Lebih kurang sebulan lalu, saya terbaca sepucuk surat kepada pengarang dalam majalah Aliran Monthly, keluaran November 1998 yang bertajuk “Don’t persecute gay community”. Antara lain surat ini membantah penubuhan Pergerakan Sukarela Rakyat Anti-Homoseksual (PASRAH). Menurut penulis-penulis surat itu (surat tersebut mengandungi 19 nama), “Its intention to persecute an already marginal community – … – is not in line with our aspiration for a caring society.” Mereka juga menyebut bahawa pembentukan PASRAH adalah tanda-tanda tiadanya toleran dalam masyarakat kita dan ini bertentangan dengan keadilan sosial dan hak asasi manusia.
Selepas membaca surat ini saya tertanya-tanya apakah kita perlu membenarkan homoseksualiti ini demi menunjukkan bahawa masyarakat kita adalah sebuah masyarakat penyayang? Soalan kedua, apakah homoseksualiti itu satu hak asasi manusia?
Untuk membantu saya mencari jawapan, saya tanyakan soalan-soalan ini kepada seorang teman sekerja. Dia tidak memberi jawapan yang pasti cuma dia meminjamkan saya beberapa artikel yang dicetaknya dari intenet. Katanya, melalui artikel-artikel tersebut, saya boleh mendapat jawapannya, atau sekurang-kurangnya saya akan faham mengapa ada golongan yang berfikir seperti penulis-penulis surat tadi. Salah satu artikel tersebut bertajuk “Homosexuality is not a sin” yang ditulis oleh seseorang yang mendakwa dirinya seorang “gay Muslim” (penganut Islam yang homoseksual).
Oleh kerana saya agak sibuk, maka saya ketepikan artikel-artikel tadi untuk memberi laluan kepada tugasan-tugasan lain. Tetapi, sekali lagi saya bertemu dengan satu pandangan yang juga memeranjatkan. Kali ini di dalam sebuah akhbar harian – The Star – bertarikh 26 Mei 1998, Section 2, halaman 3. Akhbar tersebut melaporkan tentang pelancaran Women’s Agenda For Change. Semasa bercakap tentang Wanita dan AIDS, Kesihatan dan Seksualiti, akhbar tersebut melaporkan bahawa Ivy Josiah menyebut “it is time society stops discriminating against single women, unmarried women with children and lesbian.” “We are asking society not to punish these women who do not harm others. We call for tolerance.”
Sekali lagi saya bertanya sendiri, perlukah kita membenarkan lesbianisme sebagai tanda kita ini sebuah masyarakat yang toleran?
Yang terakhir tentunya berita tentang Human Rights Watch bagi Asia (HRW Asia) yang mahukan Malaysia menghalalkan liwat. Alhamdulillah, dari laporan media, semua warga Malaysia yang memberi pandangan, baik yang mewakili agama dan kaum mana sekalipun, menentang kenyataan HRW Asia itu. Nampaknya, tidak ramai di Malaysia ini yang berpendapat kita perlu menghalalkan homoseksualiti sebagai tanda betapa penyayangnya masyarakat kita.
Walau bagaimanapun, ini tidak bererti usaha untuk menyatakan Malaysia tidak akan menghalalkan liwat (atau homoseksualiti) harus berhenti setakat itu sahaja. Ini adalah kerana cabaran yang kita hadapi begitu besar sekali. Saya nyatakan ini kerana setelah membaca artikel yang dipinjamkan oleh seorang teman tadi, saya dapati golongan homoseksual itu bersungguh-sungguh inginkan agar masyarakat di seluruh dunia menerima dan menghalalkan kegiatan mereka. Untuk itu, melalui tulisan-tulisan mereka, mereka perturunkan hujah-hujah yang jika dibaca sekali lalu, mampu membuatkan sebilangan dari kita menerima pandangan tersebut.
