Sumbang mahram ialah perhubungan jenis antara seorang lelaki dan perempuan yang dilarang bernikah oleh adat dan agama. Berkaitan dengan bilangan kes-kes seumpama ini, bilangan sebenar memang tidak diketahui kerana ia dilakukan secara rahsia. Jadi, kalaupun ada kes-kes yang dilaporkan, bilangan sebenar kes ini adalah lebih besar dari itu. Memandangkan kepada bilangan kes yang banyak dan kesannya kepada mangsa maka masalah sosial ini perlu dibanteras segera.
Pada 6 April 2002 yang lalu, isu ini mendapat reaksi dari pemimpin kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di mana beliau mencadangkan supaya dikenakan hukuman minima yang lebih berat ke atas pesalah sumbang mahram bagi menunjukkan bahawa kerajaan tidak bertolak-ansur sama sekali terhadap orang yang sanggup melakukan jenayah keji ini. Beliau berharap penetapan had minima ini akan memastikan pesalah terbabit tidak hanya dipenjara, bahkan wajib dikenakan sebatan.
Cadangan beliau ini amat dialu-alukan kerana kita berharap dengan hukuman minima yang lebih berat, ia dapat menakutkan bakal pesalah yang ingin melakukan kesalahan tersebut. Cadangan ini juga disokong oleh banyak pihak yang juga mengutarakan berbagai cara untuk menangani isu ini seperti penggunaan teknik pengembirian ke atas pesalah; memberi kaunseling kepada bekas pesalah dan pendidikan keluarga secara berterusan. Ada yang lebih radikal mencadangkan supaya pesalah dihukum mati mandatori agar ia tidak mengulangi kesalahan atau membalas dendam terhadap mangsa atau ahli keluarga lain bila ia keluar nanti.
Dari reaksi-reaksi ini kita dapati bahawa ramai yang merasakan undang-undang yang sedia ada ‘penjara minima 6 tahun dan maksima 20 tahun serta sebatan sehingga 24 kali’ belum memadai. Sementara itu kita masih terbaca kes-kes sumbang mahram yang baru di sana-sini. Ini menunjukkan bahawa undang-undang yang ada masih belum cukup untuk ‘deter’ atau menakutkan orang-orang ini dari melakukan perbuatan tersebut. Mungkin dengan hukuman yang lebih berat, perbuatan ini dapat dicegah. Walau bagaimanapun undang-undang sahaja tidak memadai. Banyak lagi tindakan yang perlu diambil serentak dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berat ini.
Berkaitan dengan masalah sumbang mahram (inses) ini, satu kajian telah dilakukan oleh Dr. Abdul Hadi Zakaria pada tahun 1996 dan laporannya telah diterbitkan pada Januari 1998 dengan tajuk ‘Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia’. Laporan ini mengandungi 3 bahagian utama iaitu Masalah Inses, Pola-Pola Inses dan Tindakan Menangani Inses.
Kajian ini menunjukkan bahawa dari tahun 1992 – 1994, didapati bahawa 30% dari kes rogol yang dilaporkan adalah melibatkan inses. Penceroboh utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8%) dan diikuti oleh bapa tiri (24.4%). Lelaki-lelaki lain yang juga sering menjadi penceroboh ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Ini menunjukkan betapa orang-orang yang diamanahkan untuk memelihara dan melindungi mangsa telah mengkhianati amanah tersebut.
Kebanyakan kes sumbang mahram ini berlaku di rumah kediaman mangsa. Ini menunjukkan betapa rumah yang menjadi tempat perlindungan kita dari panas, hujan dan mara bahaya yang lain tidak lagi menjadi satu tempat yang dapat menyelamatkan kita dari kejadian sumbang mahram.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa kes-kes ini melibatkan mangsa yang muda. Pada kali pertama inses berlaku, kebanyakan gadis terlibat berada di peringkat awal remaja. 54.9% dari mereka berumur di antara sebelas dan lima belas tahun.
Dari segi umur pesalah pula, pesalah termuda ialah 18 tahun manakala yang tertua ialah 65 tahun. Majoriti pesalah berada dalam kategori umur 34 hingga 49 tahun dan diiikuti oleh kumpulan umur 50 hingga 65 tahun. Ini menunjukkan bahawa tiada lelaki dewasa yang terlalu muda atau terlalu tua untuk melakukan inses.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa perbuatan ini sering diulangi. Kebanyakkan kes melibatkan ulangan sebanyak 2 – 4 kali. Hakikat bahawa mangsa tinggal serumah dengan penceroboh memudahkan perbuatan ini diulang.
