Majlis Sidang Media Pelancaran Program Haji 1436H/ 2015M
Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad
Pengarah Pusat Media
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
6 Ogos 2015
MAJLIS SIDANG MEDIA PELANCARAN PROGRAM HAJI 1436H/ 2015M
Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) akan meneruskan penerbitan rancangan sempena kehadiran musim Haji 1436H ini. Dengan membawakan pendekatan yang lebih santai, rancangan-rancangan musim Haji bagi tahun ini lebih berkonsepkan mendidik dan memberi ilmu khusus kepada para jemaah haji yang akan mula bertolak ke Tanah Suci Mekah mengerjakan Haji bermula pada 16 Ogos ini.
IKIMfm akan menerbitkan beberapa rancangan yang dibawakan dari Kota Suci Mekah dan Madinah Al-Munawarah bagi membawakan liputan penuh Haji pada tahun ini. Antaranya ialah rancangan Laporan Haji dari Tanah Suci yang akan mula bersiaran pada 2 Zulkaedah hingga 11 Zulhijjah (17 Ogos – 25 September) pada setiap hari jam 8.15 pagi di dalam Buletin IKIMfm.
Selain daripada itu, rancangan Debaran Mabrur yang akan membawa perkongsian persiapan jemaah haji menjelang ibadah Wukuf di Padang Arafah dan pengalaman berada di Mina, Muzdalifah oleh para jemaah haji. Rancangan selama 10 minit ini akan diisi juga oleh Pembimbing Ibadah Tanah Suci (PIHTAS LTH). Rancangan ini bersiaran pada pukul 4.45 petang bermula 1 Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah (15 September – 24 September)
Antara kelainan rancangan khas Haji pada tahun ini adalah Forum Bicara Ad-Deen IKIMfm yang akan dibawakan secara rakaman dari Tanah Suci Mekah. Sebanyak empat episod akan bersiaran selama 45 minit bermula jam 9 malam pada hari Ahad bermula 6 September, 13 September, 20 September dan 27 September 2015.
Istimewa pada tahun ini Travelog Kembara Hati yang akan membawakan perjalanan jemaah haji di Tanah Suci juga akan diterbitkan pada 1 Muharam akan datang, jam 3.15 petang.
Meneruskan kesinambungan seperti tahun-tahun lalu, IKIMfm dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji Malaysia memilih Dj Mohd Faiz Hj Othman mewakili IKIMfm membuat liputan di Kota Suci Mekah pada Musim Haji tahun ini. Beliau juga merupakan Penerbit Rancangan Radio IKIMfm.
Dengan persiapan melalui pengendalian bersama Media Tabung Haji, liputan Haji pada tahun ini lebih menekankan keadaan sebenar yang berlaku di Tanah Suci dengan membawa sorotan pengalaman dan keadaan yang berlaku di sana. Rancangan khas sepanjang musim Haji ini ditaja oleh Ar-Rahnu Exchange.