Misalnya, dalam artikel “Homosexuality is not a sin”, penulisnya menyebut bahawa homoseksualiti bukanlah satu perbuatan tetapi ia adalah satu keadaan (a state of being) di mana seseorang itu mempunyai nafsu (erotic feelings) terhadap kaum sejenis. Nafsu ini kononya terhasil dari bahan kimia serta hormon dalam badan dan keadaan ini berada di luar kawalan mereka. Walau bagaimanapun mereka boleh mengawal penggunaan perasaan tersebut.
Menurut penulis tersebut, oleh kerana homoseksualiti adalah satu keadaan atau perasaan, maka untuk menyatakan sesuatu perasaan itu adalah satu dosa adalah tidak logik. Beliau menggunakan analogi lapar (satu keadaan) di mana pastinya tidak logik untuk menyatakan rasa lapar itu adalah satu dosa.
Oleh yang demikian, menurut beliau adalah lebih selamat untuk mengatakan bahawa homoseksualiti itu bukan satu dosa tetapi satu keadaan/perasaan, sebaliknya aktiviti homoseksual yang mungkin berdosa. Kemungkinan ini, menurut beliau masih boleh dipertikaikan.
Keduanya, penulis menyebut bahawa dosa didefinisikan sebagai melanggar undang-undang agama dan moral. Untuk itu, beliau mengenegahkan pandangan seorang wakil dari The Islamic Society of North America, Dr Muzammil Siddiqi, mengapa homoseksualiti itu dianggap satu dosa. Walau bagaimanapun, kerana mahu sangat agar homoseksualiti itu diterima, penulis telah menidakkan segala jawapan yang diberi oleh Dr. Siddiqi.
Menurut penulis tadi, bagaimana homoseksualiti boleh dikatakan sebagai berbahaya kepada kesihatan individu dan masyarakat sedangkan penyakit-penyakit kelamin selama-lamanya wujud hasil dari kegiatan heteroseksual? Jadi, homoseksualiti itu sendiri tidak berbahaya kepada sesiapa. Beliau juga mempersoalkan bagaimana homoseksualiti boleh membawa kepada kemusnahan kehidupan keluarga.
Menurut beliau lagi, jika kita mahu menganggap homoseksualiti sebagai satu dosa, ia mestilah memudaratkan diri sendiri, ataupun orang lain. Tetapi memetik kata-kata beliau, “How has two men lying together naked in bed ever harmed anyone?” Berbeza dengan pembunuhan, nyawa dihapuskan dan anak-anak menjadi yatim. Dalam kata lain, ada mangsa. Sebaliknya dalam hubungan homoseksual, tiada mangsa yang terlibat melainkan pihak-pihak yang saling merelakan. Hujah beliau ini mirip kepada kenyataan yang dibuat oleh Ivy Josiah pada awal tadi (“We are asking society not to punish these women who do not harm others…”).
Akhir sekali penulis tadi menyebut bahawa moraliti boleh berubah mengikut masa. Jika dahulu Rasulullah s.a.w. mengahwini kanak-kanak berusia 9 tahun dan itu diterima masyarakat tetapi kini tidak lagi sedemikian. Begitu juga dengan perhambaan. Dulu, ramai yang memiliki hamba tetapi kini amalan itu tidak lagi diterima oleh masyarakat. Itulah yang mereka harapkan, mungkin satu hari nanti masyarakat boleh menerima golongan homoseksual dan menganggap peminggiran mereka (seperti yang dilakukan oleh golongan terdahulu dan majoriti ahli masyarakat kini) merupakan satu amalan yang barbaric.
Pandangan-pandangan seperti ini, apalagi yang disebarkan melalui internet, benar-benar menjadi cabaran kepada kita. Sekiranya artikel-artikel seperti ini dibaca oleh mereka yang tahu serba sedikit tentang agama, barangkali kesannya tidaklah begitu berbahaya. Tetapi bagaimana jika ia jatuh ke tangan mereka yang kurang faham? Ataupun kepada mereka yang benar-benar mahu merasionalisasikan kegiatan mereka itu? Tentulah parah jadinya. Oleh itu, kita perlu berusaha agar propaganda seperti ini dapat kita perbetulkan demi generasi kita yang akan datang.
