Budaya Selesa : Pemusnah Kegemilangan Bangsa
Setelah hampir 40 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia kini sudah mampu mengorak langkah gagah dan berdiri megah. Satu pencapaian yang cukup membanggakan! Tempoh waktu tersebut sesungguhnya telah mengajar kita banyak perkara. Malahan ia juga telah berjaya mematangkan negara kerana sekiranya tempoh tersebut dinisbahkan pada usia seseorang individu, ia sudah cukup untuk menyempurnakan pertumbuhan peribadi dan kematangannya .
…sehingga apabila ia telah dewasa dan usianya mencapai empat puluh tahun….
(Surah et-Ahqet 46: 15)
“Malaysia kini jauh lebih maju. Jika dahulu, sukar untuk melihat kereta (terutama kereta mewah) menjalar di kampung-kampung, kini perkara tersebut bukan lagi sesuatu yang luar biasa, Hampir setiap keluarga memiliki kenderaan sendiri dan bukan setakat sebuah untuk satu keluarga malahan lebih, bergantung pada kemampuan keluarga tersebut. Pembangunan yang dicapai oleh setiap negeri juga hampir menyeluruh, jika tidak sepenuhnya. Gaya hidup orang Malaysia juga kebanyakannya kini jauh lebih mewah. Paling terkini ialah penggunaan telefon bimbit yang bukan sahaja melibatkan usahawan dan golongan berada, malahan juga sesiapa sahaja, termasuk peniaga kecil-kecilan dan orang awam,” demikian antara luahan mereka yang berbicara tentang kemajuan yang dicapai oleh Malaysia.
Kemajuan negara ini dan perubahan gaya hidup rakyat sebagaimana yang sering diperkatakan itu sememangnya berasas. Kecenderungan mereka untuk mencapai kehidupan yang jauh lebih selesa dan mewah jelas menunjukkan perubahan cita rasa, seiring dengan perubahan masa. Ini dapat dilihat umpamanya pada setiap musim cuti terutamanya cuti persekolahan. Tempat-tempat percutian dan destinasi pelancongan pasti dipenuhi dengan pengunjung.
Tanpa membuat tempahan untuk penginapan sekurang-kurangnya dua atau tiga minggu atau mungkin sebulan sebelumnya, anda mungkin hanya akan dapat membawa keluarga bercuti di kampung sahaja. Hal yang sama juga berlaku pada bulan Ramadan. Anda perlu membuat tempahan awal untuk berbuka. puasa di hotel-hotel. Jika tidak, hasrat anda mungkin tidak kesampaian.
Selain itu. khabarnya orang Malaysia juga telah mampu untuk berbelanja dengan mewah di luar negara. Sebagaimana yang disebutkan ‘oleh Saudara Johan Jaafar dalam ruangan ‘Nota.Kaki’ (Utusan Malaysia, Isnin, 10 Jun 1996), London kini merupakan syurga bagi orang Malaysia yang ingin berbelanja. Gedung-gedung mewah menjual pelbagai jenama terkenal bukan lagi asing bagi mereka. Menurut beliau lagi, kejayaan memang membawa bersama-samanya kemewahan baru orang Malaysia dan sebahagian besar masalah defisit dikatakan merupakan akibat daripada banyaknya wang yang mengalir keluar untuk bersantai, berhibur dan berbelanja.
Orang Malaysia juga dikhabarkan membeli perabot di England, marmar di Itali, lukisan di New York, gelas bohemia di Prague dan pakaian mahal di Paris. Menurut saudara Johan lagi, orang Malaysia melancong hinggakan pesawat sarat dengan tempahan setahun sebelum itu. Demikianlah hebatnya arus kemajuan melanda minda, jiwa, kecenderungan dan cita rasa orang Malaysia.
