Psikologi dan Pengurusan Emosi Rasul SAW
Kelahiran Nabi Muhammad SAW ke alam ini sememangnya satu rahmat yang amat besar kepada seluruh isi kehidupan. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud ‘Dan tidaklah engkau diutus wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam’,dan rahmat yang terhasil ini telah menyinari segenap ruang kehidupan manusia, meliputi pelbagai bidang kehidupan sebagaimana penuhnya segala isi antara langit dan bumi. Malah, secara khususnya, kedatangan Rasul SAW ke alam maya ini ialah bagi mendidik umat manusia supaya berada dalam kesempurnaan akhlak dan sahsiah. Akhlak dan sahsiah adalah juga personaliti dan peribadi yang menjadi asas kepada pembentukan tingkahlaku.
Dan kesempurnaan keperibadian serta akhlak Rasul SAW adalah tergambar sebagaimana kesempurnaan yang terkandung di dalam al Quran. Satu kesempurnaan keperibadian yang telah dididik dan dipupuk oleh kalamuLLAH. Malah, segala pertututan dan percakapan serta perbuatan Baginda adalah berdasarkan kepada apa yang diwahyukan oleh Allah SWT, dan bukannya tanpa asas atau melulu tanpa bukti, dan tidak terjejas oleh pertuturan kerana menuruti kehendak hawa nafsu, keegoan diri, mahupun kejahilan terhadap membendung kehendak emosi yang tidak produktif. Inilah kelahiran Rasul SAW, iaitu satu kelahiran yang membawa bersamanya kesempurnaan emosi dan perasaan. Matlamatnya ialah untuk diikuti dan menjadi panduan bagi golongan manusia, tanpa perbezaan darjat dan keturunan.
Kesempurnaan emosi dan perasaan yang dicontohkan oleh Baginda SAW inilah yang wajar penjadi pegangan dan ikutan kita semua. Sebenarnya, inilah juga apa yang telah diajarkan oleh Rasul SAW kepada kita apa itu pengurusan emosi, tentang apakah emosi positif dan emosi negatif, malah ia juga berkaitan kecerdasan emosi serta konsep dan operasi islami tentang pengurusan dan kecerdasan emosi yang mungkin amat janggal bagi sesetengah dari kita, tetapi inilah khazanah yang perlu diungkap kembali oleh kita semua. Ini juga adalah di antara beberapa rahmat sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada seluruh alam ini dengan kelahiran junjungan besar Rasul SAW.
Allah telah menjadikan manusia dari pelbagai unsur, yang terdiri daripada tanah yang membentuk asas kepada pembentukan fizikal, dan ditiupkan dengan unsur nyawa atau ruh, yang memberi tenaga kehidupan dan kekuatan kepada fizikal. Persoalannya ialah di manakah kedudukan emosi atau perasaan itu, adakah ia sebahagian dari unsur fizikal atau ruh? Atau adakah ia merupakan satu fungsi yang terhasil daripada gabungan aspek fizikal dan rohani? Kajian dalam neurosains menyatakan bahawa emosi adalah sebahagian dari fungsi saraf, satu manifestasi yang terhasil dari aktitivi otak manusia.
Manakala dalam Islam, ruh amat berperanan dalam memandu sebarang aktiviti dalam pemikiran, perasaan dan perbuatan manusia. Ruh amat memerlukan jasad yang secara fizikalnya melengkapi hakikat insan dan begitu juga jasad yang memerlukan ruh bagi meneruskan kehidupan. Malah, ruh turut dinyatakan mempunyai keupayaan untuk berasa takut dan bergembira, baik di saat hidup di dunia ini, mahupun di akhirat nanti. Bertepatan dengan apa yang digambarkan dalam al Quran yang menceritakan tentang keadaan dan perasaan manusia apabila mereka dihumban ke neraka dan juga kegembiraan mereka apabila menjadi penghuni syurga. Keadaan ini digambarkan Allah dalam surah az Zumar, satu surah yang banyak menceritakan hal berkaitan ahli syurga yang dipenuhi kegembiraan dan ahli neraka yang diselubungi kedukaan. Firman Allah yang bermaksud:
‘Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka, mereka tiada disentuh oleh azab (neraka dan tidak pula) mereka berduka cita’. Surah az Zumar, ayat 61.