Jika kita lihat kepada hujah-hujah penulis tadi, banyak yang boleh kita persoalkan. Pertama, betulkah, sebagai satu keadaan/perasaan, homoseksualiti itu bukan satu dosa? Kedua, oleh kerana menurut penulis homoseksualiti itu tidak berbahaya kepada masyarakat, atau dalam kata lain tiada mangsa yang terlibat, lalu ia tidak melanggar etika moral, maka ia bukanlah satu dosa? Ketiga, benarkah moraliti berubah mengikut masa?
Jikapun homoseksualiti itu hanya merujuk kepada satu keadaan/perasaan seperti yang didakwa oleh penulis tadi, sebagai orang Islam, betulkah kita tidak boleh menghukum keadaan/perasaan.
Perasaan seperti dengki, cemburu, marah, tamak dan seumpamanya yang tidak dikawal dan tidak kena pada tempatnya bukankah juga ditegah oleh agama? Ini adalah kerana jika perasaan-perasaan ini tidak dikawal, ia akan mendorong kita untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama.
Dalam kes homoseksualiti, andaikanlah kita terima ia sebagai satu perasaan, jika tidak dikawal, apakah kesannya? Pastinya akan berlaku hubungan sama jenis yang ditegah itu. Tetapi sebagai orang Islam kita tahu bahawa sebagai satu perasaan pun ia tidak dibenarkan sama sekali kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia kerana dari segi kejadian serta fungsi seksualnya, Allah menjadikan perempuan untuk lelaki dan lelaki untuk perempuan (melalui perkahwinan yang sah) dan bukannya perempuan untuk perempuan dan lelaki untuk lelaki. Itulah sebabnya dalam Surah al-Araf, ayat 80-81, Allah menceritakan bagaimana keinginan memuaskan nafsu sesama lelaki dan meninggalkan perempuan merupakan sesuatu yang melampaui batas.
Kedua, jika penulis tadi mengatakan bahawa homoseksualiti tidak tergolong dalam definisi dosa kerana tiada mangsa yang terlibat melainkan orang-orang yang merelakan, apakah ini boleh diterima? Dalam Islam, ada perbuatan-perbuatan yang dilihat seolah-olah tiada mangsa, namun perbuatan itu tetap dianggap sebagai satu dosa. Contoh yang paling mudah ialah melancap (masturbate). Perbuatan ini bukan sahaja tiada mangsa (jika kita ingin melihatnya sedemikian) malah tidak memerlukan teman dan ia boleh menjadi rahsia peribadi individu tersebut. Tetapi, dalam Islam, ia tetap dianggap sebagai satu dosa. Jadi, hujah beliau tentang tiadanya mangsa maka ia tidak boleh dianggap sebagai satu dosa, tidaklah boleh kita terima.
Tetapi dari segi realitinya, benarkah gaya hidup homoseksual itu tidak melibatkan sesiapa menjadi mangsa atau tidak memudaratkan sesiapa? Katakan aktiviti homoseksualiti itu berlaku antara dua orang lelaki yang saling merelakan, apa akan jadi kepada harapan ibubapa mereka yang ingin melihat mereka berkahwin dan berkeluarga (dalam ertikata perkahwinan dan keluarga yang konvensyenal)? Apa akan jadi kepada seorang isteri yang ditinggal oleh suaminya yang sejak akhir-akhir ini menyedari kecenderungan seksnya adalah kepada kaum sejenis? Bagaimana pula dengan anak-anaknya? Sejauhmanakah kebenarannya bahawa gaya hidup ini tidak memudaratkan sesiapa?
