Perdebatan mengenai teknologi pengklonan khususnya untuk mengklonkan manusia menjadi satu polemik di kalangan saintis dan pemimpin politik. Sesetengah negara dengan jelas meletakkan pengklonan manusia sebagai satu kesalahan jenayah.
Jika dilihat pada proses untuk menghasilkan manusia klon ini, ia adalah satu proses pembiakan seksual yang tidak memerlukan percantuman sel jantan (sperma) dengan sel betina (ovum). Sebaliknya apa yang diperlukan adalah sel totipoten yang mengandungi kod genetik iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) yang dimasukkan ke dalam ovum yang tidak tersenyawa yang telah dikeluarkan nukleusnya.
Di dalam kitab suci al-Quran terdapat beberapa ayat yang menerangkan dengan nyata tentang proses pembiakan manusia yang memerlukan kehadiran sel sperma dan sel ovum. Bayi yang dilahirkan akan mempunyai ciri genetik yang unik yang merupakan kombinasi ciri genetik daripada ibu dan bapanya.
Jika dilihat kepada bayi klon, ia tidak mempunyai ciri genetik yang unik sebaliknya ia mempunyai genetik yang sama dengan penyumbang DNA-nya. Dalam kata lain, bayi klon adalah replika genetik kepada penyumbang DNA tersebut.
Lazimnya hanya kembar seiras yang mempunyai ciri genetik yang sama. Namun dengan adanya teknologi pengklonan ini telah membolehkan klon manusia untuk mempunyai ciri genetik yang sama dengan induk yang menyumbangkan DNA.
Persoalannya, apakah hubungan di antara klon dengan induknya? Adakah ia sama seperti hubungan anak dengan bapa? Atau adakah kerana ciri genetik kedua-duanya adalah sama, maka mereka adalah kembar?
Kekeliruan ini dipandang berat oleh Islam. Ini akan membawa masalah kepada soal penentuan nasab. Di dalam ayat 54 Surah Fussilat, Allah s.w.t. telah berfirman dengan maksud, Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).
Soal pertalian keluarga amat dipentingkan dalam Islam. Islam menekankan tentang perlunya institusi keluarga itu dipelihara. Teknologi pengklonan akan meruntuhkan institusi keluarga yang ditekankan oleh Islam.
Ini kerana dengan teknologi pengklonan, peranan yang dimainkan oleh lelaki menjadi tidak lagi penting sebaliknya wanita yang tidak berkahwin juga boleh mendapat anak. Ini sudah tentu akan meningkatkan lagi jumlah ibu tunggal dalam satu-satu masyarakat. Apa yang lebih merunsingkan ialah pasangan homoseksual juga boleh mendapat anak dengan adanya teknologi ini.
Walaupun pada awalnya teknologi pengklonan ini dilihat sebagai satu cara untuk membantu pasangan yang tidak mempunyai zuriat, jelas sekali kesan buruk yang dibawa oleh teknologi ini jauh melampaui manfaat yang dibawa olehnya.
Dengan teknologi pengklonan ini, peranan lelaki dan juga fungsi hubungan seksual akan hanya menjadi sumber untuk keseronokan dan hedonisme semata-mata. Walhal Islam melihat hubungan antara lelaki dan perempuan dalam satu ikatan perkahwinan yang sah sebagai penting bagi tujuan mendapat zuriat keturunan.
Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. menerusi maksud firman-Nya di dalam ayat pertama Surah al-Nisa: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
Selain daripada itu, satu lagi implikasi yang dibawa oleh teknologi pengklonan ialah dari aspek pengkomersialan rahim wanita. Teknologi pengklonan membuka ruang bagi wanita untuk menjadi ibu tumpang dengan menyewakan rahim mereka sepanjang tempoh kehamilan bagi membolehkan bayi klon dilahirkan.
Manusia seharusnya mengambil pengajaran daripada masalah yang timbul akibat penggunaan teknologi pembiakan artifisial seperti IVF yang menggunakan ibu tumpang di mana banyak pertikaian perundangan timbul kerana perebutan bayi di antara ibu tumpang tersebut dengan ibu bapa yang sebenar. Apa yang jelas ialah teknologi pengklonan akan membuka lebih banyak ruang untuk pertikaian-pertikaian seperti ini di antara ibu tumpang dengan penderma DNA.
Di samping itu, teknologi pengklonan turut akan memberikan ruang untuk gen-gen diperdagangkan. Artis-artis terkenal, intelek-intelek terkemuka dan pemimpin-pemimpin tersohor berkemungkinan akan dapat memasarkan DNA mereka kepada sesiapa yang mahu mendapat anak yang mempunyai ciri genetik yang serupa dengan artis, intelek atau pemimpin berkenaan.
Nyata sekali implikasi-implikasi yang dibawa oleh teknologi pengklonan lebih banyak menyebabkan kemudaratan daripada kemanfaatan. Atas sebab inilah, maka Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2002 yang lalu mengharamkan pengklonan manusia.
Islam adalah satu agama yang memelihara kemaslahatan ummahnya. Sekiranya sesuatu itu bertentangan dengan fitrah dan tidak memenuhi maslahah, sebaliknya menyebabkan mafsadah (kehancuran), maka sudah tentulah Islam tidak akan mengharuskan penggunaannya.
Islam bukanlah menghalang atau menentang perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Sebaliknya Islam amat menggalakkannya tetapi perlu ada garis sempadan yang jelas di antara apa yang diharuskan dan apa yang dilarang. Dalam konteks teknologi pengklonan ini, manusia mungkin telah melampaui garis sempadan fitrah yang telah ditetapkan oleh Islam.