Ketika artikel ini ditulis, kita telah pun berada pada hujung Januari dan akan memasuki bulan kedua untuk Tahun 2020. Walaupun demikian penulis masih percaya bahawa ruang untuk membicarakan Wawasan 2020 dari pelbagai perspektif masih luas.
Sejak tahun 1991, semua rakyat di negara ini mengetahui bahawa Tahun 2020 ialah destinasi gagasan Wawasan 2020. Cuma barangkali ada dalam kalangan kita yang tidak maklum atau kurang pasti tentang cetusan wawasan tersebut walaupun ia telah menjadi slogan yang saban hari didendangkan.
Wawasan ini sebenarnya bermula dengan ucapan YAB Perdana Menteri pada ketika itu Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad yang bertajuk “Malaysia Melangkah ke Hadapan” semasa sidang pertama Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur pada 28 Februari 1991, dan ia kemudiannya dikenali sebagai gagasan Wawasan 2020. Jika dilihat pada tarikh ucapan YAB Perdana Menteri pada ketika itu, tempoh yang diambil untuk sampai ke tarikh yang dituju adalah suatu proses yang mengambil masa selama 29 tahun, iaitu hampir tiga dekad. Gagasan idea yang besar ini kemudiannya telah mengisi dan memenuhi pelbagai platform dan wadah perbincangan.
Hal ini termasuklah pada tahun berikutnya iaitu pada 3 Julai 1992, Wawasan 2020 telah dibincangkan dari perspektif Islam oleh sarjana-sarjana Islam yang tersohor sama ada dari dalam negara mahupun luar negara melalui satu kongres yang dinamakan sebagai “Kongres Menjelang Abad 21: Islam dan Wawasan 2020.” Kongres yang penuh bersejarah itu juga turut dihadiri oleh wakil-wakil lapisan masyarakat termasuklah yang mewakili penganut-penganut agama bukan Islam. Pada kongres itu juga telah dilancarkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), iaitu satu pengisytiharan tentang kewujudan IKIM sebagai sebuah institusi Islam yang diharap pada ketika itu akan memainkan peranan yang sewajarnya dalam pembinaan masyarakat Malaysia yang bersatu-padu dan maju.
Perkara ini perlu disorot semula sebagai suatu muhasabah yang penting untuk semua rakyat negara ini. Ada dalam kalangan kita yang memahaminya secara sambil lewa dan menganggap Wawasan 2020 sebagai pembangunan dan kemajuan fizikal semata-mata. Pemahaman secara yang agak dangkal ini dapat kita lihat contohnya pada saat-saat kita hendak memasuki gerbang tahun baharu yang lalu dengan hantaran-hantaran media sosial yang tular dan bersifat sinikal mengenai Wawasan 2020. Penulis sempat melihat hantaran yang memperlihatkan perubahan negara yang drastik untuk Tahun 2020 dengan keadaan negara yang dipenuhi dengan pencakar langit dan kereta-kereta terbang, seperti ala-ala filem Star Wars. Selain itu video pendek yang memperlihatkan kereta Perodua Myvi yang mempunyai kemampuan untuk terbang juga turut tular ketika kedatangan Tahun 2020.
Sudah pasti dalam kongres yang membincang dan membahaskan Wawasan 2020, topik berkaitan pembangunan sains dan teknologi diangkat sebagai topik perbincangan yang penting, tetapi ia bukan satu-satunya tema yang dipilih dan mengisi program penting tersebut. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, ketika itu Tan Sri Dato’ Seri, dalam ucapan aluannya telah menyusun empat tema untuk dibincangkan dalam kongres yang bersejarah itu. Iaitu, “Sejauh manakah Wawasan 2020 Menepati Islam?,” “Islam dan Pembangunan Sains dan Teknologi,“ “Pembangunan Bangsa Malaysia Bersatu dari Perspektif Islam,” dan “Paradigma Pembangunan Malaysia: Ekonomi dan Perdagangan dari perspektif Islam.” Hal ini menunjukkan tema-tema yang dibangkitkan dan dibahaskan dalam kongres tersebut mencakupi semua sudut kehidupan bernegara, dan memperlihatkan keseimbangan aspek hidup yang bakal dijalani oleh negara ini pada Tahun 2020.