Pada umumnya, emosi ialah satu reaksi dalaman yang mempunyai kualiti ekspresif dan mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tingkahlaku individu. Emosi boleh mempengaruhi tingkahlaku seseorang individu dan individu terbabit juga mampu untuk mengawal reaksi emosinya. Namun perkara ini amat mengelirukan manusia lantaran ketidakfahaman terhadap fitrah kejadian manusia itu sendiri lalu mengakibatkan ramai individu yang tidak mampu dalam mengawal emosi, malah sebaliknya dikawal oleh emosi mereka sendiri. Terdapat dua jenis emosi iaitu negatif atau positif yang tergolong ke dalam dua kategori, sama ada membina atau merosakkan.
Berhubung dengan perkara ini, seorang tokoh keilmuan Islam yang tidak asing lagi, Dr Muhammad Uthman Najjati ada menyatakan bahawa reaksi dalaman terhadap sesuatu perkara, pengalaman atau peristiwa mencorak kepada kepelbagaian emosi yang terdiri daripada rasa marah, sedih, duka, kecewa, takut, gembira dan suka serta kasih sayang. Malah, kelahiran Rasul SAW pula telah memberi panduan kepada manusia untuk mempelajari dan memahami tentang reaksi emosi dan kaedah pengurusan emosi. Jika ditinjau pada hari ini berkaitan kecerdasan emosi, beberapa elemen penting dalam kecerdasan emosi ialah mengenali jenis emosi, memahami emosi diri dan emosi orang lain, mengetahui bagaimana emosi tercetus dan kesannya kepada pembangunan diri serta perhubungan.
Melalui wahyu dan hidayah Allah SWT, Baginda SAW telah mengajar umatnya untuk mengenali apa itu emosi. Pelbagai jenis reaksi emosi diterangkan oleh Baginda SAW seperti perasaan marah, sedih dan duka lara, gembira, malu, takut dan gementar serta sebagainya. Sebagai contoh, dalam al Qur’an yang menjelaskan mengenai emosi sedih sebagaiman firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 277, yang bermaksud: ‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Pada mereka tidak ada kekuatiran dan tidak (pula) mereka bersedih hati’.
Manakala berkaitan dengan perasaan benci, Islam menyarankan agar tidak wujud kebencian yang melampaui batasan perikemanusiaan dan pada masa yang sama agar meletakkan rasa kebencian tersebut terhadap perkara yang membawa kepada syirik, kekejaman dan kemaksiatan. Dalam al Quran, Allah berfirman dalam surah al Baqarah, ayat 216, yang bermaksud ‘Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kebencian kamu terhadap sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui’.
Jika pada hari ini, masyarakat moden telah terdedah dengan apa itu kecerdasan atau kepintaran emosi serta kaedah pengurusan emosi, tetapi hakikatnya kelahiran RasuluLLAH SAW sebagai penyempurna akhlak manusia lebih awal mengajar manusia berkaitan kecerdasan emosi dan perasaan serta cara pengendalian emosi yang tidak terkawal agar menjadi lebih baik. Baginda telah mengajarkan untuk mengenali apa itu emosi, sama ada emosi negatif atau positif, dan bagaimana sifat emosi itu boleh berubah menjadi sesuatu yang membina ataupun merosakkan, berserta dengan cara pengendalian emosi. Inilah yang menjadi asas kepada akhlak dan tingkahlaku manusia, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW yang terhasil dari natijah keimanan sebagai pendorong tingkahlaku yang sebenar. Akhlak ini jugalah yang akan menentukan keredhaan Allah dan balasan syurga kerana sebaik-baik manusia di kalangan orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang amat baik perangai dan akhlaknya kepada orang lain. Mari bersama untuk menghayati maksud sebuah hadis riwayat Imam Tarmizi, sabda Nabi Muhammad SAW “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan iringilah kejahatan dengan perbuatan kebaikan, dan berperangailah kepada manusia dengan perangai yang baik”.