Suasana ini mungkin lebih jelas dilihat dalam perkembangan pendidikan di Malaysia di mana terdapat ramai orang tahu berbagai maklumat dengan bukti keupayaan tembusan teknologi maklumat dan gulungan ijazah tetapi tidak berupaya berdiri di atas bidangan faham ilmu mereka untuk menguruskan kehidupan. Sesuatu yang mempunyai nilai sejagat bermakna perkara tersebut dapat diterima umum sebagai mempunyai nilai dalam semua sudut. Adakah nilai yang diterima ini memadai disingkap dari sudut pandangan manusia umum? Apakah pandangan alam Islam berkenaan dengan penyalahgunaan dan berleluasanya pencemaran kefahaman tentang nilai sejagat sehingga sandaran nilai ini mengarah pemikiran kepada aliran sekular?
Memang tidak dinafikan bahawa agama sama sekali tidak meminggirkan nilai, malah nilai itulah menjadikan agama tidak ternilai harganya. Namun, keunggulan nilai Islami mempunyai syarat-syarat tertentu malah sebagai peneguh kepada keseluruhan aturan nilai itu sendiri. Ungkapan bahawa semua agama menyeru umatnya melakukan kebaikan sering menghentikan kita berfikir dan terpaling dari melihat keunggulan nilai Islami. Nilai Islami lebih tinggi dan utama daripada nilai sejagat yang mungkin menjadi satu tanda aras ungkapan semua agama menyarankan umatnya melakukan kebaikan. Malah, sekiranya di dalami, nilai sejagat tidak dapat berdiri tanpa cerapan nilai Islami kerana nilai hanifa Islam ini umpama dahan tunjang yang dirantingi oleh nilai sejagat yang disarankan oleh agama samawi sejak sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW.
Faham pendapat nilai mendedahkan tentang manusia menilai sesuatu perkara atau faham perbahasan berkenaan bagaimana menilai, menggunakan atau mengeluarkan sikap dan tingkahlaku. Penumpuan penilaian ini dilaksanakan melampaui sempadan masyarakat dunia samada dari sudut baik dan buruknya. Akhirnya, satu kesimpulan tentang nilai sejagat dibuat dan cuba diterapkan dalam amalan masyarakat. Nilai-nilai seperti amanah, ikhlas, bertanggungjawab, jujur, adil, telus, ehsan, belas kasihan contohnya, telah diterima sebagai antara perkara yang mempunyai nilai sejagat. Nilai sejagat ini bukan sahaja boleh memberi jaminan kepada keamanan dan keharmonian malah berupaya menjadi pendorong kepada kecemerlangan tamadun manusia. Namun tidak dapat dinafikan juga bahawa nilai sejagat yang tercemar dari kemurnian asal hanifa akan membimbing manusia ke jalan kehancuran.
Nilai sejagat sandaran penilaian dan sasaran sesama manusia semata-mata akan terkepung kepada takluk riya’ dan penyekutuan terhadap Allah. Amalan yang dilazimkan dalam cenderung nilai sejagat begini bakal melahirkan generasi masyarakat yang sunyi dari pertautan dengan Pencipta. Dengan ini, lahirlah golongan yang melakukan sesuatu kerana sandaran kepada manusia menggayakan ‘tutup aurat’ setakat sandaran manusia bukan kerana patuh kepada Tuhan. Di mana kedudukan ehsan di sini dalam faham takrifan ehsan yang sebenar?
Tonggak kepada keseluruhan nilai ini perlu berakar umbi kepada dua asas tunjang hakikat kejadian manusia. Bermula dari dasar nilai tunjang tentang peranan sebagai hamba dan khalifah, barulah nilai sejagat boleh berdiri dan dikembangkan kepada nilai-nilai lain yang menjadi wadah kepada keseluruhan kehidupan. Kerangka dan bentuk ini menjadi satu pola kepada perlaksanaan satu rangkaian aturan (ekosistem) pertukaran dan kepentingan mengikut keperluan dan dikawal selia di landasan adil dan ehsan.
Keakuran manusia di atas takluk faham hakikat manusia amat penting untuk meneruskan penerapan nilai-nilai sejagat. Barangsiapa (yakni setelah insaf akan hakikat bahawa dirinya itulah pokok hutangnya kepada Tuhannya yang Hak) menyerahkan dirinya (yakni mengakibatkan penyerahan terhadap dirinya agar dapat dikembalikan kepada Yang Memilikinya dan setelah mengakibatkan penyerahan itu maka dia mengembalikan dirinya itu) beruntunglah dia (yakni sebab dia telah menunaikan pembayaran balik hutangnya dan dengan demikian telah menebus dirinya bahkan sehingga mendapat faedah keuntungan ganjaran daripada Allah).
