Penarafan Pelaburan Aset Digital
Dunia menyaksikan perkembangan pesat pelaburan aset digital yang kini menguasai lebih 2.2 trilion pasaran modal. Kadar peningkatan yang memberangsangkan disokong oleh pengenalan teknologi baharu terus memacu sistem kewangan digital dengan penerbitan pelbagai jenis, platform dan fungsi aset digital. Pihak berkuasa kewangan seluruh dunia cuba menyediakan persekitaran perundangan dan wang digital alternatif. Dalam keghairahan ini, pelabur baharu perlu dilengkapi dengan pengetahuan lengkap agar tidak mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan risiko termasuk aspek pematuhan syariah.
Kelembapan ekonomi pasca-pandemik membuka ruang kepada aset digital yang umumnya lebih dikenali dengan mata wang kripto (cryptocurrency) tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Bermula dengan kertas putih sebelum ditawarkan melalui penawaran awalan (Initial Coin Offerings-ICO) hingga diniagakan di bursa pertukaran digital, rekod menunjukkan sebanyak 15,785 aset digital telah disenaraikan di 443 bursa digital dalam talian seluruh dunia.
Kini dimensi aset digital mula memperkenalkan kewangan tidak berpusat (decentralised finance-DeFi) dengan menggabungkan kontrak pintar (smart contract), realiti maya (virtual reality–VR), Non-Fungible Token (NFT) dan Metaverse. Aset yang dipelbagaikan lagi cirinya dengan berbagai jenis (Proof of Stake-PoS, Proof of Work-PoW), platform dan fungsi seperti altcoin, stablecoin dan token tawaran produk dan perkhidmatan digital berteknologi kan blockchain dan kriptografik. Dalam keghairahan ini, tidak kurang juga muncul aset ‘sampah’ dan scam yang hilang dalam ‘radar’ setelah selesai ICO mengaut berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat meninggalkan pelabur terpinga-pinga kerugian.
Prinsip melabur dalam aset digital yang tinggi kadar risiko-pulangan perlu menggunakan peruntukan wang yang sanggup berisiko kehilangan mutlak. Pelabur juga perlu mengkaji latar belakang dana aset digital, senarai kedudukan, nilai ekonomi, tokenomik, ekosistem teknologi, potensi, tujuan dan fungsi, serta memiliki kemampuan analisa teknikal dan bijak membuat agihan pelaburan merentasi pelbagai aset lain. Jumlah akaun pengikut di media sosial seperti Twitter juga memainkan peranan dalam memilih aset yang baik.
Sistem kewangan digital kini mendapat perhatian dunia. Selain dari beberapa buah negara membuat cubaan penggunaan mata wang digital sendiri atau menggunakan Bitcoin sebagai mata wang, pihak berkuasa kewangan seluruh dunia gigih membuat kajian untuk menawarkan mata wang rasmi, Central Bank Digital Currency (CBDC). Jika ditinjau dalam industri, Tether (USDT) dan stablecoin yang lain telah mengambil peranan dolar Amerika Syarikat digital bagi transaksi rentas sempadan terutamanya di bursa digital, dompet elektronik dan diterima di platform perniagaan dalam talian. Sebelum CBDC berjaya dilancarkan secara rasmi, aset digital akan terus sukar mendapat sokongan persekitaran perundangan, jika adapun tujuannya adalah untuk mengawal agar sistem kewangan sedia ada sentiasa stabil dan dipercayai.
Tidak dinafikan terdapat ramai pelabur yang menjadi kaya raya dan tidak kurang juga yang teraniaya. Selain tarikan melalui video di YouTube dan media sosial seperti Telegram, muncul pelabur baharu yang mencuba nasib sama ada melalui aplikasi tajaan atau menjadi pelabur senyap. Dihambat rasa takut ketinggalan, ramai terlupa risiko kemungkinan kerugian menanti mereka yang tiada pengetahuan asas. Melabur dengan wang perbelanjaan harian agar cepat digandakan tetapi tidak menyedari mereka mendedahkan diri kepada kemungkinan wang tersebut lenyap terus akibat kejatuhan mendadak harga pasaran.
Beberapa kes bunuh diri dilaporkan berkaitan mata wang kripto, masalah kewangan dan kesihatan mental. Pada tahun lepas di China, sepasang suami isteri terlibat dengan cubaan bunuh diri selepas suaminya mengalami kerugian US3 juta Dolar pelaburan Bitcoin, sebahagiannya wang milik ibu bapa isterinya. Terbaru pada Mac 2021 di Turki, kes bunuh diri selepas membunuh dua orang anak dan isteri kerana kehilangan pelaburan Bitcoin.
Baru-baru ini, ketika dibangkitkan di Parlimen, Timbalan Menteri Kewangan menegaskan bahawa aset digital seperti Bitcoin dan Ethereum tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan tertakluk kepada Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Digital Currencies (Sector 6) Anti-money Laundering Act AML/CFT).
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengambil inisiatif mengeluarkan garis panduan penawaran aset digital sebagai langkah inovatif bagi melindungi kepentingan pelabur dengan syarat ketat jika ingin menawarkannya. Selain mengelakkan risiko penipuan di peringkat ICO, garis panduan ini juga untuk memastikan penawarannya memenuhi syarat-syarat minimum seperti pendaftaran syarikat/badan, ketelusan pelaporan, kelangsungan dana dan berbagai lagi syarat penawaran aset digital.
Walaupun ada sebahagian ulama seperti Majlis Ulama Indonesia (MUI) menafikan keharusan muamalah aset digital ini, tetapi pendirian Malaysia urus niaganya diharuskan kerana menganggapnya sebagai bukan mata wang (rujuk nota Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bertarikh November 2018). Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis menganggap bahawa aset digital seperti Bitcoin mempunyai nilai tertentu dan harus diurusniagakan dengan cara yang dibenarkan (keputusan mesyuarat pada 6 Disember 2018).
Selain pengetahuan dan strategi pelaburan, aspek Syariah dalam pelaburan digital perlu dititikberatkan bagi memastikan pulangan daripada sumber yang halalan thoiyyiba. Pelabur perlu memastikan aset tersebut tidak terlibat dengan pembiayaan atau projek dalam industri yang tidak dibenarkan oleh syarak atau mengandungi unsur meragukan (syubhah), terlibat dengan perjudian, pembiayaan permainan dalam talian, perbankan berunsurkan riba atau pembiayaan lain yang tidak jelas. Sekiranya ada pihak mampu membuat kajian terperinci setiap aset digital, amat baik jika pengelasan dibuat dari sudut penarafan nilai pelaburan, tokenomik dan penarafan Syariah sama ada ia halal, syubhah atau haram.