Memberontak Bukan Cara Menyelesaikan Krisis
Ibarat menangguk di air keruh, krisis ekonomi dan kenaikan harga dijadikan kambing hitam kelompok serakah kuasa. Baru sahaja terlepas daripada pandemik, kini pintu darurat diketuk kelompok berkepentingan peribadi dengan menganjurkan demonstrasi dan kekecohan. Semua ini kononnya berpunca daripada polisi dan dasar kerajaan yang menekan. Memberontak tidak akan menyelesaikan masalah malah memburukkan lagi keadaan.
Sebarang keputusan dan dasar kerajaan diputuskan secara kolektif oleh pakar yang melihat dengan pandangan helang dalam menyeimbangkan faktor-faktor melibatkan pelbagai pihak dalam menangani sesuatu isu. Jika betul ada khilaf, lebih beradab ke meja rundingan tempat bertikam hujah. Mencetuskan api pemberontakan merupakan anasir tidak matang yang bakal menggugat lagi kestabilan. Namun, mereka yang rabun ekonomi sahaja akan terpengaruh dengan dakyah dangkal sebegini.
Krisis ekonomi dan kenaikan harga bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia. Pasaran saham, hartanah, kewangan, aset digital, komoditi dan barangan komersial teruk merudum. Faktor makro lain juga banyak menyumbang ketidakstabilan permintaan dan penawaran dalam pasaran seperti inflasi, rantaian pembekalan, kekurangan tenaga buruh, sekatan eksport negara pengeluar, ketegangan hubungan antarabangsa, bencana alam dan sebagainya.
India, Argentina, Algeria, Mesir, Indonesia dan Iran telah menghentikan eksport barangan makanan sebagai langkah berjaga-jaga untuk kegunaan dalaman negara mereka. Kadar pengangguran, kemiskinan dan kebuluran di sesetengah negara mulai membibit lebih buruk lagi sehingga terbelenggu krisis kemanusiaan seperti di Afghanistan akibat gempa. Ada juga negara yang terperangkap dengan penjajahan ekonomi sama ada dengan negara besar atau badan kewangan antarabangsa seperti yang dialami oleh Sri Langka, Djibouti, Niger, Laos dan Kemboja.
Kita saksikan beberapa negara yang memilih untuk tunjuk perasaan dan menggugat kerajaan menemui kebuntuan seperti yang terbaharu di Sri Lanka dan Venezuela. Lebih teruk lagi, akibat daripada kekecohan, banyak agenda ekonomi tergendala. Ada sebahagiannya lumpuh ekoran berlaku keganasan dan rusuhan serta sukar untuk dipulihkan. Tindakan beremosi kini menjadi satu halangan besar langkah pemulihan kerana mengetepikan kebijaksanaan dan toleransi sama sekali di saat kritikal sebegini. Demonstrasi bakal beranakkan konfrontasi, bukan jalan menyelesaikan krisis.
Di persada tempatan, selain inflasi dan kekurangan bekalan, terdapat juga aktiviti menyembunyikan barang dengan harapan dapat dijual pada harga tinggi dalam kalangan pengeluar dan pembelian panik oleh pengguna yang mencipta kejutan “artifisial” renjatan pembekalan barangan dalam rantaian ekonomi.
Peningkatan kos barangan import terus mendominasi kenaikan harga barangan pengguna apalagi apabila nilai tukaran wang yang terjejas teruk. Pengeluaran dan penawaran dalam negara agak lembap ditarik oleh kos pengeluaran yang semakin meningkat dan sebahagiannya tidak lagi mampu berada dalam industri dan terpaksa gulung tikar.
