Bagi orang Islam, Hari Raya Puasa disambut meriah kerana mereka telah berjuang selama sebulan menunaikan puasa dan memerangi hawa nafsu. Bagi sesetengah orang apabila sebulan berpuasa, sebulan jugalah berhari raya. Kesediaan untuk beraya selama sebulan memang ada.
Senario menyediakan jamuan dan rumah terbuka selepas seminggu beraya secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakan puasa enam di bulan Syawal turut meriah. Selagi ada Syawal selama itulah ada jemputan jamuan Hari Raya.
Bagi mereka yang daif, kemeriahan Hari Raya mungkin dirasai untuk sehari dua atau sama sahaja dengan hari-hari lain kerana tiada apa-apa yang istimewa untuk disambut dan dihidangkan, lebih-lebih lagi jika tiada saudara-mara yang datang berkunjung.
Pagi raya umat Islam pergi ke masjid dan surau menunaikan solat sunat Aidilfitri. Berpakaian baru aneka warna. Suasana sekarang berubah tiada lagi tangan yang menadah meminta sesuatu. Dalam pada itu masih ada mereka yang gundah-gulana. Kedatangan Syawal tidak merubah nasib mereka. Tidak memberi apa-apa makna kecuali duit raya dan duit zakat yang diagihkan.
Selepas beraya ada pula suatu tanggungjawab yang menunggu iaitu anak-anak akan bersekolah. Mereka memerlukan buku, beg sekolah, baju, kasut dan lain-lain keperluan. Sekarang tiada yang percuma, yuran sekolah perlu disediakan. Bagi yang berada tiada masalah, tetapi pada yang miskin, siapa yang akan membekalkan semua ini. Mereka mengharapkan ihsan dan wang zakat, derma daripada badan-badan kebajikan dan sumbangan wakil rakyat.
Pusat-pusat zakat ada yang telah berjaya mengutip puluhan juta dan ada yang mencecah hingga seratus juta. Agensi yang mengagihkan wang zakat patut membuat strategi secara berkesan bukan sahaja menghulurkan bantuan ketika diperlukan akan tetapi mengeluarkan mereka ini daripada belenggu kemiskinan dan menjadi insan yang berdikari yang akhirnya menjadi pembayar zakat dan bukan lagi masih menadah tangan.
Setiap kali menjelang Syawal, agensi-agensi lain yang terlibat dengan golongan miskin seperti Amanah Ikhtiar, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), badan-badan kebajikan lain patut menyediakan strategi bersepadu bagi mengurangkan golongan miskin secara lebih berkesan dan jika boleh menghapuskannya sama sekali seperti yang pernah berlaku di zaman Khalifah Umar.
Nilai murni yang lazim berlaku di Hari Raya ialah ziarah menziarahi, mengeratkan hubungan silaturahim, bermaaf-maafan dan menghulurkan bantuan. Ini dilakukan di kalangan mereka yang masih hidup. Kita juga mengingati saudara mara dan ibu bapa yang telah meninggal. Bagi mereka yang telah pergi, memadai dengan mengadakan tahlil di rumah atau masjid dan surau. Ada yang berkesempatan ziarah pusara ibu bapa bersama keluarga. Ini dilakukan setahun sekali, berlainan semasa hidup kita ziarah mereka lebih kerap.
Keadaan perkuburan di negara kita berlainan dengan beberapa negara Islam lain. Tanah perkuburan di Baqi’ dan di Uhud, Madinah, tanahnya gersang, tidak ada nisan dan tidak ada pokok di tanam. Di Kaherah, Mesir pula kawasan perkuburan didirikan bangunan. Di beberapa buah negara Islam, terdapat makam tokoh-tokoh agama. Di pusara mereka didirikan bangunan dan ada yang dikawal rapi seperti Makam Imam Shafie di Kaherah.
Baru-baru ini timbul isu kekurangan tanah dan kawasan perkuburan dan cadangan mengguna semula tapak yang sedia ada dan isu kawasan perkuburan pelbagai agama. Ini perlu kepada pendapat ulama kerana ada sensitivitinya.
Adalah menjadi kelaziman bagi masyarakat Islam termasuk orang Melayu menziarahi golongan yang lebih tua. Pada satu hari saya menziarah sebuah rumah. Saya dapati begitu ramai yang datang berkunjung. Suasana begitu mesra dan ceria. Tuan rumah duduk bersama melayani tetamu. Apabila majlis ziarah berakhir, setiap orang akan bersalam dan bermaafan dengan tuan rumah dengan cukup tertib dan orang tua pula mendoakan untuk anak buahnya. Agak terharu juga melihatnya.
Persoalannya apakah nilai murni begini kelihatan dalam keluarga kita. Bagi sesetengah keluarga mereka tetapkan satu hari untuk bertemu berhari raya. Pada hari inilah semua ahli kaum kerabat dan anak cucu bertemu dan bermesra antara satu dengan lain. Cara begini boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
Sebenarnya bukanlah mudah untuk menguruskannya jika tiada perancangan lebih awal dan teliti kerana setiap keluarga ada rancangan masing-masing.
Kadang kala suami isteri ada yang bertelagah untuk memilih tempat beraya sama ada di rumah bapa atau rumah mertua.
Masyarakat hari ini telah hampir hilang nilai hubungan kekeluargaan kaum kerabat kerana ada di antara keluarga yang berasa asing apabila bertemu sepupu dan saudara jauh. Ini tidak berlaku dalam masyarakat kampung dahulu. Cara hidup zaman sekarang menyebabkan kelunturan nilai ini. Oleh itu inisiatif perlu diambil untuk menghidupkan semula tradisi ini. Supaya kemesraan tidak terbatas dalam bulan Syawal sahaja. Kemesraan dan hubungan erat kekeluargaan perlu dipupuk sepanjang masa
Bagi kita masyarakat Islam ada dua peristiwa yang berlaku setiap tahun bagi mengeratkan hubungan silaturahim. Bagi masyarakat dan kaum lain, mereka ada cara yang tersendiri. Bagaimanapun nilai murni, perlu dipupuk dan dikekalkan. Tidak dengan hanya membiarkan generasi muda menyambut hari perayaan dengan hiburan semata-mata.
Kita perlu menunjukkan mereka teladan dan contoh yang betul dalam menyambut Hari Raya iaitu dengan menjaga nilai agama dan tradisi Melayu yang sesuai dengan Islam.
Antara nilai yang baik lagi ialah mengambil kesempatan mengunjungi jiran dan sahabat handai termasuklah mereka yang bukan Islam. Tidak ada salahnya jiran yang berlainan agama kunjung-mengunjungi. Cara begini boleh mengeratkan perpaduan dan membentuk kesefahaman yang baik dan mesra dengan jiran. Hubungan dengan jiran perlu dipupuk dan dipelihara sepanjang masa.
Jangan sampai hubungan kita dengan jiran retak dan terputus. Islam telah memberi garis panduan dalam memelihara perhubungan dengan jiran, termasuk dengan bukan Islam.
Pelihara dan hidupkanlah suasana kejiranan yang mesra dan muhibah sepanjang masa supaya masyarakat sentiasa harmoni, bersatu padu dan hidup aman tenteram.