rupanya, teguran ibu-ibu kami itu adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang mengehadkan senda gurauan. Malah, untuk bergurau perlu diperhatikan lingkungannya, lawannya berkelakar dan isi gurauannya itu supaya tidak melanggar tatasusila masyarakat Melayu.
Namun kini, kelihatannya sebahagian masyarakat kita sudah lagi tidak terpandu dalam hal bergurau ini. Tidak terpandu dek budaya Melayu, apatah lagi dek ajaran Islam. Misalnya, di kantin pejabat, apabila seorang janda masuk, ada kawan-kawan lelaki yang mengusik, “Tengah gersang! Tengah gersang!” Apabila ditegur, mereka katakan itu hanyalah gurauan. Apakah yang kelakarnya tentang status perkahwinan seseorang sehingga ia wajar dijadikan bahan gurauan?
Di kaca TV juga telah ada rancangan-rancangan “prank” atau dalam bahasa mudahnya, rancangan di mana ada mangsa yang dipermainkan untuk dijadikan bahan lawak kepada para penonton. Dalam usaha untuk mempromosikan rancangan itu, saluran TV tersebut telah membuat klip video pendek yang mengandungi sedutan-sedutan “kelakar” dari episod yang akan datang.
Salah satu “gurauan” itu berlaku di tandas awam. Seorang lelaki memasuki sebuah bilik tandas untuk membuang air. Sejurus kemudian, datang seorang wakil produksi lalu menggantungkan ular mainan di pintu tandas tersebut. Menyedari kehadiran “ular” itu, mangsa berlari keluar dengan seluarnya terlondeh sehingga paras lutut. Seluar itu menghalangnya untuk berlari dan beliau terjatuh di atas lantai beberapa kali dalam usaha untuk menyelamatkan diri. Itulah kelakar yang “dijual” oleh produksi dan saluran TV tersebut kepada khalayaknya. Ramai sahaja penonton yang terhibur dengan gurauan ini tanpa memikirkan perasaan cemas dan kesakitan yang dihadapi oleh mangsa yang dipermainkannya itu.
Islam tidak melarang kita untuk bergurau. Seperti yang disebutkan tadi, Rasulullah SAW juga bergurau. Malah, mendengar ceramah ustaz yang pandai bergurau adalah jauh lebih menyeronokkan berbanding ustaz yang tidak pandai bergurau. Namun, dalam Islam, tidak semua perkara boleh dibuat gurauan dan ada had-had yang perlu dipatuhi ketika bergurau.
Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak Dalam Islam menyebut bahawa adab bergurau dalam Islam merangkumi tiga perkara. Pertama, tidak keterlaluan dan melebihi batasan. Perkaraini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Saya bukan dari golongan yang suka banyak main atau yang melalaikan, dan keduanya juga tidak menjadi sebahagian dariku.” (HR Al-Bukhari). Begitu juga Saidina Umar Al-Khattab pernah mengungkapkan yang bermaksud, “Siapa yang banyak ketawanya akan berkurangan kehebatannya, dan siapa yang suka bergurau, nanti akan dipermainkan orang.”
Adab bergurau yang kedua adalah tidak menganiayai atau memburukkan orang lain. Dalam hal ini, asasnya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Jangan sesekali seseorang kamu mengambil harta milik saudaranya secara bermain-main, ataupun benar-benar. Dan barang siapa mengambil tongkat saudaranya, hendaklah dia kembalikan.” (HR At-Termidzi)
Adab bergurau yang ketiga adalah dengan menjauhi dusta. IHal yang demikian ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,“Celaka bagi orang yang menyampaikan sesuatu pidato kepada orang ramai dengan tujuan untuk membuatkan mereka tertawa, padahal dia berdusta.” (HR Abu Daud).
Dengan adab bergurau semurni ini, tiada ruang untuk “gurauan kotor” dan “gurauan lucah”, gurauan yang melampaui batas, apatah lagi “prank” yang menganiaya orang lain semata-mata untuk dijadikan bahan tontonan kelakar kepada masyarakat umum.