Semua latar belakang ini menggambarkan perubahan dari keadaan yang agak sukar sebelumnya kepada keadaan yang lebih menyenangkan atau dengan kata-kata lain, keadaan yang lebih selesa dan mewah. Kata sesetengah orang, kemewahan dan kekayaan sememangnya menjadi impian setiap individu, kelompok, bangsa atau umat. Apatah lagi pada zaman yang serba mencabar ini, kekuatan sesuatu bangsa diukur pada kekuatan ekonomi dan sejauh mana ia dapat menqelakkan diri daripada bergantung pada orang atau bangsa yang lain.
Untuk mencapai kemewahan tersebut, kata mereka, bukan sedikit usaha yang diperlukan. “Kita tidak perlu merujuk contoh pengalaman negara lain,” tambah mereka, “melihat pengalaman Malaysia sendiri sudah mencukupi.” Berasaskan pengalaman pahit dijajah British dan Jepun, Malaysia melalui jalan yang penuh onak dan duri, menempuh pelbagai peringkat atau zaman untuk mencapai zaman kegemilangan dan kemewahan seperti hari ini.
Kekuatan sesebuah bangsa atau negara termasuk Malaysia telah teruji sejak peringkat awal lagi iaitu pada zaman kemunduran dan ketinggalan. Ujian tersebut merupakan ukuran keutuhan dan keteguhan sesebuah bangsa atau negara untuk melawan cabaran dan melonjak jauh ke hadapan. Manakala zaman pembangunan pula merupakan ujian kemampuan sesebuah negara untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai kedudukan yang lebih membanggakan dan selesa. Dengan kegigihan dan kekuatan berpegang pada prinsiplah seterusnya kemewahan dan kekayaan dapat dicapai. Di peringkat ini, ujian yang sebenar mendepani negara tersebut iaitu sama ada kemewahan boleh menjadikan rakyatnya alpa kepada apa sahaja termasuk kepada Allah s.w.t. yang menganugerahi kemewahan tersebut.
Namun segala-galanya perlu sederhana. Kefakiran hampir-hampir menyebabkan seseorang menjadi kufur, sabda Rasulullah s.a.w. pengalaman hidup pula mengajar kita bahawa kekayaan dan kemewahan mendekatkan kita kepada kealpaan. Demikianlah hidup ini penuh dengan dugaan dan ujian. Hanya yang mampu bertindak dengan bijak sahaja yang akan terselamat.
Kesederhanaan dalam kehidupan, sebagaimana yang dianjurkan oleh lslam tidak pula membataskan usaha umatnya. Islam memberikan galakan malah menegaskan kepentingan berusaha gigih untuk mencapai kemajuan terutama dalam bidang ekonomi kerana ia bukan sahaja mengukuhkan negara lslam dari segi fizikal bahkan turut membersihkan imej mereka yang sering dikaitkan dengan kemunduran. Islam juga turut menjelaskan bahawa setiap usaha yang jujur dan ikhlas pasti memperoleh keberkatan dan hasil yang diharap-harapkan.
lni terbukti dengan apa yang telah dapat dicapai oleh Malaysia. Setelah sekian lama berusaha, kini ia muncul sebagai salah sebuah kuasa ekonomi yang kompeten di dunia. Malahan, pencapaian cemerlang ini juga telah mendorong Malaysia untuk menyimpan hasrat mencapai taraf negara maju hanya dalam satu generasi sahaja, berbanding beberapa buah negara maju yang mengambil tempoh beberapa generasi untuk mencapai taraf tersebut. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana Malaysia sudah pun menunjukkan kemampuannya untuk berbuat demikian dengan mencapai pertumbuhan purata sebanyak 8.7 peratus setahun bagi tempoh lima tahun pertama Wawasan 2020.
Di samping itu, dasar-dasar yang dibentuk juga telah membantu melahirkan ramai tokoh korporat, teknokrat dan jutawan. Manakala rakyat pula hidup makmur, memiliki segala kemudahan, bukan sahaja kemudahan asasi malahan juga kemewahan. Begitu juga dengan kadar kemiskinan yang berjaya dikurangkan. Sehubunqan itu juga, dengan pembangunan yang mapan dan seimbang, Malaysia diyakini dapat menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin pada masa-masa hadapan.