Kajian ini juga menunjukkan bahawa inses lebih banyak berlaku di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Walau bagaimanapun, Dr. Abdul Hadi merasakan bahawa ia juga berlaku di kalangan penduduk kelas atasan cuma mereka kurang melaporkan kes-kes ini. Sehubungan dengan itu kajian ini juga menunjukkan majoriti kes berlaku di kawasan luar bandar. Ini bertentangan dengan pandangan am bahawa kampung dan komuniti tradisional adalah kawasan selamat kerana didiami oleh orang-orang yang konvensional, yang berpegang kuat kepada ajaran agama dan yang dikatakan tidak cenderung ke arah perbuatan jahat.
Dari segi etnik, bilangan kes yang paling tinggi adalah di kalangan orang Melayu (89%) diikuti dengan India dan Cina. Namun ini tidak semestinya menunjukkan etnik Melayu paling ramai melakukan kesalahan ini kerana ada kemungkinan etnik lain tidak melaporkannya manakala orang Melayu melaporkan kejadian ini kerana sumbang mahram dilihat sebagai satu perbuatan yang amat bertentangan dengan Islam dan berdosa besar.
Akhir sekali, dalam percubaan pengkaji untuk menjelaskan punca-punca kejadian sumbang mahram ini, beliau telah melihat apakah kecacatan hubungan perkahwinan antara pesalah dan isterinya menyumbang kepada masalah ini seperti yang ditemui di Barat. Namun, penemuan kajian ini bercanggah dengan di Barat dan didapati bahawa dari segi hubungan perkelaminan pesalah, majoriti pesalah mengakui bahawa hubungan perkelaminan mereka tidak ada kena mengena dengan kesalahannya itu. Sama ada nafsunya dipenuhi oleh isteri atau tidak, ia tetap akan melakukan inses. Jadi, itulah antara penemuan-penemuan dari kajian yang dibuat oleh Dr. Hadi Zakaria.
Cadangan-cadangan yang diberikan oleh Dr. Abdul Hadi Zakaria berkaitan dengan tindakan menangani inses ialah pertama, mangsa perlu melaporkan kejadian ini. Ini kerana jika ia tidak dilaporkan, ia tidak akan diketahui dan tindakan tidak dapat diambil ke atas penceroboh dan ia mungkin mengulangi perbuatan itu. Namun, ramai mangsa tidak melaporkan kerana:
(i) diancam oleh penceroboh;
(ii) rasa malu kerana masyarakat memandang hina terhadap hubungan jantina di luar nikah walaupun dirogol dan;
(iii) mereka tidak tahu bagaimana dan kepada siapa mereka harus melaporkan kejadian itu.
Bagi yang melaporkan pula, mereka didesak oleh faktor-faktor berikut:
(i) kehamilan atau bimbang akan hamil;
(ii) mereka rasa perbuatan itu salah dan dilarang agama;
(iii) mereka bimbang perbuatan itu diulang;
(iv) perbuatan itu dilihat orang; dan,
(v) mereka ingin melindungi adik perempuan mereka.
Bagi yang membuat keputusan untuk melaporkan, majoriti akan melaporkan kepada emak dan jika mereka tidak lagi percaya kepada emak, mereka pergi ke luar keluarga seperti kepada guru, jiran, ketua kampung dan kawan. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, kejadian ini tidak dilaporkan serta-merta.
Cadangan kedua adalah berkaitan dengan hukuman. Pengkaji telah mengkaji hukuman-hukuman yang diberikan kepada pesalah dan beliau melihat aspek-aspek seperti darjah paksaan yang digunakan oleh pesalah pada kali pertama inses dilakukan, ulangan perbuatan dan pengakuan pesalah di mahkamah yang dijangkakan dapat memberatkan hukuman. Namun apa yang beliau dapati ialah faktor-faktor tadi tidak memainkan peranan dalam memberatkan hukuman. Didapati bahawa mahkamah banyak bergantung kepada faktor-faktor perundangan untuk menentukan keberatan hukuman. Ini mungkin kerana mahkamah terikat oleh undang-undang untuk melihat inses yang melibatkan rogol sebagai kes rogol biasa. Walau bagaimanapun, menurut beliau, melihat inses seperti ini kurang tepat. Rogol muhrim adalah satu jenayah yang jauh lebih serius daripada rogol biasa kerana ia dilakukan oleh seorang lelaki yang telah dipertanggungjawabkan oleh masyarakat dan keluarga untuk menjaga, memimpin dan memberi teladan yang baik kepada gadis yang dinodai melalui inses. Oleh yang demikian, hukuman yang lebih berat perlu diberikan.
