Pertukaran Agama Kanak-Kanak – Perlunya Pendekatan Harmoni
PoIemik isu penukaran agama anak dan tuntutan hak penjagaan anak daripada pasangan yang asalnya berkahwin di bawah undang-undang sivil, dan kemudian salah satunya memeluk agama Islam masih tidak berkesudahan walaupun setelah pindaan dilakukan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).
Rang Undang-Undang (RUU) Akta 164 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2017 dan Dewan Negara pada 21 Ogos 2017. Secara umumnya, RUU ini mencadangkan bahawa hak untuk memfailkan petisyen perceraian haruslah diberikan kepada pasangan yang telah menukar agama di bawah subseksyen 51(1) Akta 164. Ini kerana sebelum ini, hak untuk berbuat demikian seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 164 hanya diberikan kepada pasangan yang kekal dalam agama asal.
Pada 10 Januari 2024, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail telah membenarkan rayuan ibu tunggal beragama Hindu yang dikenali sebagai Loh Siew Hong atau Loh berhubung pertukaran agama Islam oleh bekas suaminya ke atas anak perempuan kembarnya yang berumur 15 tahun dan seorang anak lelaki berumur 12 tahun.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 14 Mei 2024 lalu menolak permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis. Maka, keputusan sebulat suara itu menyaksikan agama ketiga-tiga kanak-kanak itu kekal sebagai Hindu sepertimana yang ditunjukkan dalam sijil kelahiran mereka.
Kes ini terjadi apabila bekas suami Loh, Muhammad Nagashwaran Muniandy yang memeluk agama Islam, kemudiannya telah mengIslamkan anak-anak mereka tanpa persetujuan Loh pada tahun 2020. Menurut hakim Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei 2023 yang menolak semakan kehakiman Loh untuk membatalkan penukaran agama anak-anak itu telah terkhilaf kerana tidak mempertimbangkan dua isu kritikal iaitu, Pertama; jika penukaran agama secara unilateral itu sah dan Kedua; sama ada enakmen negeri Perlis – iaitu Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri 2006 – membenarkan ibu atau bapa untuk mengislamkan anak adalah sah kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Hak penjagaan dua anak tersebut adalah diberikan kepada ibu kandungnya iaitu Loh. Yang menjadi isunya sebelum ini ialah apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan MAIPs untuk memberikan pendidikan asas Islam kepada tiga kanak-kanak mualaf yang diletakkan di bawah jagaan Loh selepas mahkamah mendapati permohonan MAIPs tidak mempunyai merit. Dalam sesi temu bual yang dilakukan, kanak-kanak terbabit juga menyatakan bahawa mereka ingin tinggal bersama ibu mereka dan tidak berminat untuk kekal sebagai penganut agama Islam.
Dalam kes Loh di atas, Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa badan kehakiman terikat dengan keputusan penting pada tahun 2018 yang melibatkan penukaran agama Islam secara sepihak ke atas anak-anak guru tadika, Indira Gandhi. Dalam keputusan mahkamah tertinggi negara itu iaitu Mahkamah Persekutuan, adalah diputuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu dan bapa diperlukan untuk penukaran agama anak bawah 18 tahun, mengikut perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 12(4) menyebut ‘ibu bapa atau penjaga’ hendaklah menentukan agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
Nampaknya sehingga kini, masih berlaku kemelut pengislaman anak pasangan berlainan agama dan kes terbaharu Loh ini telah mengesahkannya. Dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, isu penentuan agama dan hak penjagaan anak sering menjadi perbahasan apabila salah satu pihak yang perkahwinannya didaftarkan di bawah Akta 164 memeluk agama Islam. Pemelukan Islam oleh salah seorang pasangan ini menjadi asas kepada pembubaran perkahwinan. Bagi pihak yang beragama Islam, penentuan oleh Mahkamah Syariah manakala bagi pihak bukan Islam oleh Mahkamah Sivil. Isu yang terjadi ialah apabila salah satu pasangan daripada perkahwinan Sivil memeluk Islam, dan menukarkan agama anak-anaknya secara sepihak.
Keadaan menjadi lebih kompleks apabila wujud peruntukan yang berbeza antara negeri mengenai keperluan keizinan ibu dan/atau bapa dalam penukaran agama kanak-kanak bawah 18 tahun. Bagi negeri Selangor, keperluan persetujuan kedua ibu dan bapa adalah perlu dan bagi negeri Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan cukup dengan persetujuan salah satu dari ibu atau bapa.
Dalam undang-undang Islam pula, para fuqaha telah berijmak bahawa apabila kedua-dua ibu bapa memeluk agama Islam, secara otomatik agama kanak-kanak bawah umur juga adalah Islam. Permasalahan timbul apabila salah satu pihak yang memeluk agama Islam dan pihak yang satu lagi kekal sebagai bukan Islam membawa perbincangan yang menarik dalam perbahasan fiqh.
Para fuqaha telah berijmak bahawa agama seseorang kanak-kanak adalah mengikut ayahnya yang beragama Islam. Ini termasuk apabila bapanya memeluk agama Islam. Walau pun begitu, pandangan majoriti yang terdiri dari mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali berpendapat agama bagi kanak-kanak adalah mengikut pihak yang memeluk Islam tanpa mengira ibu atau bapa. Walau bagaimanapun, mengikut mazhab Maliki, agama seseorang kanak-kanak adalah mengikut bapanya sekira bapa yang memeluk agama Islam. Ini kerana identiti dan keturunan nasab adalah melalui bapa.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-87 pada 25 Jun 2009 memutuskan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur adalah mengikut Islam dan hak penjagaan anak tersebut hendaklah diletak di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam. Keputusan fatwa ini telah diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Pahang.
Oleh itu, sukacita penulis ingin mencadangkan empat pendekatan harmoni dalam menangani kes ini. Pertama; Dalam melaksanakan peruntukan pindaan Akta 164 (2017), penubuhan satu jawatankuasa dengan mengetengahkan proses mediasi dapat diusahakan. Pendekatan ini tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia boleh dibuat secara pentadbiran. Panel yang dilantik mestilah terdiri daripada pihak yang beragama Islam dan bukan Islam. Dengan adanya pihak ketiga dalam tribunal ini diharapkan ia dapat menyelesaikan kemelut ini. Kedua; Menubuhkan Mahkamah Keluarga Khas di bawah Mahkamah Sivil dengan penubuhan jawatankuasa khas yang ahli-ahlinya terdiri daripada mereka yang arif dalam kedua-dua bidang iaitu undang-undang sivil dan Syariah. Ketiga; Hakim Mahkamah Sivil hendaklah bersidang dengan hakim Mahkamah Syariah apabila kes mengenai undang-undang Islam dibangkitkan dalam Mahkamah Sivil. Keempat; Hakim Mahkamah Syariah boleh dipinjamkan ke Mahkamah Sivil apabila ada keperluan. Sedikit pindaan perlu dibuat kepada Perkara 122B dan 123 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Meskipun begitu, penulis dan semua pihak harus menunggu cadangan terbaik bagi merungkai kemelut ini oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN yang telah ditubuhkan melalui MKI.