Tentu sahaja para pejuang yang masih sempat melihat hasil perjuangan mereka, benar-benar berasa bangga dengan pencapaian negara hari ini. Apatah lagi para perancang negara yang berjaya merancang semua kejayaan ini dan dapat pula merealisasikannya. Tiada kata-kata yang dapat menterjemahkan kepuasan di hati masing-masing. Ternyata mereka telah menikmati hasil jerih perih mereka selama ini.
Namun, bagi sesetengah orang, mereka melihat keadaan ini dari sudut yang lain. Bagi mereka, pencapaian gemilang hari ini akan melahirkan generasi malas, tidak kreatif dan lalai. Malahan kini, menurut mereka, ciri-ciri negatif yang membimbangkan itu telah pun wujud pada generasi kini. Tentu sahaja mereka merujuk budaya bersantai di mana-mana sahaja dan budaya lepak yang hebat melanda generasi muda kini. Tambahan pula kata mereka, kebanyakan generasi muda yang terlibat dengan budaya ini terdiri daripada anak-anak golongan berada dan mewah.
Bagi mereka, semuanya dipelajari daripada sejarah. Setiap bangsa menghadapi sekurang-kurangnya tiga zaman; zaman kemunduran, zaman pernbangunan serta zaman kegemilangan dan keemasan. Selepas itu, bangsa tersebut akan kembali mundur dan tamadun yang mereka bina akan runtuh. Demikianlah kisah keruntuhan bangsa tersebut akan menambah koleksi sejarah tamadun bangsa yang lenyap dari permukaan bumi ini.
Antara, faktor utama yang membawa kehancuran bangsa dan tamadun yang dibina ialah kegagalan generasi seterusnya untuk mempertahankan kredibiliti generasi sebelumnya. Menurut sejarah, semua bangsa yang mengalami keruntuhan ini mengalami masalah yang hampir sama dari semua aspek terutama masalah kehilangan pegangan dan jati diri serta semangat kekitaan di kalangan masyarakat. Demikianlah sifat sejarah yang sentiasa berulang.
Golongan atau masyarakat yang kehilangan haluan dan semangat juang ini merujuk kepada masyarakat atau bangsa yang menjadi tumpuan perbincangan dalam kitab masyhur Ibn Khaldun, ‘Muqaddimah’ iaitu bangsa Arab, Ajam dan Barbar. Antara lain Ibn Khaldun menyebut, “Pada mulanya, kemewahan itu akan menambah kekuatan sesebuah dinasti. Kekuatan itu pula antara lain disebabkan oleh perkembangan dan pertambahan populasi terutamanya generasi muda. Namun ia seterusnya mula mengalami era keruntuhan disebabkan ketidakupayaan generasi berikutnya untuk mempertahankan kedaulatan negara. Mereka tidak memikirkan keupayaan serta kecemerlangan diri dan hanya bergantung pada pemerintah atau orang lain.”
Menurut Ibn Khaldun lagi, “Apabila sesebuah bangsa itu berkuasa dan mewarisi kekayaan nenek moyang, mereka terus leka dan lalai. Mereka mula melupakan kehidupan yang sederhana dan berjimat cermat. Mereka telah terbiasa dengan keadaan ini dan mula berasa seronok menikmati hasil peninggalan nenek moyang mereka.”
“Apabila kemewahan dicapai, semua usaha sebelumnya terhenti begitu sahaja. Ini kerana, mereka merasakan bahawa semua impian kini telah berada dalam genggaman dan tiada apa-apa lagi yang perlu dilakukan. Mereka hanya perlu bersantai dan menikmati hasil perjuangan nenek moyang mereka. Akhirnya, mereka sebati dengan amalan dan sikap ini lalu mewariskannya pula kepada generasi seterusnya. Begitulah seterusnya sehingga Allah mentakdirkan bangsa itu dilenyapkan dan dihancurkan,” luah Ibn Khaldun seterusnya.
