Piagam Harmoni Malaysia Pelengkap Perlembagaan dan Rukun Negara
Tragedi rusuhan di United Kingdom dan Bangladesh ketika ini telah menimbulkan kekhawatiran global mengenai pentingnya menjaga keharmonian sosial. Peristiwa ini menjadi peringatan berharga bagi Malaysia yang terdiri dari Masyarakat pelbagai etnik dan agama untuk terus memperkuat perpaduan dan mencegah terjadinya sebarang insiden perkauman dan rusuhan keagamaan. IKIM mengambil inisiatif membangunkan Piagam Harmoni Malaysia sebagai pedoman penting dalam memupuk perpaduan dan mencegah terjadinya konflik yang sama di samping mengangkat Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara sebagai pemangkin negara bangsa berdaulat.
Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (Harmoni) yang bersidang pada 8 Ogos 2024 telah menerima cadangan Piagam Harmoni Malaysia sebagai landasan bagi masyarakat Malaysia untuk hidup bersama secara harmoni. Piagam ini menekankan nilai-nilai seperti saling menghormati, toleransi, dan kerjasama antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Tonggak kepada Piagam Harmoni ialah merawat punca pencetus konflik perkauman yang perlu dibanteras di peringkat lebih awal lagi. Oleh itu, dalam Piagam Harmoni Malaysia ini, digariskan perkara yang perlu dilakukan dan perkara yang tidak boleh dilakukan oleh semua masyarakat agar ia tidak menyumbang terjadinya perkara yang tidak diingini. Seandainya perkara-perkara sensitif dan berisiko dilakukan, dibimbangi kita berada di pertengahan gejala yang sukar untuk mengundur ke belakang atau dipulihkan seperti yang berlaku di United Kingdom dan Bangladesh.
Rusuhan yang berlakudi United Kingdom dan Bangladesh menunjukkan betapa rapuhnya kestabilan sosial yang hanya diterjah oleh tularan maklumat palsu atau asakan tularan tegang di media sosial. Hakikanya, ketidakpuasan ekonomi, diskriminasi dan polarisasi politik menjadi pemicu utama terjadinya konflik.
Di United Kingdom, punca tercetusnya rusuhan adalah disebabkan oleh maklumat palsu di media sosial berhubung dengan pembunuhan tiga remaja Perempuan di Southport di mana suspek yang pada awalnya dikatakan seorang Muslim (menggunakan nama Ali Al-Shakati di platform media sosial) rupanya seorang anak pendatang daripada Rwanda bernama Axel Muganwa Rundakubana. Status agamanya telah disalahtafsirkan oleh media sosial mengatakan bahawa penyerang/pembunuh merupakan seorang Muslim. Laporan palsu ini agak mengelirukan menularkan bahawa seseorang Muslim telah ditangkap kerana membunuh, sehingga tercetus rusuhan meruap dan masjid-masjid diserang, serta berlaku pertembungan di antara perusuh dan penguat kuasa undang-undang.
Sikap prejudis ras, agama dan kebangsaan berdasarkan maklumat tidak tepat ini kemudiannya telah memulakan rusuhan berbentuk keagamaan, kemudiannya apabila identitinya didedahkan, rusuhan dan protes menular kepada protes anti-pendatang. Hampir seluruh kota utama Britain merusuh termasuklah di Liverpool, Manchester, Bristol, Blackpool, Hull dan Belfast di Ireland. Kejadian ini dianggap yang paling buruk sejak sedekad yang lalu melibatkan kerosakan harta awam, bangunan masjid, kecederaan penguatkuasa undang-undang dan kelumpuhan aktiviti sosio-ekonomi di United Kingdom.
Kejadian rusuhan di UK juga menggambarkan kejayaan dakyah media Barat terhadap Islam sehingga menimbulkan Islamophobia dalam kalangan masyarakat yang boleh dianggap matang sehingga prejudis terhadap Islam. Ini satu pengajaran kepada negara maju bahawa kemajuan bukan terletak kepada pembangunan fizikal tetapi intelektual dan kerohanian. Jiwa yang kontang dari nilai murni akan mudah terarah ke kancah krisis, beralih dari rusuhan sentimen agama kepada ideologi seterusnya protes anti-pendatang. Kecelaruan dan kepincangan ini bukan sifat masyarakat madani yang kita inginkan tetapi gambaran sebuah komuniti yang pincang akhlak.
Sudah berapa banyak dan lamanya Islam ditohmah dan penganutnya membayar harga yang mahal air mata, darah dan tanah air tergadai akibat dakyah palsu sebegini. Begitu juga yang dilakukan oleh Israel terhadap penduduk Palestine, dengan mendakyahkan Hamas sebagai pengganas yang perlu dihukum dan dihujani dengan peluru berpandu dan drone pemusnah menjarah seluruh negara Palestine.
Manakala di Bangladesh pula, ketidakpuasan berpunca daripada sistem kouta khususnya pengambilan penjawat awam dalam negara. Ibarat retak menanti belah, suasana ketidakadilan, polarisasi politik, diskriminasi, ketempangan sosial, sebaran media massa dan sosial serta kenyataan pemerintah telah memburukkan lagi keadaan. Kesannya, ketenteraman awam, kerosakan harta benda, kecederaan dan nyawa juga terjejas teruk dalam tragedi ini. Manakala kesan jangka panjang pula akan melumpuhkan dan memperlahankan aktiviti ekonomi seterusnya mengancam kestabilan sosial dan politik.
Apatah lagi dalam era dominasi media sosial yang bebas tapis, elemen perpaduan dan keharmonian kaum perlu dirawat, dipupuk dan dipelihara sebelum ia terlambat dan melarat. Era digital dan alam siber kini mudah dipergunakan oleh golongan yang ingin mengambil kesempatan mencetus kekacauan, mengancam ketenteraman awam dan mengapikan hasutan. Sudahlah rata-rata masyarakat kini kecanduan media sosial, aspek emosi mudah mengatasi rasional.
Selain mendedahkan Masyarakat kepada maklumat palsu, hoaks dan tidak tepat, era ini menyaksikan gejala baru penderaan siber, gangguan emosi dan tekanan mental. Tidak kurang juga jenayah kecurian dan penjualan data peribadi, pencerobohan privasi dan kurangnya interaksi sosial alam nyata. Walaupun ramai menunding jari kepada teknologi sebagai agen perosak, namun perlu diingat bahawa manusialah yang bertanggungjawab membawa kerosakan itu. Sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Quran, mafhumnya; “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya kembali (insaf dan bertaubat)” (Ar-Rum; 41)
Oleh itu, Piagam Harmoni Malaysia mencadangkan beberapa langkah ke hadapan bagi merawat ketidakstabilan sosial di peringkat awal lagi dengan memasukkan kepentingan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan memurnikan wadah integrasi etnik dan kaum agar sentiasa adil, saksama dan seimbang. Dialog berkala dan interaksi boleh mendorong toleransi dan mempromosi perpaduan pelbagai kaum, etnik dan penganut agama. Kempen berkaitan kepentingan mengekalkan perpaduan perlu dilaksanakan secara holistik merentasi agensi dan strata sosial agar masyarakat dapat menikmati keharmonian dan kestabilan sosio-ekonomi secara adil dan saksama. Piagam Harmoni Malaysia merupakan aset penting dalam menjaga keharmonian negara.