TEKS UCAPAN YABHG. TUN AHMAD SARJI BIN ABDUL HAMID, PENGERUSI, INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) SEMPENA PELANCARAN BUKU FIQH DAN ARAHAN PERUBATAN AWAL PADA 23 APRIL 2021 MENERUSI RADIO IKIM.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia, inayah dan riayah-Nya, saya berkesempatan untuk melancarkan buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Buku ini merupakan buku pertama terbitan IKIM bagi tahun 2021.
2. Satu daripada aktiviti utama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ialah penerbitan buku-buku untuk pembacaan awam meliputi pelbagai aspek yang berkaitan dengan agama Islam. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1992, IKIM telah menerbitkan sebanyak 218 judul buku yang merangkumi pelbagai bidang ilmu. Pecahan judul mengikut bidang ilmu adalah seperti berikut:
(i) mengenai Syariah dan Undang-undang;
(ii) mengenai Ekonomi dan Pengurusan;
(iii) mengenai Pandangan Alam Islam;
(iv) mengenai Sains Politik;
(v) mengenai Keluarga dan Masyarakat;
(vi) mengenai Sains dan Teknologi; dan
(vii) mengenai Alam Sekitar.
3. Isu Arahan Perubatan Awal, atau dalam bahasa Inggerisnya Advance Medical Directive (AMD), mula dikaji oleh IKIM semenjak tahun 2015 menerusi penganjuran satu Muzakarah Pakar “Bioetika Islami Mengenai Isu Advance Medical Directive” yang disertai oleh pakar-pakar perubatan, kesihatan, fiqh, perundangan dan etika. Hasilnya adalah terbitan buku pertama oleh IKIM yang berjudul Arahan Perubatan Awal: Perspektif Bioetika Islami. Pada waktu yang sama, Muzakarah Pakar tersebut juga telah mengenal pasti tiga isu utama yang memerlukan penelitian lanjut iaitu, (1) Batasan autonomi pesakit dalam membuat arahan perubatan awal; (2) Keupayaan kognitif pesakit dalam membuat keputusan berkaitan pilihan rawatan; dan (3) Susunan wakil pesakit untuk membuat keputusan bagi pihak pesakit apabila pesakit hilang keupayaan untuk membuat keputusan sendiri.
4. Berikutnya, IKIM telah memulakan satu projek penyelidikan khusus untuk memperhalusi ketiga-tiga isu ini yang melibatkan tenaga kepakaran perubatan, etika dan fiqh daripada Universiti Malaya, dan Universiti Teknologi MARA. Sebagai satu proses pengabsahan (validation) ke atas dapatan penyelidikan, satu lagi Muzakarah Pakar telah dianjurkan pada 16 Ogos 2017 dengan mengumpulkan pakar-pakar perubatan, kesihatan, fiqh, perundangan dan etika untuk memperolehi peer comments. Akhirnya, maka lahirlah buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal ini. Batasan autonomi pesakit dalam membuat keputusan sering menjadi asas dalam isu arahan perubatan awal. Islam tidak menolak hak seseorang pesakit untuk menentukan bentuk rawatan atau penjagaan yang dikehendaki. Bagaimanapun, akan timbul pertembungan etika apabila berlaku konflik antara pilihan pesakit dengan pandangan kepakaran doktor yang merawatnya. Jika pesakit memilih untuk menolak satu bentuk rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa, bolehkah doktor yang merawatnya itu campur tangan untuk menidakkan keputusan pesakit tersebut kerana tanggungjawab asas seorang doktor adalah untuk berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit? Apakah pandangan fiqh sekiranya berlaku keadaan seperti ini?
5. Ada juga wujud isu mengenai kemampuan kognitif pesakit untuk membuat keputusan. Sekiranya pesakit tidak memahami dengan jelas implikasi pilihan rawatannya disebabkan faktor-faktor kognitif, adakah pesakit wajar membuat keputusan dan pilihan sendiri? Tidakkah keputusan yang dibuat tanpa keupayaan kognitif yang baik akan membawa kepada kemudaratan? Bagaimana pula dengan pesakit-pesakit yang menghidap demensia? Sejauh manakah mereka berhak untuk membuat keputusan sendiri dalam memilih bentuk rawatan atau penjagaan?