Malahan secara lebih jelas, Ibn Khaldun menyimpulkan bahawa sesuatu bangsa hanya dapat membina negara melalui perjuangan gigih. Namun, apabila ia berjaya ditubuhkan, perjuangan pun terhenti begitu sahaja.
Sebagai contoh, Kerajaan al-Murabitun di Sepanyol akhirnya dilanda kemunduran dan kelemahan disebabkan para pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan terlalu asyik dengan kemewahan dan kebendaan serta mementingkan diri sendiri. Ia menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral di kalangan mereka serta menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap negara dan rakyat. Kesudahannya, pada 1145M., kerajaan ini pun berkubur setelah dilanda pemberontakan dan pelbagai masalah dalaman yang lain.
Cordova, Seville, dan Granada, juga di Sepanyol, pernah menjadi mercu tanda kegemilangan tamadun lslam. Bandar-bandarnya melambangkan kebudayaan yang tinggi dan kemewahan yang melimpah ruah. Namun akhirnya ciri-ciri kemajuan ini yang diwujudkan untuk menjalankan aktiviti masyarakat, seterusnya membawa keruntuhan akhlak penduduknya. Apabila keadaan ini berlaku, kerajaan juga turut menerima kesannya.
Penduduk yang kehilangan matlamat dan daya saing pasti tidak dapat memberikan sokongan serta kerjasama untuk mengekalkan kegemilangan bangsa dan keutuhan negaranya. Demikianlah akhirnya segala usaha dan perjuangan sebelumnya untuk memperoleh kejayaan hilang begitu sahaja. Apa yang tinggal hanyalah kenangan tentang manisnya kejayaan serta kegemilangan yang telah dicapai untuk beberapa waktu.
Meneliti hakikat bahawa setiap yang bermula pasti ‘akan berakhir, dari satu sudut, seolah memberikan kita ruang untuk melepaskan diri (‘escapism’) daripada tanggungjawab mengekalkan kegemilangan. Tambahan pula keadaan ini disokong pula dengan bukti sejarah yang menunjukkan bahawa setiap dinasti atau kerajaan akhirnya akan runtuh setelah mengalami zaman kegemilangan dan keemasan.
Begitulah juga jika kita mahu mengambil kesempatan daripada pandangan Ibn Khaldun tentang tempoh hayat sesebuah dinasti, ” Pada umumnya, tempoh hayat sesebuah kerajaan jarang melampaui tiga generasi. Satu generasi adalah sama dengan 40 tahun iaitu satu tempoh waktu yang diperlukan untuk menyempurnakan pertumbuhan dan kematangan seseorang manusia.”
“Generasi pertama mengekalkan sifat-sifat masyarakat padang pasir dan sebagai pengembara; kasar, biadab, suka bersaing dan tamak. Walau bagaimanapun, generasi ini juga memiliki beberapa sikap positif seperti sentiasa bekerjasama dan bantu-membantu. Oleh yang demikian, semangat kekitaan di kalangan mereka adalah sangat utuh dan pihak musuh berasa gentar untuk menyerang mereka, apatah lagi untuk menawan mereka.”
“Seterusnya, generasi kedua mula mengubah cara hidup mereka daripada gaya hidup pengembara dan serba kesempitan kepada gaya hidup menetap serta dilingkungi kemewahan yang melimpah-ruah. Ciri-ciri bekerjasama dan bantumembantu juga kini semakin lenyap. Semangat kekitaan juga kian luntur. Bagi kumpulan yang tersisih daripada persaingan merebut kemewahan pula, mereka mula berasa malas untuk berusaha dan hanya menurut telunjuk golongan yang berkuasa. Keberanian yang dimiliki juga makin terhakis dan setiap individu mula mengharapkan agar orang lain dapat menjadi pelindung mereka. Walau bagaimanapun, generasi kedua ini masih mengekalkan beberapa sifat asal disebabkan mereka memiliki hubungan yang rapat dengan generasi pertama. Bahkan mereka juga telah menyaksikan sendiri kegigihan generasi tersebut dalam mendapatkan kemasyhuran, kekayaan dan kegemilangan. Oleh yang demikian, mereka tidak boleh meninggalkan sifat-sifat asal itu sekali gus, meskipun sebahagiannya terpaksa dikesampingkan.”