Laporan terkini tentang kekurangan barang makanan dan bahan mentah seperti bekalan ayam, minyak masak, gula dan bijirin asas (seperti beras) dan gandum bukan sahaja berlaku di Malaysia malah hampir seluruh dunia. Walaupun dalam keadaan tersepit, penghapusan permit import (AP) bahan makanan (gula, tepung, kubis dan sebagainya) oleh kerajaan merupakan satu langkah berani kerana ia membuka peluang kepada kemasukan lebih banyak bahan mentah dan makanan dari luar negara. Semoga tindakan ini tidak disalahgunakan dan dihalang kerenah birokrasi. Seluruh jentera penguatkuasaan dikerah menumpukan kepada kawalan harga seluruh negara bagi membendung keadaan menjadi lebih buruk.
Kalau sebut tentang inflasi, kadar 2.8 peratus (Mei 2022) di Malaysia masih terkawal berbanding negara lain. Walaupun begitu, dasar monetari negara bersiaga menaikkan kadar faedah semalaman (OPR) bagi mengawal kebanjiran wang dalam ekonomi. United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) mengalami masalah yang sama, dengan peningkatan inflasi masing-masing pada kadar 7.8% dan 8.8%. Turki telah lama terhimpit inflasi (dilaporkan kadar terbaru adalah 78.6 peratus) ditambah dengan kejatuhan ketara nilai mata wang Lira. Semua negara besar ini juga berhadapan dengan masalah kekurangan makanan dan bahan mentah utama akibat daripada renjatan rantaian pembekalan berpunca daripada peperangan dan sekatan perdagangan.
Penganalisis ekonomi menjangkakan bertitik tolak daripada kejutan pembukaan aktiviti ekonomi selepas pandemik, berlaku penguncupan ekonomi ketara di seluruh dunia akibat tidak seimbang permintaan dan penawaran serta krisis sumber makanan, bahan mentah dan peperangan. Ditambah pula, dengan jangkaan berlakunya cuaca panas kering fenomena “La Nina” sekitar suku ketiga tahun ini, Malaysia sudah pasti akan berada dalam cabaran getir pengeluaran barangan pertanian dalaman negara.
Cuaca panas ini akan meningkatkan kesan langsung terhadap kesihatan akibat daripada kekurangan air, jerebu, terdedah kepada terik haba dan pencemaran udara. Penularan penyakit berkaitan kulit, respiratori, batuk kering, strok haba dan habuk akan melanda negara. Menurut Kementerian Kesihatan, gelombang baharu COVID-19 akan meningkat sekitar masa yang sama. Kepada siapa kumpulan ini ingin memberontak, kerajaan lagi ke yang salah?
Selain mengelak menyumbang kepada ketegangan, rakyat perlu menanam semangat memperbaiki negara dalam segala aspek. Berdasarkan Indeks Keamanan Global 2022, masih banyak ruang untuk Malaysia perbaiki kedudukannya di tangga ke-23 dengan melihat ciri-ciri negara yang menduduki tangga teratas. Iceland yang menduduki tempat pertama sejak empat belas tahun yang lalu merupakan negara paling aman di dunia dengan kadar jenayah rendah, tiada pencemaran, sistem pendidikan dan kebajikan yang mapan, kadar gaji yang adil dan tiada ketegangan dalam semua kelas ekonomi. New Zealand yang menduduki tempat kedua sejak 2014 pula dikenali sebagai negara yang polisnya tidak membawa senjata, negara berpendapatan tinggi, peluang pekerjaan dan pendidikan yang banyak.
Kita akui bahawa semua pihak terkesan dengan krisis ekonomi ini. Waktu inilah pentingnya yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jika tidak tahu cara, jangan tambah reba. Memang mudah menuding jari terhadap orang lain. Apa yang penting jangan beremosi dan teruskan memberi sokongan ke arah pemulihan. Tumpuan terhadap golongan tidak bernasib baik melalui pengenalan kupon belian makanan atau bantuan kewangan perlu diteruskan. Semoga dengan akhlak dan adab bernegara yang baik dalam kalangan rakyat, negara dapat keluar dari kemelut ini dengan jayanya tanpa melalui kekecohan dan pertumpahan darah.