Bencana pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini memberi cerminan jelas bahawa tahap kesedaran masyarakat di pelbagai peringkat masih lagi berada pada tahap yang sangat rendah dan membimbangkan. Sikap menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan pelbagai sisa pencemaran, jelas menunjukkan betapa fakirnya tahap mentaliti sebahagian masyarakat kita tanpa memikirkan natijah daripada kedangkalan sikap mereka terhadap ekosistem sungai yang menjadi nadi kehidupan kepada masyarakat setempat.
Ekoran daripada pencemaran sisa toksik yang berlaku, dapat kita lihat kesannya bukan sahaja terhadap alam sekitar, sebaliknya lebih buruk lagi turut menjejaskan tahap kesihatan awam melibatkan kira-kira seramai 5,848 orang kanak-kanak dan orang dewasa yang terpaksa mendapatkan rawatan sepanjang tempoh berlakunya bencana pencemaran berkenaan. Selain itu, dek kerana sikap tidak bertanggungjawab ini juga, kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan kos kecemasan yang besar yakni sebanyak RM6.4 juta untuk tujuan pembersihan sungai Kim Kim.
Insiden pencemaran kimia pada skala besar ini sepatutnya tidak berlaku dengan sewenang-wenangnya. Ini memandangkan, negara kita mempunyai badan-badan berkaitan alam sekitar di setiap negeri yang sewajarnya menjadi pemantau yang berkesan dalam memastikan jenayah alam sekitar dapat dikekang semaksimum yang mungkin dan mutu alam sekitar sentiasa berada pada tahap terbaik.
Apabila bencana seumpama ini berlaku, pastinya sedikit sebanyak mencalarkan imej dan mengundang persepsi negatif terhadap peranan badan-badan berkaitan pengurusan alam sekitar yang terlibat di negara ini. Antara persoalan yang pastinya timbul adalah membabitkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan pemantauan melibatkan badan-badan alam sekitar yang terlibat. Walau apa pun persepsi yang diperkatakan, ibarat kata pepatah “nasi sudah menjadi bubur.” Kejadian yang lepas usah dikenang, sebaliknya jadikan ia sebagai iktibar dan pedoman untuk kita semua memperbaiki segala kekurangan dan kelemahan di pihak masing-masing ke arah yang lebih baik.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah SWT; dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah At-Taghaabun, ayat 11).
Walaupun insiden ini begitu mendukacitakan seluruh rakyat Malaysia, namun setidak-tidaknya kejadian bencana yang berlaku ini menjadi wake-up call kepada semua pihak yang terlibat untuk bertindak dengan lebih serius dan berkesan pada masa hadapan supaya insiden sama tidak berulang.
Rentetan daripada bencana Sungai Kim Kim juga telah membawa kepada pengumuman oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pengumuman pemindaan akta ini perlu disambut baik oleh semua pihak, dengan harapan agar akta baharu yang bakal digubal kelak dapat menjadi “senjata” ampuh untuk membela nasib alam sekitar daripada dihimpit ancaman kemusnahan.
Walau bagaimanapun, penggubalan akta baharu semata-mata bukan merupakan jaminan bahawa insiden ini tidak berulang sekiranya tidak disusuli dengan aspek penguatkuasaan yang mantap. Badan-badan berkaitan alam sekitar yang terlibat perlu memperkasakan lagi aspek penguatkuasaan di bawah bidang kuasa masing-masing bagi mencegah insiden ini daripada berulang.
Jabatan alam sekitar umpamanya perlu bersiap sedia dengan tenaga kerja yang mencukupi bagi memastikan pemantauan secara berkala yang lebih kerap dapat dilakukan. Ini bukan sahaja semata-mata untuk mengelakkan tragedi sama berulang, sebaliknya juga bagi memastikan jenayah alam sekitar lain turut dapat dibendung.
Selain itu, pegawai penguatkuasaan yang terlibat juga perlu dipastikan dapat bertindak dengan lebih cekap dan pantas terhadap laporan-laporan berkaitan jenayah alam sekitar yang diterima, serta melakukan pemeriksaan susulan agar tindakan segera yang sewajarnya dapat diambil. Ini penting bagi memastikan sesuatu jenayah alam sekitar yang berlaku tidak berlarutan sehingga mengundang padah kepada masyarakat .
Manakala, di peringkat orang awam pula mereka perlu diberi pendedahan untuk berani bertindak membuat laporan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat perubahan-perubahan yang mencurigakan terhadap alam sekitar yang berlaku di sekeliling mereka. Keprihatinan daripada orang awam juga penting dalam memastikan maklumat-maklumat yang tepat berkaitan jenayah alam sekitar dapat disalurkan dengan kadar segera kepada pihak berwajib untuk tindakan susulan.
Dari segi aspek pengurusan bencana pula, insiden pencemaran sungai Kim Kim dilihat memberi isyarat jelas kepada kita bahawa prosedur operasi standard (SOP) sedia ada perlu dinilai semula dan ditambah baik. Ini kerana, SOP yang ada pada masa ini hanya tertumpu kepada pengurusan bencana seperti banjir dan jerebu sahaja.
Ini bermakna, tanggungjawab besar perlu digalas oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menambahbaik SOP sedia ada dengan menambah satu lagi tumpuan iaitu penyelarasan pengurusan bencana akibat pencemaran kimia. Penambahbaikan SOP ini penting memandangkan negara kita masih belum ada SOP yang lengkap dalam menghadapi pencemaran kimia, biologi dan radiologi.
Malah, cadangan daripada pelbagai pihak agar NADMA menubuhkan satu majlis penasihat untuk menasihati kerajaan mengenai pengurusan kesan kimia, biologi dan radiologi juga dilihat sangat relevan, terutamanya bagi memastikan kerajaan lebih bersedia sekiranya insiden seumpama ini berulang.
Antara tujuan cadangan penubuhan majlis penasihat ini adalah bagi menyediakan pelan tindakan pengurusan bencana yang lengkap yang meliputi beberapa aspek seperti: i) persampelan; ii) ujian makmal; iii) mengenalpasti bahan pencemar yang terlibat; iv) pembersihan dan pengurusan sisa bahan pencemar; v) pemantauan kualiti alam sekitar secara berkala dan berterusan; dan vi) rawatan dan pengawasan perubatan kepada mangsa yang terdedah kepada pencemaran. Dengan terhasilnya pelan pengurusan bencana yang komprehensif dan mantap kelak, pastinya dapat mempersiap siagakan negara untuk lebih cekap dan terkehadapan dalam aspek pengurusan bencana pada masa hadapan.