Ibn Khaldun selanjutnya menjelaskan, “Manakala generasi ketiga pula sama sekali melupai kehidupan padang pasir dan segala kesulitan yang dihadapi ketika menjalani kehidupan di tempat tersebut. Mereka juga tidak dapat merasai kegemilangan memiliki semangat kekitaan disebabkan mereka telah biasa dengan kehidupan berbakti dan diperintah oleh orang lain.”
“Selain itu, kemewahan juga merosakkan keperibadian generasi ini kerana mereka telah dibesarkan dalam suasana yang serba mudah, selesa dan mewah. Mereka terlalu bergantung pada kerajaan dan sentiasa mengharapkan agar kerajaan dapat melindungi dan mempertahankan mereka. Mereka juga tidak lagi berjuang untuk mempertahankan hak dan kepentingan diri serta keluarga. . Manakala semangat kekitaan pula kini telah lenyap sama sekali. Malahan mereka juga tidak mampu untuk mempertahankan negara sendiri dan kerajaan terpaksa mengambil khidmat orang asing sebagai tentera. Demikianlah yang berlaku pada Kerajaan alMuwahhidun di Afrika. Raja-rajanya sering memilih suku Zenatah dan bangsa Arab sebagai anggota tentera lalu mengetepikan rakyatnya sendiri yang telah biasa dengan kehidupan mewah serta selesa. Akhirnya, era kehancuran pun melanda bangsa tersebut,” tegas Ibn Khaldun dalam kesimpulannya.
Walau apa pun hakikatnya; kita juga perlu mengakui bahawa setiap perkara atau keadaan yang berlaku, bergantung pada sikap dan pendirian kita. Hanya dengan keimanan, ilmu dan kebijaksanaan sahajalah kita mampu mengendalikan urusan kehidupan dengan baik dan cemerlang. Ini termasuklah dalam mengejar kemajuan dan mencapai kegemilangan serta mengekalkannya. Kita akan berjaya mencapai impian dan akan berjaya pula mengekalkan kejayaan tersebut jika kita mematuhi segala syarat yang membolehkan kita berbuat demikian. Itulah resam kehidupan.
Begitulah juga dalam menguruskan kehidupan mewah dan selesa. Beringat untuk bersyukur, bersederhana dalam berbelanja dan bersedia untuk berkongsi nikmat Allah dengan orang lain, pasti dapat memberkati kehidupan kita. Malahan semua sikap mulia ini – juga dapat menyelamatkan kita daripada bencana yang dijanjikan Allah jika kita mengabaikan amanah terhadap harta kurniaan-Nya. Hayatilah peringatan Allah ini:
‘Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakannya dan diberinya kesenangan, maka dia berkata, “Tuhanku telah memuliakanku. ” Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka ia berkata, “Tuhanku telah menghinaku. ” Sekali-kali tidak demikian, sebenarnya kamu tidak memuliakan anak yatim, dan kamu tidak saling mengajak memberi makan orang miskin, dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur adukkan (yang halal dengan yang batil), dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan. ‘ (Surah al-Fajr 89: 15-20)
Jadilah bangsa yang tahu menilai erti perjuangan dan kemenangan serta dan tegar pula berpegang pada prinsip hidup. Ingatlah bahawa tidak seorang pun daripada kita yang terkecuali daripada matlamat hidup yang telah ditentukan-Nya. Pujangga Iqbal pernah mengungkapkan:
“Seseorang itu hidup berasaskan hubungan antara tubuh dengan minda, Sebuah bangsa pula bertahan dengan memelihara tradisi silamnya; Seseorang akan mati jika aliran hidupnya kering kontang, Bangsa pula akan lenyap jika ia hilang matlamat hidupnya.”