6. Dalam konteks negara kita, institusi keluarga amat penting. Atas sebab itu, apabila seorang ahli keluarga sakit, maka pandangan ahli keluarga sering diambil kira dalam membuat keputusan pilihan rawatan atau penjagaan. Dalam hal ini, kita sering mendapati bahawa ahli keluarga yang menjaga pesakit di wad siang dan malam merupakan ahli keluarga yang mempunyai ikatan kasih sayang yang paling rapat dengan pesakit. Secara logiknya, ahli keluarga inilah yang mengetahui kehendak dan kemahuan pesakit. Namun, sering berlaku keadaan bila mana keputusan rawatan hendak dibuat, ahli keluarga lain yang tidak terlibat dalam penjagaan pesakit hendak campur tangan, pada kebiasaanya atas faktor “senioriti” dalam keluarga. Apakah panduan Islam untuk menangani situasi seperti ini? Adakah susunan wali dalam Islam boleh dipakai bagi keadaan seperti ini?
7. Islam meraikan hak pesakit untuk memilih bentuk rawatan yang dikehendaki. Perkara ini seperti yang diceritakan dalam sebuah Hadis riwayat al-Bukhari apabila Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wassalam mengalami sakit yang kritikal, Sayyidatina ‘Aisyah radiallahu anha meletakkan sejenis ubat yang dipanggil ladud ke dalam mulut baginda. Bagaimanapun baginda memberikan isyarat agar ubat itu tidak diberikan kepada baginda. Melihatkan hal ini, sahabat-sahabat yang hadir pada waktu itu berkata, “(Nabi menolak) disebabkan sememangnya lumrah seorang pesakit tidak suka akan ubat.” Setelah baginda sedar, baginda bersabda yang bermaksud: “Kamu semua juga hendaklah meletakkan ubat yang sama dalam mulut kamu sebagaimana dilakukan kepada diriku, kecuali al-Abbas, kerana dia tidak ada bersama-sama kalian.” Hadis ini dengan jelas menunjukkan kepentingan keizinan pesakit hendaklah diperolehi sebelum rawatan diberikan. Arahan perubatan awal merupakan satu kaedah dalam penjagaan kesihatan hari ini yang mendokumenkan hasrat pesakit berkenaan bentuk rawatan atau penjagaan yang dikehendakinya sekiranya dia tidak lagi mampu membuat keputusan sendiri.
8. Buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal membincangkan persoalan-persoalan yang dinyatakan tadi di samping memperhalusi perspektif hukum Islam terhadap isu arahan perubatan awal. Adalah diharapkan bahawa dengan penerbitan buku ini menyumbangkan kepada kefahaman Islam mengenai arahan perubatan awal sebagai panduan kepada kita semua. Institut Kefahaman Islam Malaysia adalah berharap buku ini akan dibaca oleh:
(i) Doktor-doktor perubatan, khususnya mereka yang terlibat di unit kecemasan dan unit paliatif;
(ii) Pihak pengurusan hospital awam dan swasta;
(iii) Ahli-ahli akademik, khususnya dalam bidang perubatan, pengajian Islam dan undang-undang;
(iv) Pelajar-pelajar bidang perubatan, pengajian Islam dan undang-undang; dan
(v) ahli-ahli masyarakat oleh kerana isu ini melibatkan hak sebagai pesakit yang perlu diketahui oleh semua.
9. Sempena pelancaran buku ini, maka bagi tempoh selama 10 hari bermula daripada hari ini, buku Fiqh dan Arahan Perubatan Awal ini akan dijual dengan harga diskaun sebanyak 40 peratus. Buku ini boleh dibeli secara dalam talian (online) melalui portal IKIM Niaga iaitu www.ikimniaga.my.
10. Adalah didoakan semoga ilmu yang disampaikan oleh buku ini memberi manfaat.
Sekian. Terima kasih.