Artikel ini tidak bertujuan untuk mengulas gagasan Wawasan 2020 secara sempurna kerana ruang yang ada ini amatlah terhad. Ia lebih bertujuan untuk menjentik rasional rakyat Malaysia agar memahaminya dengan kefahaman yang sebenar mengenai Wawasan 2020. Dalam hal ini terdapat idea-idea yang penting yang terkandung dalam ucapan YAB Perdana Menteri itu, dan untuk kita nilaikannya dengan realiti yang ada pada hari ini.
Dalam ucapan berkenaan, beliau telah menerangkan bahawa langkah pertama yang perlu diambil untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju adalah dengan menentukan matlamat, iaitu mendefinisikan kemajuan dan kegemilangan. Kecekapan dalam bidang sains dan teknologi, ciptaan, perubatan, pentadbiran, sosial, ekonomi, politik dan bidang-bidang lain yang boleh menjadikan kita sebagai negara Islam yang kukuh, kuat dan mampu menangkis segala ancaman.
Walaupun secara zahirnya kemajuan itu boleh merujuk negara-negara maju pada masa itu, tetapi kita telah diingatkan bahawa kemajuan negara-negara ini dari segi intelek dan fizikal malangnya diiringi dengan keruntuhan moral dan akhlak yang ketara. Maka, bentuk seperti ini bukanlah model negara maju yang sesuai untuk Malaysia. Oleh yang demikian, konsep negara maju untuk sebuah negara bernama Malaysia, adalah maju dan moden tetapi tetap kukuh dari segi moral dan akhlak. Akhlak itu pula tidak akan lahir tanpa agama yang kukuh.
Ucapan beliau juga melontarkan idea tentang ilmu pemerintahan yang perlu dikaji supaya negara Islam akan mendapat (dalam fahaman penulis sebagai “membentuk”) pemerintahan yang adil dan kemas. Keadilan dalam konteks kepelbagaian kaum dan penganut agama. Sebenarnya ilmu siasah syar’iyyah telah berkembang dan membangun selari dengan perubahan-perubahan semasa yang berlaku dari satu era ke satu era. Dalam konteks Malaysia, keadilan ini akan dapat dirasai oleh setiap rakyat negara ini jika Rukun Negara benar-benar didukung, dan Perlembagaan Persekutuan dijadikan sebagai rujukan utama dalam hidup bernegara.
Jika kita tinjau persekitaran dalam negara, pembangunan sains dan teknologi sentiasa berlangsung yang melibatkan anak-anak watan secara langsung dalam pelbagai sektor. Nama Malaysia juga sudah tidak begitu asing dalam meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa. Pun begitu, jika kita ketengahkan soal moral dan akhlak, pada tahun 2020 ini, adakah kita sudah boleh berbangga dengan akhlak dan moral masyarakat sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kedudukan dan latar belakang mereka?
Cuba kita lihat diri kita dari sudut pemeliharaan kemudahan awam; pemuliharaan alam sekitar; kebersihan di taman-taman rekreasi; penglibatan kita dalam aktiviti kitar semula; rasa hormat terhadap bahasa kebangsaan; isu-isu budaya yang sebenarnya telah termaktub dalam Perlembagaan; limpahan pendatang asing; semangat patriotik dan pelbagai isu yang berkaitan dengan akhlak, integriti dan moral.
Mungkin sebahagian daripada matlamat Wawasan 2020 itu telah pun tercapai. Cuma kita sendiri yang terlepas pandang untuk menghargainya, dan mungkin juga cara kita membayangkannya terlalu ideal. Dalam hal ini memang amat perlu untuk kita bermuhasabah supaya hasil dan semangatnya itu dapat kita terapkan pula dalam merealisasikan Wawasan Bersama 2030 yang telah dilancarkan pada 5 Oktober 2019, kerana yang paling penting di sini ialah persediaan sahsiah dan mentaliti.
Wawasan yang baharu ini perlulah disambut oleh setiap daripada kita dengan rasa tanggungjawab dalam merealisasikannya. Inilah peluang untuk kita membuktikan bahawa gagasan idea ini bukan sekadar retorik, yang hasilnya akan mencerminkan mentaliti kita sebagai sebuah bangsa.