Cadangan beliau yang seterusnya adalah berkaitan dengan pengawalan dan pencegahan sumbang mahram. Antaranya:
(i) mengurangkan kecenderungan seseorang dengan memberi kesedaran bahawa sumbang mahram dilarang agama dan ia juga merupakan penganiayaan terhadap orang yang dibawah tanggungjawab kita,
(ii) buat orang takut mendekatinya dengan peruntukan hukuman yang lebih berat dan kesedaran pentingnya kejadian ini dilapor;
(iii) menggalakkan mangsa melapor dengan mempercayai laporan (bukan diketawakan), tidak dipersalahkan dan dilindungi dari penceroboh;
(iv) memberi pendidikan kesedaran kepada semua, terutama kanak-kanak yang merupakan bakal mangsa;
(v) mewujudkan undang-undang yang memperuntukkan bahawa sesiapa yang mengetahui satu kes inses telah atau sedang berlaku, wajib melaporkannya, (iv) mewujudkan orang berkesan dalam rumah bagi mengelak kejadian ini, dan;
(vii) oleh kerana kejadian ini juga boleh berlaku di luar rumah, ahli masyarakat perlu membuka mata untuk mengelak kejadian seumpama ini. Jadi, itulah antara cadangan-cadangan beliau.
Saya bersetuju dengan Dr. Abdul Hadi berkenaan cara terbaik untuk menangani masalah ini iaitu tentang pentingnya kejadian-kejadian seperti ini dilaporkan terutamanya oleh mangsa yang merupakan satu-satunya saksi dalam kejadian-kejadian seumpama ini. Ini kerana saya kira, inilah satu-satunya cara yang boleh menakutkan atau ‘deter’ penceroboh. Walaupun ada undang-undang yang berat namun, oleh kerana penceroboh tahu mangsa takut atau malu untuk melaporkan, penceroboh tidak akan tercegah dari melakukan jenayah ini. Jadi, saya kira selari dengan usaha kita untuk mewujudkan hukuman yang lebih berat, kita juga perlu memberi kesedaran kepada mangsa atau bakal mangsa bahawa amat penting untuk mereka melaporkan kejadian ini dan melaporkannya segera setelah ia berlaku. Ini penting untuk mendapatkan bukti bagi tujuan-tujuan mengenakan hukuman.
Persoalannya, bagaimana hendak mengalakkan orang atau mangsa melaporkan kejadian ini? Kalau kita lihat sebab-sebab mangsa tidak melapor, kita dapati bahawa halangannya ialah pertama, diugut oleh penceroboh; kedua, mereka malu dengan pandangan masyarakat dan ketiga, mereka tidak tahu bagaimana atau kepada siapa untuk melaporkan kejadian itu. Jadi, untuk menggalakkan mangsa melapor, halangan-halangan ini perlulah diatasi.
Dari segi ugutan, kita perlu menyakinkan mangsa bahawa keselamatan mereka akan terjamin kalau mereka membuat laporan. Dari segi malu, kita perlu menyedarkan masyarakat bahawa mereka perlu membezakan antara hubungan jantina berasaskan suka sama suka dengan hubungan akibat rogol atau mangsa sumbang mahram. Kalau ini tidak dapat dibezakan, mereka telah tidak berlaku adil kepada mangsa.
Dari segi bagaimana atau kepada siapa ia harus dilaporkan, kita perlu mendidik masyarakat tentang bagaimana untuk melaporkan kejadian ini dengan terperinci. Masyarakat boleh dimaklumkan tentang tempat-tempat yang boleh dituju dan prosedur-prosedur yang perlu diambil untuk melaporkan kejadian ini.
Kita juga boleh menggunakan faktor-faktor yang membuat mangsa melapor untuk membanyakkan lagi laporan. Misalnya, dikatakan satu sebab yang membuatkan mangsa melapor ialah kehamilan atau kemungkinan akan hamil. Maka mereka boleh disedarkan tentang betapa kejadian ini boleh menggugat masa depan mereka bila mana mereka mungkin terhalang dari meneruskan persekolahan jika berbadan dua. Ini mungkin membuatkan mereka ingin membuat laporan segera.
