TEKS UCAPAN YABHG TUN AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID, PENGERUSI, INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) DI MUZAKARAH PAKAR “PERANAN SALING MELENGKAPI ANTARA LELAKI DAN WANITA MENATIJAHKAN KEMAKMURAN” PADA 9 APRIL 2021 (JUMAAT) JAM 9:00 AM (ONLINE)
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala oleh kerana dengan limpah keizinan dan inayah-Nya, maka kita dapat menyertai Muzakarah Pakar bertajuk “Peranan Saling Melengkapi Antara Lelaki dan Wanita Menatijahkan Kemakmuran”.
2. Dalam Surah Az-Zariyat (51), ayat 49 Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang bermaksud, “Dan, segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan agar kamu mengingat (kebesaran Allah)”. Lelaki pasangannya perempuan. Suami pasangannya isteri. Ibu pasangannya bapa. Penciptaan makhluk Allah secara berpasangan ini adalah untuk kita mengingati kebesaran Allah dan bukan sekadar hanya melihatnya dari sudut perbezaan yang membawa kepada pertentangan, percakaran dan permusuhan.
3. Semenjak zahirnya sejarah manusia, isu ketidaksetaraan gender (gender inequality) telah dibincangkan, mengenai diskriminasi terhadap wanita; wanita sebagai objek seksual; wanita ditindas; wujudnya sistem patriaki, di mana lelaki berkuasa, dan, berkedudukan leibh tinggi daripada wanita.
4. Dalam Islam, hubungan antara lelaki dan perempuan tidak dilihat dari sudut kuasa, yakni siapa yang berkuasa dan siapa yang dikuasai. Sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini, setiap lelaki dan perempuan ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksanakan untuk memakmurkan alam ini.
5. Di gelanggang keluarga, suami dan isteri ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Mawaddah ar rahmah yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata’ala akan dapat dinikmati oleh setiap pasangan, sekiranya mereka sama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab yang saling melengkapi. Ayah dan ibu, masing-masing ada peranan dan tanggungjawab sendiri yang saling melengkapi untuk menjadikan anak mereka manusia yang sempurna sahsiahnya apabila dewasa kelak. Kesempurnaan peribadi itu amat sukar diperolehi oleh anak-anak yang membesar tanpa ayah atau ibu atau kedua-duanya akibat perceraian atau kematian.
6. Di dalam masyarakat, menurut Islam, penyertaan wanita dibolehkan tertakluk kepada syarat-syaratnya yang tertentu. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 32, yang bermaksud, “…kerana telah tetap bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan bagi wanita pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan …” Ini bermakna bahawa kedua-dua pihak, lelaki dan perempuan, boleh memainkan peranan masing-masing sebagai Khalifah Allah untuk memakmurkan alam ini.
7. Di zaman ini, kita menyaksikan wanita telah menceburi semua bidang pekerjaan termasuklah bidang-bidang yang dahulunya dikuasai oleh lelaki. Biarpun demikian, ada yang berpendapat bahawa pucuk pimpinan tertinggi negara/Ketua Negara hendaklah lelaki oleh kerana tanggungjawab yang amat berat dan tidak sesuai untuk wanita. Namun, banyak jawatan-jawatan ketua negara telah dipegang oleh wanita. Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa wanita boleh menjadi hakim dalam kes-kes di mana perempuan dibenarkan menjadi saksi iaitu dalam kes-kes selain hudud dan qisas. Manakala Ibn Jarir al-Tabari berpendapat bahawa perempuan harus menjadi hakim dalam semua perkara termasuk hudud dan qisas. Apa yang penting, seorang hakim itu hendaklah berkemampuan menegakkan keadilan. Di negara kita, Ketua Hakim Negara adalah seorang wanita. Gabenor Bank Negara dan Pengerusi PNB adalah terdiri daripada dua orang tokoh wanita negara.
8. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 8 Fasal 2 menyebut bahawa “… tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir dan jantina”. Ini bermakna bahawa kedua-dua pihak, lelaki dan perempuan, dilindungi oleh Perlembagaan Pesekutuan. Kita seringkali mendengar ada pihak yang mempersoalkan tentang sejauhmana Undang-undang Keluarga Islam melindungi wanita. Hakikatnya, Undang-undang yang berkenaan melindungi dan memelihara hak lelaki dan perempuan di semua peringkat perkahwinan seperti (1) pra perkahwinan (mungkir janji pertunangan, misalnya); (2) semasa perkahwinan (termasuk poligami) (pemberian nafkah, misalnya); dan, (3) sekiranya berlaku perceraian (tuntutan harta nafkah, harta sepencarian, hak penjagaan anak, misalnya). Akta Keganasan Rumahtangga (1994) menangani keganasan yang berlaku dalam rumahtangga yang mungkin melibatkan mana-mana anggota keluarga, baik wanita mahupun lelaki. Walaupun sebahagian besar mangsa keganasan rumahtangga adalah wanita, namun terdapat juga sebilangan kecil mangsa yang merupakan lelaki. Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa antara 2014 sehingga Disember 2016, terdapat 15,617 kes keganasan rumahtangga. Dari bilangan ini, 4029 kes bersamaan 26% melibatkan mangsa lelaki. Mereka juga dilindingi oleh Akta ini.
9. Kod Amalan Untuk Mencegah atau Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja (1999) dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja di Perkhidmatan Awam (2005) adalah bertujuan untuk melindungi mangsa baik wanita, mahupun lelaki. Statistik PDRM melaporkan bahawa antara tahun 2013 sehingga 2017, terdapat 1218 kes gangguan seksual di Malaysia dan 257 kes, bersamaan 21% adalah lelaki.
10. Di negara kita ada beberapa perkara yang memerlukan pemikiran lanjut. Jumlah wanita di dalam sektor pendidikan, korporat, dan pentadbiran telah meningkat dan saling melengkapi lelaki. Pada masa ini, penyertaan wanita di 100 buah syarikat yang teratas yang tersenarai, 25.8% daripada ahli-ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada wanita. Bilangan wanita yang menjadi ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua pengarah, naib-naib canselor, hakim-hakim dan penjawat-penjawat di angkatan tentera dan polis kian bertambah. Mungkin kesibukan mereka itu boleh menjejaskan pemeliharaan, pendidikan awal anak-anak mereka. Pada suatu ketika dahulu, saya pernah mencadangkan supaya diwujudkan satu piagam keharmonian rumahtangga untuk memberi jaminan bahawa anak-anak tidak diabaikan dalam keadaan kedua-dua ibu dan bapa mencari rezeki. Mungkin muzakarah ini hendak membincangkan cadangan ini.
11. Semoga muzakarah pakar ini diredhai, dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wat’ala.