Bagi memperincikan persoalan ini, mari kita lewati kefahaman berkenaan dengan ikhlas dalam niat. Dalam mafhum huraian hadith berkenaan dengan hal ehwal niat dan tindakan, kitab Hadith 40 menjelaskan bahawa niat itu terbahagi kepada tiga iaitu niat melakukan sesuatu kerana manusia, melakukan sesuatu kerana manusia dan Allah dan akhir sekali niat melakukan sesuatu hanya semata-mata kerana Allah. Dalam perbincangan ini, kedua terawal sandaran niat iaitu kerana manusia boleh dihimpunkan dalam pergolongan riya’ atau syirik kepada Allah, manakala yang kedua pula menyamatarafkan sandaran kerana manusia dan Allah yang cenderung kepada menyekutui Allah. Oleh itu, ikhlas dalam faham nilai sejagat tidak boleh berdiri tanpa tauhid hanifa Islam iaitu semata-mata kerana Allah. Ikhlas hanya memberi maksud sekiranya berdiri di atas asas iman dan tidak munasabah wujud keikhlasan sebenar tanpa ehwal ini.
Oleh itu, asas utama kepada aturan nilai tunjang ialah berdasarkan sumber samawi iaitu Al-Quran dan Sunnah.
Sebagai seorang hamba. “Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mereka mengabdikan diri mereka”
Sebagai seorang khalifah atau duta Allah. “Sesungguhnya Aku jadikan di atas mukabumi ini sebagai khalifah (wakilganti)”
Kedua-dua nilaian tunjang ini mempunyai petunjuk tertentu pula. Dalam faham pengabdian, iaitu manusia dinilai dari segi ketakwaan; manakala dari segi khalifah pula berdasarkan kepada kemanfaatan yang diberikan kepada mukabumi dan makhlukNya yang lain.
Dengan cetusan dasar nilai ini maka nilai lain yang bercanggah dengannya atau furu’ nilai yang tumbuh tanpa tunjang ini berada di luar daerah pandangan alam Islam. Dasar nilai ini melibatkan kepercayaan dan pegangan asas yang menentukan keislamannya. Sekiranya terdapat binaan pengurusan yang mengabaikan dasar tunjang aqidah maka, apa saja nilai lain yang dijunjung boleh dipertikaikan. Persoalan akan timbul seperti di mana ikhlasnya bertapak, amanah apa dan siapa yang ditatang atau apakah sandaran dan kesudahan matlamat kepada niatnya. Begitu juga dengan tanggungjawab, atau lebih menyeluruh lagi sifat-sifat murni yang boleh dicerapi dari pancaran asma’ul husna.
Memahami kedua-dua dasar nilai sebagai hamba dan khalifah tidak bermakna sebagai satu sekatan kepada usaha membangunkan keseluruhan kehidupan dunia. Oleh itu, sudut pandangan sebagai seorang pengurus kepada harta dan kebendaan lebih jelas dengan peranan asas seorang insan bagi mencapai matlamat utama kejadian insan. Dalam apa keadaan sekalipun samada sebagai seorang pekerja, pemilik atau pelabur kepada sesebuah perniagaan, penerapan nilai ini menjadi satu titik tolak kepada faham sebenar keseluruhan nilai sejagat.
Contoh lain yang boleh diperhalusi ialah perniagaan berasaskan kepada barangan dan perkhidmatan yang diiktiraf sebagai ‘halal’. Sekiranya pengurus atau pemilik perniagaan tersebut tidak menyerahkan kepasrahan kepada kepercayaan tunjang, bagaimana pula atau atas alasan apakah mereka inginkan kepada ‘halal’. Keingininan untuk memastikan halal atau tidak sesuatu barangan kerana dorongan peluang pasaran tidak terjamin dapat membawa manfaat kepada pengguna secara menyeluruh. Kecenderungan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan halal mestilah pada peringkat awalnya menerima al-Quran sebagai petunjuk yang sebenar sebelum ingin mengamalkannya.
Dalam kefahaman berkenaan hal ini, pandangan alam Islami berdiri di atas mafhum hadis Nabi SAW bahawa: “Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak.” (h.r Baihaqi). Sopan santun dalam faham keadaan ini adalah tingkah laku yang tidak dapat mengecualikan peranan kepercayaan aqidah. Keadaan tidak terpisahnya antara kepercayaan (pegangan) dengan tingkah laku ini menunjukkan bahawa nilai sejagat tidak boleh berdiri tanpa landasan hanifa. Mungkin sudah tiba masanya pihak yang terlibat dengan usaha penerapan nilai dalam pembangunan modal insan tidak terlewat untuk kembali ke alam hakikat. Pasaran hanya merupakan medan tempur kepada peluasan jajahtakluk jihad semasa. Pemetaan daerah kepercayaan berupaya boleh menggerunkan musuh dan mengiakan bahawa umat Muhammad SAW sememangnya adalah satu umat yang terpilih.