Ketiga, benarkah moraliti berubah mengikut masa? Apa yang penulis itu maksudkan dengan moraliti? Mengikut Oxford Advanced Learner’s Dictionary, terdapat tiga makna morality. Pertama, “Principles of good behaviour”. Kedua, “(Degree of) conforming to moral principles; goodness or rightness “. Ketiga, “Particular system of moral”. Walau yang mana satu makna yang ingin beliau gunakan, sebagai seorang Islam kita tahu bahawa agama Islam itu sendiri memainkan peranan yang utama dan terpenting dalam menentukan apa yang baik dan betul. Bila kita katakan bahawa agama Islam memainkan peranan, maka tentulah hukum-hukum yang ditetapkan oleh Islam menjadi pokok kepada apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jika demikian, benarkah moraliti boleh berubah melalui masa? Jika ya, ini bermakna hukum juga berubah melalui masa. Apakah ini boleh diterima?
Kita maklum bahawa ada hukum yang jelas dalam al-Quran dan tidak boleh dipertikaikan lagi dan ada juga hukum yang tidak jelas, yang memerlukan pentafsiran dari hadith atau kebijaksanaan para ulama untuk berijtihad bagi menentukannya. Jika kedua-dua sumber syariah itu tidak menjelaskannya, seperti perkara-perkara yang baru yang tidak pernah wujud di masa lalu dan tentunya tidak disebut di dalam al-Quran dan hadith seperti isu pengklonan dan yang terbaru isu air kencing kuda betina bagi memulihkan/menghindarkan menopause. Sekali lagi, dalam hal-hal sebegini, tenaga ulama dan pakar-pakar perubatan, misalnya, diperlukan untuk menetapkan hukumnya.
Berbalik kepada isu homoseksual tadi, hukum mengenainya adalah jelas dalam Islam. Ia adalah haram dan ditegah orang Islam dari melakukannya. Dalam al-Quran, hal ini disebut dengan jelas beberapa kali dalam surah-surah yang berbeza. Misalnya, dalam surah al-Araaf, ayat 80-81, Allah berfirman yang bermaksud,
“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: `Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”
Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat dengan meninggalkan perempuan adalah satu perbuatan yang keji dan orang yang mengamalkannya digolongkan sebagai orang-orang yang melampaui batas. Oleh itu, tiada lagi keraguan tentang hukum homoseksualiti ini dan ia tidak perlu kepada ijtihad lagi. Hukumnya tetap haram dari dulu hingga kini, juga selamanya. Justeru itu, prinsip moral tentangnya juga tetap sama pada bila-bila masa.
Ternyata dakwaan yang dibuat oleh penulis tadi bahawa homoseksualiti bukan satu dosa adalah tidak benar. Sebagai satu keadaan (state of being) pun, ia tetap tidak dibenarkan. Malah, sebagai sesuatu yang melanggar fitrah kejadian manusia, ia juga memudaratkan diri, keluarga, negara dan agama. Dari segi moraliti, hukum perbuatan ini jelas haram, maka prinsip moral mengenainya juga tidak akan berubah. Sekiranya bilangan penduduk dunia yang dapat menerima hakikat homoseksualiti ini bertambah dari semasa ke semasapun, ia adalah tanda runtuhnya moral masyarakat dunia dan bukankan satu hakikat bahawa moraliti boleh berubah mengikut masa.
Yang pasti, ada golongan yang cuba merasionalisasikan homoseksualiti dengan berbagai hujah yang semata-mata bersandarkan kepada akal mereka semata-mata. Malah, mereka tidak berhenti di sini sahaja. Mereka juga menggunakan ayat al-Quran untuk berhujah tetapi di sebalik menggunakan ayat-ayat itu untuk menolak homoseksualiti, mereka memanipulasinya sehingga kelihatan keharaman homoseksualiti itu masih boleh dipertikaikan. Insya’Allah saya akan mengenengahkan hujah mereka berkaitan hal ini dalam artikel saya yang akan datang. Setakat ini, cukuplah untuk kita tahu bahawa banyak usaha untuk merasionalisasikan homoseksualiti, terutama dalam era internet ini. Untuk itu, kita perlu waspada, dan di mana mungkin, kita perlu memberi pandangan yang sebenarnya tentang perkara ini kepada ahli masyarakat.