Ada yang berpendapat bahawa kesibukan di kota menyebabkan warganya tiada masa untuk mengenali jiran tetangga. Malah, sering dikatakan bahawa fenomena “jiran tidak mengenali jirannya” berlaku berleluasa di kawasan bandar. Namun, apakah itu yang sebenarnya berlaku? Apakah semua warga kota tidak mengambil endah tentang sekumpulan manusia lain yang tinggal di kiri kanan rumahnya?
Dalam satu kajian yang saya jalankan berkaitan dengan nilai-nilai keluarga Islam dan sosialisasinya, saya dapati bahawa ini tidaklah benar dalam semua kes. Walaupun ianya benar, ia adalah kerana kedudukan rumah yang jauh dari jiran dan bertegur sapa adalah sesuatu yang agak sukar berlaku. Namun itu hanyalah satu kes yang terpencil. Dalam banyak kes, interaksi sesama jiran berlaku dengan baik tanpa mengira bangsa dan agama.
Sehubungan dengan itu, ingin saya tegaskan di sini bahawa nilai-nilai keluarga Islam, seperti yang ditemui, tidak terhad kepada lingkungan keluarga dan saudara-mara sahaja, tetapi ia pergi lebih jauh kepada jiran tetangga, kawan-kawan, malah ahli masyarakat yang lain, sama ada yang dikenali ataupun tidak. Artikel ini akan menumpukan kepada bagaimana ibubapa menjalinkan hubungan dengan orang-orang di luar keluarga dan bagaimana nilai-nilai yang sama ditanamkan dalam diri anak-anak mereka.
Dari kajian yang dijalankan itu didapati bahawa dalam hubungan dengan ahli masyarakat yang lain, nilai-nilai yang diutamakan mengikut keutamaannya ialah nilai berbaik-baik, nilai tolong-menolong dan nilai hormat-menghormati. Berikut adalah cara bagaimana nilai-nilai tersebut dijelmakan dan bagaimana ia ditanamkan pula dalam diri generasi kedua keluarga-keluarga tersebut.
Nilai Berbaik-baik
Cara nilai ini diterjemahkan berbeza mengikut sasarannya sama ada masyarakat awam, jiran, mahupun kawan. Masyarakat umum bermakna ahli masyarakat lain yang bukan jiran ataupun kawan. Dengan golongan ini, para responden mengambil sikap mudah didekati seperti suka menggembirakan orang lain, peramah, baik hati, bertimbangrasa, rendah diri, dan mengalah.
Di masa yang sama, mereka menjauhkan diri dari sikap-sikap yang boleh menjauhkan orang dari mereka seperti sikap cepat melatah, sikap tidak sukakan orang lain, sifat dengki dan tamak, tidak menimbulkan kemarahan orang dan mengelakkan diri dari menyampai-nyampaikan berita. Selain itu, mereka juga suka bergaul dengan masyarakat, suka meramaikan surau dan berinteraksi dengan orang ramai dalam majlis-majlis seperti rumah terbuka atau aktif dalam persatuan.
Terhadap jiran pula, mereka mengamalkan sikap mesra dan prihatin. Selain itu, mereka juga berusaha untuk menjaga hati jiran melalui perbuatan-perbuatan seperti menyapa dan memberikan senyuman apabila bersua muka, membawa buah tangan dari kampung, tidak mendengar radio atau TV dengan kuat, ziarah jiran kalau mereka sakit, memenuhi jemputan kendurinya, menghadiahkan buah-buahan yang ada di sekitar rumah kepada mereka, bertukar-tukar juadah – terutamanya di bulan puasa, perkenalkan diri kepada jiran yang baru pindah serta membantu mereka sekiranya perlu.
Dalam hubungan dengan kawan-kawan pula, responden seringkali mengundang kawan-kawan mereka datang ke rumah untuk mensyuarat atau usrah dan sebagainya. Dalam pada itu, mereka juga menziarahi rumah kawan-kawan mereka.
Sehubungan dengan itu, sikap dan perbuatan ibubapa tadi akan dicontohi oleh anak-anak. Anak-anak akan mengambil sikap dan melakukan perbuatan yang sama dalam interaksi mereka dengan ahli masyarakat yang lain. Selain mencontohi ibubapa, ibubapa sendiri mendidik anak supaya memiliki sifat-sifat yang memudahkan orang mendekati mereka terutamanya sifat peramah. Mereka juga menggalakkan anak-anak untuk berziarah dan berkenalan dengan anak-anak jiran.
Di samping itu, ibubapa juga tidak lupa untuk menjelaskan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dalam interaksi dengan masyarakat. Ini bertujuan supaya anak-anak mereka dapat mewujudkan suasana berbaik-baik dalam hubungan mereka dengan ahli masyarakat yang lain.
Nilai Tolong-Menolong
Berkaitan dengan nilai ini, responden hanya menyentuh tentang dua sasaran sahaja iaitu masyarakat umum dan jiran. Secara umum, bagi menjelmakan nilai ini, mereka mengambil sikap ringan tangan untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan bantuan. Terhadap jiran pula, mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang dapat membantu jirannya seperti menolong mengangkatkan kain di jemuran apabila hari hujan dan jiran tiada di rumah, menghulurkan bantuan semasa majlis kenduri-kendara atau menelefon jiran jika terdengar anak kecilnya menangis di tengah malam tanpa berhenti.