Didapati juga bahawa satu faktor yang menyebabkan mangsa melaporkan kejadian ini ialah kerana mereka merasakan perbuatan itu salah di sisi agama. Jadi, kesedaran seperti ini perlu dipertingkatkan untuk mendorong lebih ramai mangsa melaporkan kejadian ini.
Begitu juga hakikat bahawa kejadian pertama biasanya diulang, mangsa perlu segera melaporkan kejadian pertama agar penceroboh tiada peluang untuk mengulanginya.
Jadi, pada pandangan saya, yang lebih penting ialah untuk kita mendidik masyarakat tentang hal ini iaitu betapa pentingnya kejadian-kejadian seperti ini dilaporkan supaya penceroboh dapat dihukum dengan berat dan ini akan mencegah orang lain dari melakukan kesalahan yang sama. Kesalahan yang tidak dilaporkan akan menjadikan hukuman tidak berkesan walau berapa berat sekalipun hukuman tersebut.
Di masa yang sama, anak-anak kecil, perlu dididik agar mereka tahu apa itu sumbang mahram; bahawa sumbang mahram ini sesuatu yang salah dan jika ia berlaku kepada mereka, mereka perlu melaporkannya. Saya kira ibu adalah orang yang paling tepat untuk mendidik dalam hal ini. Malah kajian menunjukkan ibulah tempat anak-anak mengadu atau melaporkan kejadian ini. Tentang bila masa yang sesuai untuk mendidik anak-anak itu, lebih awal lebih bagus kerana ada kanak-kanak yang menjadi mangsa seawal 5 tahun.
Mendidik anak kecil perlu menggunakan pendekatan yang sesuai dengan umur mereka. Memang sukar untuk menjelaskan apa itu sumbang mahram kepada mereka. Tetapi kita boleh membuatkan mereka berwaspada terhadap perbuatan-perbuatan yang boleh membawa kepada sumbang mahram seperti sentuhan, pelukan, rabaan dan ciuman. Misalnya, kita boleh beritahu mereka yang ayah atau abang tidak boleh menyentuh bahagian-bahagian badan yang ditutup oleh baju mandi. Jika mereka mahu menyentuhnya, kanak-kanak tadi perlu menolak, jauhkan diri dan laporkan kepada orang dewasa yang lain.
Dalam kes-kes penderaan seksual yang berlaku kini, kita dapati bukan sahaja ayah dan abang yang menceroboh, tetapi juga ramai orang dewasa lain seperti kawan abang, pembantu rumah dan sebagainya. Begitu juga dengan mangsa penderaan seksual ini, bukan sahaja anak perempuan yang menjadi mangsa, tetapi juga anak lelaki. Oleh itu, anak-anak, sama ada lelaki atau perempuan perlu didik untuk menolak dan menjauhkan diri. Malah, adalah lebih senang untuk kita mendidik mereka untuk memaklumkan kepada kita apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh orang lain yang membuatkan mereka tidak selesa dan mahu perbuatan itu dihentikan. Dengan cara ini mereka boleh melaporkan apa-apa bentuk tingkahlaku yang mereka tidak suka dan tidak perlu menunggu tingkahlaku yang berbentuk seksual semata-mata.
Kalau kita sudah mendidik mereka supaya melaporkan sesuatu yang tidak disenangi, bila mereka melaporkannya, kita perlulah memberi perhatian. Elakkan dari memandang laporan itu sebagai sesuatu yang remeh atau rasa ia isu kecil kerana dari isu kecil, ia boleh menjadi lebih besar. Jadi, tindakan perlu diambil terhadap isu yang kecil supaya ia tidak merebak. Lagi pula, dengan cara ini kita membina keyakinan anak bahawa kita mengambilberat tentang mereka dan mereka boleh berharap kepada kita.
Sehubungan dengan itu, kita perlu didik anak-anak untuk patuh bertempat kerana Allah juga pernah berfirman yang antara lain bermaksud kita perlu hormat dan taat kepada ibubapa selagi perintah-perintah itu tidak bertentang dengan perintah-perintah Allah. Jika perintah-perintah itu bertentangan dengan perintah Allah maka ia tidak perlu diikut lagi.