Ajaran Sesat: Mantapkan dengan Ilmu
Negara kita dikejutkan dengan kumpulan Global Ikhwan Holdings Sdn.Bhd (GISBH) yang telah menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan sehingga dikatakan mengeksploitasi kanak-kanak, para wanita termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghidap autisme. Kumpulan ini dikatakan adalah saki baki dan serpihan daripada kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam ini bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik. Semenjak diharamkan itu, kumpulan ini tidak lagi kedengaran tetapi sebaliknya ahli-ahlinya yang ramai itu dikatakan bergerak sendirian dengan nama-nama kumpulan yang pelbagai dan bersatu kembali dengan membawa fikrah yang sama seperti al-Arqam. Antara yang terbesar ialah GISBH ini.
Apa yang menarik perhatian ialah pergerakan ini telah bergerak dengan agak lama sejak 2010 lagi sehingga menjadi sebuah konglomerat yang dikatakan mempunyai aset bernilai RM325 di seluruh dunia dengan 415 rangkaian perniagaannya melibatkan 20 buah negara di Asia, Eropah, Africa dan Australasia dan mampu menjana pendapatan sekitar RM187 juta setahun. Mempunyai seramai 5,346 pekerja di bawah 25 buah anak syarikat atau subsidari dengan asetnya meliputi hotel di Sarajevo, Turkiye, hartanah di Perth seluar 48.56ha, dan restoran di Arab Saudi, London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah.
Pergerakan ini juga bergerak dengan begitu licik dan kerap terlepas daripada “radar” pihak berkuasa samada agensi agama negeri-negeri mahupun agensi lain termasuk terlepas daripada membayar cukai perniagaan, seperti mana yang pernah dilapurkan dalam akhbar baru-baru ini.
Sebelum itu, walaupun ramai dalam kalangan masyarakat mungkin ada yang menyedari bahawa pergerakan ini adalah saki baki daripada kumpulan al-Arqam yang pernah diharamkan dahulu, namun mereka difahamkan seolah-olah ahli-ahli ini adalah dalam kalangan mereka yang sudah insaf dan bertaubat. Namun, apabila timbul pelbagai pendedahan yang dibuat baru-baru ini oleh pihak berkuasa, ternyata kumpulan ini masih setia dan berpegang teguh dengan fahaman al-Arqam yang diharamkan dahulu, hanya berubah dari segi penampilan luaran semata-mata. Apapun, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat hingga ke akar umbi berhubung dengan GISB ini. Penulis hanya sekadar ini mengajak pembaca untuk merenung seketika berhubung dengan ajaran sesat seperti al-Arqam ini.
Ada yang berkata kepada penulis: “tak sangka di Malaysia ini wujud cult (ajaran sesat) macam ini mirip negara Barat”. Ajaran sesat di negara kita ini bukanlah perkara baharu selain al-Arqam, kita ada Ayah Pin dengan Kerajaan Langitnya, Ajaran Hasan Anak Rimau, Ajaran Qadiani bahkan kita juga pernah ada yang mengaku sebagai “Rasul Melayu”. Pelbagai ajaran sesat silih berganti muncul di negara kita sejak kebelakangan ini bahkan termasuk juga akhir-akhir ini seperti Ajaran sesat Suhaini Bin Mohammad atau ‘Si Hulk’, dan Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) yang banyak disebarkan dalam talian pada masa ini. Sehingga ada ajaran yang kesesatannya boleh hingga ke peringkat menyamakan Nabi Muhammad itu Allah, dan begitulah sebaliknya.
Apa yang menyedihkan kita ialah apa jua ajaran sesat yang muncul, pasti akan ada orang yang bersedia menjadi pengikutnya walaupun menjadi pengikut kepada orang yang mengaku sebagai “Rasul Melayu” yang terang-terang sesat, tanpa perlu kepada ilmu pengetahuan yang tinggi untuk menilainya.
Kenapa sebegitu mudah tertipu segelintir daripada masyarakat kita pada hari ini sehingga sanggup diperbodohkan oleh pengasas-pengasas ajaran sesat ini dan membiarkan diri mereka dieksploitasi? Ia tiada lain disebabkan oleh kejahilan sebahagian masyarakat kita ini terhadap asas-asas aqidah agama Islam yang sebenar. Kejahilan ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya:
- Masyarakat kita malas membaca bahan ilmiah dan berkualiti. Daripada rekod World Culture Score Index (WCSI), rakyat Malaysia hanya membaca buku kurang 3 jam seminggu. Hal ini agak mengecewakan iaitu 15 hingga 20 buku setahun berbanding India 10 jam, Thailand dan China antara 8 – 9 jam. Kajian terbaru Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia hanya membaca 20 buku setahun. Sedikit peningkatan daripada rekod 2014 iaitu 15 buku setahun. Walaupun mereka membaca, tetapi gemar membaca bahan media sosial dan bahan-bahan ringan dan tidak bahan-bahan ilmiah berat yang mampu membentuk tasawwur islam yang sebenar. Ironinya, Malaysia berada di antara negara yang berbelanja buku tertinggi di dunia di mana kajian Picodi pada Mac 2019 menyatakan bahawa 76 peratus rakyat Malaysia membeli sekurang-kurangnya satu buku sepanjang tahun lalu. Ini meletakkan Malaysia di atas skala 41 negara, di tempat keenam, di atas negara jiran Singapura, Indonesia, dan Filipina, tetapi di bawah Thailand.
- Tidak gemar menghadiri majlis-majlis ilmu. Program majlis-majlis ilmu dihadiri oleh kalangan mereka yang sudah berusia, pencen dan tua-tua belaka sedangkan orang-orang muda lebih gemar menghadiri program-program hiburan, konsert, anime, clubbing yang melalaikan.
- Tidak memiliki asas aqidah Ahlul Sunnah wal Jamaah yang kukuh. Lanjutan daripada kurangnya budaya membaca ini dalam kalangan masyarakat kita, asas aqidah mereka juga lemah. Negara kita adalah sebuah negara yang bermanhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dan di setengah negeri di Malaysia ini diperincikan lagi dalam Undang-Undang Tubuh Negeri sebagai negeri yang bermanhaj Asha’irah sebagai mazhab aqidahnya dan Shafi’i sebagai mazhab fekahnya. Apabila masyarakat kita sendiri tidak mengenali manhaj pegangan mereka sendiri, maka dengan mudah mereka menjadi sasaran penipuan oleh pendakyah-pendakyah yang memiliki sedikit kelebihan ilmu berbanding diri mereka. Ada yang menyeru kepada ajaran sesat, ada juga yang menyeru kepada ajaran yang tidak selari dengan amalan masyarakat di negara ini yang bermanhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah.
Sehubungan itu, sewajarnya semua pihak khususnya ibu bapa dan juga pihak kerajaan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menyuburkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak kita dan masyarakat kita ini supaya mereka mampu menghadapi apa jua cabaran pemikiran yang datang untuk merosakkan pegangan mereka yang tidak selari dengan manhaj Ahlul Sunnah wal Jamaah. Begitu juga mengambil tindakan yang tegas terhadap golongan pendakyah samada mereka yang sesat ataupun ajaran yang tidak selari dengan amalan masyarakat (‘urf) setempat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan perpecahan disebabkan faham-faham yang dibawa oleh golongan ini.