Nilai ini ditanam dalam diri anak-anak melalui contoh tauladan yang diberikan. Selain itu, sekiranya mereka berhadapan dengan kanak-kanak yang menghadapi masalah, mereka akan galakkan anak-anak mereka menghulurkan bantuan bagi membiasakan mereka dengan nilai ini.
Nilai Hormat-menghormati
Berkaitan dengan nilai hormat ini, mereka menunjukkan rasa hormat terhadap jiran dengan mengakui kehadiran mereka. Ini dilakukan dengan memberi senyuman dan bertegur-sapa dengan jirannya. Nilai yang sama juga ditanamkan dalam diri anak-anak dengan mendidik mereka supaya bersopan-santun dan beradab apabila bercakap dengan orang lain. Mereka juga menggalakkan anak-anak memanggil jiran dengan gelaran seperti pakcik atau makcik (uncle atau auntie bagi yang bukan Melayu).
Ternyata nilai-nilai yang dipegang berkaitan dengan hubungan dengan ahli masyarakat yang lain adalah nilai-nilai yang juga disarankan oleh Islam. Dalam hubungan dengan jiran misalnya, orang-orang Islam dituntut supaya berbaik-baik dengan jiran tetangga. Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ada seorang bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apakah hal tetangga atas tetangganya?” Baginda bersabda, “Apabila ia mahu berhutang denganmu, maka hutangilah. Apabila ia memanggilmu, maka jawablah. Apabila ia sakit, maka jenguklah. Apabila ia minta tolong, maka tolonglah. apabila ia ditimpa musibah, maka hiburkanlah. Apabila ia mendapat kesenangan, maka ucapkanlah selamat padanya. Apabila ia mati, maka hantarkanlah jenazahnya. Apabila ia berpergian, maka jagalah (rumah dan keluarganya). Dan janganlah mengganggu ia dengan bau masakan kecuali diberi masakan itu. Dan janganlah kamu meninggikan bangunan rumahmu melebihi bangunan rumahnya kecuali adanya kerelaan darinya.”
Berhubung dengan hubungan dengan jiran ini juga, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Tetangga itu ada tiga macam. Di antara mereka ada yang mempunyai tiga hak, ada yang mempunyai dua hak dan ada yang mempunyai satu hak. Tetangga yang mempunyai tiga hak ialah yang masih kerabat dan Muslim. Tetangga yang memiliki dua hak ialah tetangga yang Muslim dan tetangga yang ada satu hak ialah tetangga yang dzimmi. ”
Maksudnya ialah apabila tetangga itu adalah kaum kerabat dan Muslim, maka ia mempunyai hak sebagai kerabat, hak sesama Muslim dan hak sebagai tetangga. Tetangga yang Muslim tetapi tidak kerabat, maka ia mempunyai hak sebagai sesama Muslim dan hak sebagai tetangga. Sedangkan tetangga yang bukan kerabat dan bukan Islam pula ia ada satu hak iaitu hak sebagai tetangga.
Demikianlah terperincinya Islam meletakkan garis panduan kepada umatnya berkaitan dengan hubungan mereka dengan jiran tetangga. Begitu juga dalam hubungan dengan ahli masyarakat yang lain. Islam sememangnya meletakkan asas-asas tertentu dalam hubungan penganutnya dengan ahli masyarakat yang lain. Di dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud, “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan jauh.”
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Berbuatlah apa yang disukai manusia sebagaimana apa yang kamu sukai bagi dirimu sendiri, nescaya kamu akan menjadi seorang yang beriman. Berbuat baiklah kepada orang yang berada di sekitarmu, nescaya kamu menjadi Muslim. ”
AI-Fudlail b. Iyad menyatakan bahawa “Orang yang sempurna keperwiraannya ialah orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya, menyambung tali persaudaraan, menghormati saudaranya baik akhlaknya, baik dengan keluarga mahupun pelayannya, menjaga agamanya, membersihkan harta kekayaan, menafkahkan kelebihan hartanya, menjaga lisannya, rajin bekerja, tidak bergaul dengan orang-orang yang suka membicarakan orang lain”
Jadi, hasil kajian ini mendapati bahawa dalam hubungan dengan ahli masyarakat yang lain, keluarga-keluarga yang terlibat telah memilih nilai-nilai yang bertepatan dengan Islam iaitu nilai berbaik-baik, nilai tolong-menolong dan nilai hormat-menghormati. Di masa yang sama, mereka telah menggunakan teknik yang betul untuk menanamkan nilai-nilai tersebut ke dalam diri anak-anak mereka iaitu dengan mendidik mereka untuk memiliki nilai-nilai tersebut dan di masa yang sama memberikan contoh tauladan yang baik.
Kedua-dua aspek ini amat penting kerana didikan nilai terhadap anak-anak akan kurang berhasil sekiranya ibubapa sendiri tidak memiliki nilai-nilai tersebut. Itulah antara sebabnya dalam masyarakat Melayu ada perumpamaan yang berbunyi “Seperti ketam mengajar anak berjalan lurus”.
Di masa yang sama, perlakuan baik ibubapa akan sukar diikuti oleh anak-anak sekiranya mereka tidak dididik atau ditunjuk ajar tentang mengapa dan patut sesuatu perbuatan itu perlu. Dalam Islam, aspek mendidik dan memberi contoh tauladan yang baik perlu berlaku serentak bagi memastikan kejayaan penanaman sesuatu nilai itu.