Percaya Bomoh Ancam Akidah
Percaya kepada bomoh dan dukun bukan fenomena baru di Malaysia. Sebelum merdeka umat Islam sudah bergantung kepada kepercayaan syirik, tahayul, mistik dan tradisi kuno yang bertentangan dengan akidah Islam. Akibat kepada kepercayaan ini, berlaku peningkatan pelbagai kes yang mengancam maruah, harta benda, nyawa dan menjerumus kepada perbuatan jenayah. Kecelaruan pegangan ini perlu ditangani segera dari pelbagai aspek bagi mengelakkan kerosakan akidah dan kesannya yang makin parah.
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kes seorang pelajar Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera hingga mati oleh 18 orang tertuduh berpunca dari kepercayaan kepada tilikan seorang bomoh tentang kecurian sebuah komputer riba. Peristiwa ini mengingatkan kita kepada kes Dato Mokhtar bin Hashim & Anor v PP [1983] 2 MLJ 232 yang berakhir dengan pembunuhan kerana percaya kepada bomoh. Tragedi sebegini bukanlah kes terpencil kerana terdapat banyak laporan polis mengenai individu yang menjadi mangsa penipuan, penganiayaan, malah kematian akibat terpedaya dengan kata-kata bomoh, dukun dan pawang.
Islam menerima hakikat wujudnya makhluk halus seperti jin dan syaitan dan menganjurkan agar berjaga-jaga kerana unsur tidak baik ini akan cuba sedaya menyesatkan dengan tipu daya dan kelebihan-kelebihan yang memesongkan. Akidah Islam berlandaskan tauhid dan keutamaan ilmu menjernihkan pemikiran dengan menolak kebergantungan kepada sangkaan, ritual mistik, bisikan halus dan khabar ghaib yang tidak berasas dan palsu. Keyakinan dan keimanan dilandaskan dengan hujah naqli dan aqli yang rasional, logik dan melalui proses pemikiran yang eksperimental.
Pendidikan dalam kaedah membina keyakinan, pegangan dan kepercayaan melalui proses pemahaman hukum akal, adat dan syariat perlu ditekankan semula. Berpegang kepada dakwaan bomoh, dukun dan pawang yang mendapat maklumat dari punca sumber tipu daya (syaitan), tidak jelas, rekaan, kabur dan mengelirukan sebenarnya merupakan pendirian di atas premis pemikiran yang salah dan meragukan.
Kerangka kefahaman yang dibina dari premis yang salah dan pincang akan mengarah kepada kesimpulan yang tidak masuk akal dan menyalahi norma hukum tabi’ie. Keimanan dan kepercayaan adalah perkara pokok dalam agama, membentuk sarwa fikir seterusnya akhlak seorang Muslim.
Akibat kejahilan, sumber menyalahi akidah dan keyakinan inilah digunakan untuk percaya kepada menilik barang atau orang hilang, merawat dan membuang badi (kepercayaan kepada padah buruk dan malang). Bertitik tolak dari kepincangan pegangan akidah, orang yang percaya dan pengamal ritual cenderung melakukan perkara terlarang di dalam Islam seperti bersangka-sangka, menuduh, mengambil kesempatan, mengaut habuan harta dan nafsu serakah melalui penipuan serta melakukan jenayah dengan memukau, memperkosa, mencemar maruah, menyeksa dan membunuh.
Al-Quran dan Sunnah melarang perbuatan syirik yang bertentangan dengan tauhid dan bergantung kepada bantuan syaitan, dalam Surah Al-Jin; 6, mafhumnya; “Dan bahawa ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki dari kalangan jin, lalu jin-jin itu menambah mereka dosa dan kesalahan.” Amalan ini disebut secara jelas dalam sebuah hadis di mana Rasulullah S.A.W melarang berjumpa dan meminta sesuatu dari tukang tilik sehingga solatnya tidak diterima selama 40 hari (HR Muslim).
Sebagai langkah menutup pintu kerosakan, maka tindakan tegas perlu diambil untuk membendung amalan dan ritual perbomohan sama ada dari aspek penguatkuasaan atau pencegahan. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan. Seksyen 415 dan 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi tindakan curang kesalahan menipu dan memperdayakan boleh digunakan untuk mencegah para bomoh dari terus menipu mangsa. Hukuman dan takzir yang lebih berat perlu dipertimbangkan bagi kesalahan yang melibatkan penipuan dan kecederaan.
Para asatizah perlu memberi tumpuan khusus aspek akidah dan menghuraikan berkaitan kepercayaan terhadap perbomohan. Filem seram berunsurkan cerita tahayul, syirik dan mistik perlu ditapis dari memasuki industri perfileman dan penyiaran kerana bukan sahaja mempengaruhi pemikiran malah menjejaskan rasional dan perkembangan mental yang madani. Agensi agama di peringkat negeri dan persekutuan perlu meningkatkan usaha dakwah dan pendidikan kepada masyarakat tentang bahaya kepercayaan kepada bomoh dan dukun di media prima atau media sosial. Program-program kesedaran perlu dipergiatkan, terutamanya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai sarang kegiatan bomoh dan dukun.
Kepercayaan kepada bomoh dan dukun jelas menjadi ancaman kepada akidah dan kesejahteraan umat Islam. Marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan menjauhi segala bentuk kesyirikan agar terselamat dari tipu daya syaitan yang kini telah menyelinap dan mempergunakan dan memperdaya akal fikir manusia demi keberuntungan nafsu dan harta. Kita perlu berganding bahu untuk mengenal pasti, mengikis ritual kuno yang tiada asas, membanteras amalan khurafat ini dan seterusnya meluruskan kembali pegangan umat Islam.