Teks Perutusan YABhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1442H Pada 29 April 2021, bersamaan 17 Ramadan 1442H.
Assalamu‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, pada tanggal 17 Ramadan, umat Islam akan memperingati peristiwa besar Nuzul al-Quran, atau turunnya al-Quran kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihiwasallam. Pada tahun ini, untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan pendemik Covid-19, umat Islam akan meraikannya dengan norma baharu, iaitu, tadarus al-Quran dilakukan secara sendiri, dalam talian atau bersama keluarga di rumah masing-masing.
2. Nuzul al-Quran adalah suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Umat Islam disarankan agar bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia segala ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya. Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan kepada umat manusia. Al-Quran yang juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
3. Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui perantaraan malaikat Jibril adalah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq yang bermaksud:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran dimana al-Quran itu menjadi pertunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan pembeza antara hak dan batil” (Al Baqarah:185)
4. Sebagai seorang muslim kita menjadikan Al-Quran, As-sunnah, Qias dan Ijmak sebagai pedoman. Apa sahaja perkara yang hendak dilakukan atau diputuskan, kita hendaklah merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah, InsyaAllah kita tidak akan sesat di dunia dan di akhirat. Namun, apabila membaca al-Quran tetapi tidak mengambilnya sebagai pedoman maka Al-quran itu sendiri yang akan melaknatnya. Ini dijelaskan dalam hadis nabi s.a.w :
“Berapa banyak orang yang membaca Al-Quran sedangakan Al-quran itu melaknatnya”.
5. Institut Kefahaman Islam Malaysia sentiasa berusaha bagi memupuk semangat dan membentuk pemikiran berasaskan al-Quran (Quranic Mind) menerusi program-program seperti kolokium, seminar, muzakarah pakar, mahu pun program-program di Radio IKIM. Seseorang yang mempunyai Minda Qurani, tidak akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat apa yang ia lakukan. Kita akan dipertanggungjawabkan apa sahaja perbuatan kita, sama ada yang baik dan yang buruk. InsyaAllah, sekiranya kita sentiasa mengingati Allah, kita pasti akan mendapat kebaikan di dunia ini dan di akhirat.
6. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nuzul al-Quran 1442H kepada seluruh umat Islam walau di mana jua berada. Semoga iktibar daripada peristiwa Nuzul Al-Quran dapat meningkat kecintaan terhadap Al Quran dan setiap saat menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup kita agar kita semua sentiasa berada di jalan yang benar. InsyaAllah.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.