Memperbanyak Inspirasi Keharmonian Antara Kaum
Tinggal di kediaman bertingkat memiliki cabaran hubungan antara kaumnya yang tersendiri. Bagi penulis, salah satu cabarannya ialah apabila bertembung dengan jiran bukan Islam yang membawa anjing (mendukung atau melepaskan anjing itu berjalan sendiri) di dalam lif. Bagi orang Islam, perkara ini amat tidak digemari, malah sedaya-upaya mahu dielakkan kerana kita diajar bahawa anjing adalah najis mughallazah. Dalam konteks yang tertentu, sentuhan dengan najis mughallazah ini memerlukan kita mencuci tempat sentuhan itu dengan cara yang tertentu juga.
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam laman web beliau, di ruangan ‘Halal & Haram, Soal Jawab Agama’ bertarikh 4 April 2022 menulis, “Menurut mazhab Syafi‘i, anjing termasuk dalam kategori najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. … ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya dengan air bercampur tanah.” Proses penyucian najis mungallazah ini dinamakan sertu.
Menurut Dr Zulkifli lagi, ulama bersepakat bahawa bersentuhan dengan anjing — dalam keadaan kedua-dua anjing dan pemegang adalah kering — tidak memerlukan bahagian tubuh badan yang bersentuhan itu disertu. Namun, menurut mazhab Syafi‘i, seseorang yang tersentuh anjing dalam keadaan salah satunya basah – manusia atau anjing – hendaklah menyertu tempat yang disentuh itu bagi menghilang kenajisan tersebut.
Penulisan itu juga menyebut hal ini berdasarkan kepada kenyataan Imam al-Nawawi mengenai sentuhan dengan anjing bahawa apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota daripada anggota badannya yang bersih ketika dalam keadaan basah (atau lembap) salah satunya, maka wajib membasuh tempat sentuhan itu sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya dengan air bercampur tanah.
Dengan hukum seumpama ini, maka tidak hairanlah mengapa pertembungan dengan anjing di dalam lif amat-amat tidak digemari oleh orang Islam. Ya, badan kita mungkin kering namun, kita tidak pasti jika secara tiba-tiba anjing itu menerkam lalu menjilat muka atau menggigit pipi kita. Imaginasi penulis mungkin agak tinggi namun kita tidak boleh faham apa yang sedang difikirkan oleh manusia lain, inikan pula seekor anjing!
Setelah beberapa kali bertembung dengan penghuni bukan Islam yang membawa anjing di dalam lif, penulis – melalui kumpulan WhatsApp (WA) kejiranan – telah mengingatkan para penghuni bahawa mengikut undang-undang kecil kediaman bertingkat ini, penghuni tidak dibenarkan memiliki haiwan peliharaan. Maka, bisinglah mereka yang memelihara kucing dan anjing sehingga ada yang secara sinis bertanya, “Jadi, anda sarankan kami bunuh haiwan peliharaan kami?”
Penulis faham perasaan mereka. Anjing dan kucing juga adalah makhluk Allah. Jadi, walaupun ada undang-undang kecil yang melarang penghuni kediaman bertingkat daripada memiliki haiwan peliharaan, penulis menyarankan mereka membawa haiwan itu dengan menggunakan beg khas (pet carrier) jika mahu menggunakan lif.
Namun, tidak semua penghuni menerima baik saranan penulis. Sudahlah mereka melanggar peraturan untuk tidak memiliki haiwan peliharaan, saranan agar mereka menggunakan beg khas pun tidak diendahkan. Apabila kita tegur mereka di dalam lif, mereka marah kita balik.
Akhirnya, penulis terpaksa menjelaskan – dengan panjang lebar – kenapa orang Islam tidak suka bertembung dengan anjing di dalam lif, tentang keperluan sertu dan sebagainya. Mesej penulis dalam kumpulan WA kejiranan mendapat maklum balas yang baik dari beberapa orang penghuni. Ada yang mengucapkan terima kasih atas penjelasan yang diberikan; ada yang bersimpati dan mengajak penghuni bukan Islam untuk menjaga sensitiviti orang Islam; dan, pastinya ada majoriti yang senyap, yang penulis andaikan bersetuju,
Kini, dari pemerhatian penulis, ramai penghuni yang memiliki anjing menggunakan beg atau kereta sorong khas untuk membawa anjing mereka ketika dalam lif. Jika mereka hanya mendukung anjing mereka, mereka akan tunggu lif yang kosong sebelum membawa naik atau membawa turun anjing mereka. Yang penting, dengan adanya kefahaman, tingkahlaku telah berubah dan kehidupan masyarakat majmuk dapat diteruskan dalam keadaan harmoni.
Kisah tentang bagaimana kefahaman yang betul mampu mengubah sikap dan tingkahlaku masyarakat – yang akhirnya mendorong kepada keharmonian kaum – tidak terhad kepada kisah penulis ini sahaja. Baru-baru ini, tular kisah bagaimana seorang penumpang kapalterbang bukan Islam memberikan makanannya kepada penumpang Islam yang mahu berbuka puasa berbekalkan roti dan air mineral. Pastinya, setiap orang ada kisah mereka yang tersendiri berkaitan hal ini. Di masa yang sama, mungkin orang bukan Islam juga pernah melalui keadaan di mana orang Islam memahami keperluan agama dan budaya mereka dan memberi laluan untuk itu. Kisah-kisah seumpama ini perlu diketengahkan untuk meningkatkan lagi keharmonian dalam masyarakat majmuk.
Dengan tujuan untuk memperbanyakkan kisah-kisah seperti ini, pada 21 Februari 2024 yang lalu, IKIM telah melancarkan Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut IPT. Bertemakan “Harmoni”, pertandingan ini berkehendakkan agar karya-karya yang dipertandingkan mengenengahkan kisah-kisah positif kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang harmoni. Masih mengekalkan hadiah seperti tahun lalu, juara VIPKI Harmoni 2024 bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM15,000. Tarikh tutup pertandingan adalah pada 31 Julai 2024. Dengan tempoh pertandingan berbaki empat (4) bulan, masih ada banyak masa untuk para penuntut berkarya. Sila layari www.ikim.gov.my untuk keterangan lanjut.