Malaysia, Peradaban Islam, dan Dunia Multipolar
Perjanjian Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China demi Masa Depan Bersama baru-baru ini sempena lawatan Perdana Menteri Republik Rakyat China berpotensi menunjukkan masa depan yang lebih cerah bukan sahaja antara kedua-dua negara ini tetapi secara simbolik, antara dua Peradaban—Cina dan Peradaban Islam. Malah, Kenyataan Bersama yang dikeluarkan oleh Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri Malaysia) pada 20 Jun 2024 menunjukkan Negara China bersetuju untuk memperdalami pertukaran dan pembelajaran bersama antara Peradaban Cina dan Peradaban Islam yang diwakili Malaysia.
Pada masa sama, dalam bidang hubungan antarabangsa masakini, para sarjana semasa telah memerhatikan suatu lonjakan geopolitik peradaban (civilizational geopolitics) terutamanya di kalangan negara bukan Barat—sebagai penentangan positif terhadap hegemoni atau pengaruh dominan pandangan alam atau perspektif pemikiran Barat.
Geopolitik Peradaban dalam konteks kurun ke-21 ini banyak dipelopori oleh negara-negara besar seperti Rusia dan China yang mengelar diri mereka sebagai Negara-Peradaban (Civilization-State)—bukan sekadar Negara Bangsa (Nation-State), dan menganjurkan aturan dunia beralih kepada Dunia Berbilang Kutub (Multipolar World Order)—bukan lagi Dunia Satu Kutub (Unipolar World Order) yang dikuasai negara-negara bercirikan Peradaban Barat.
Dalam dunia Islam, terdapat suatu kesedaran di kalangan sejumlah golongan terpelajar tentang hakikat Peradaban Islam—bahawa ia bukan sekadar fenomena sejarah tetapi suatu hakikat yang masih hidup dengan wawasan yang berbeza daripada wawasan sekular-Barat tentang pemerintahan, masyarakat, ekonomi, pendidikan, kesenian, dan kehidupan secara keseluruhan.
Peradaban Islam ialah “sebuah peradaban yang muncul di antara kepelbagaian budaya umat Islam di dunia sebagai hasil daripada penyerapan unsur-unsur asas agama Islam… Ia adalah sebuah peradaban yang hidup…,” seperti yang ditakrifkan dengan jelas oleh Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam karyanya Historical Fact and Fiction (UTM, 2010).
Walaupun Peradaban Islam merupakan kuasa keilmuan, kebudayaan, ekonomi antarabangsa, dan geopolitik global selama beberapa ratus tahun sebelum zaman penjajahan, usaha untuk mengembalikannya pada tempat yang wajar di arena antarabangsa masih tidak diperjuangkan oleh ramai pemimpin di dunia Islam yang telah hilang kesedaran kesatuan umat oleh kerana pengaruh sekularisasi akal fikiran.
Namun, penyokong peralihan Dunia Berbilang Kutub (Multipolar World Order) dikalangan non-Muslim pengiktiraf kewujudan Peradaban Islam dan mengalu-alukan kebangkitannya. Sebagai contoh, ahli fikir terkemuka Rusia dalam bidang geopolitik dan hal ehwal antarabangsa, Alexandr Dugin, mengiktiraf kedudukan Peradaban Islam di samping beberapa peradaban lain yang mesti diiktiraf jika dunia ingin beralih sepenuhnya daripada dominasi Dunia Unipolar (Unipolar World Order), khususnya kuasa-kuasa Barat termasuk golongan elit 1% terkaya didunia yang memimpin syarikat-syarikat terbesar dunia.
Pada 20 Julai 2023, António Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), turut dilaporkan mengakui peralihan yang sedang berlaku dalam medan geopolitik kepada Dunia Berbilang Kutub dengan menyatakan: “Tempoh pasca Perang Dingin telah berakhir, dan kami sedang menuju ke arah aturan global baharu dan dunia berbilang kutub (“The post-Cold War period is over, and we are moving towards a new global order and a multipolar world,”).”
Wawasan Dunia Berbilang Kutub ini, di mana pelbagai peradaban atau ketamadunan saling mengiktiraf dan mengakui kedudukan bersama dan bekerjasama di atas landasan yang sama, menawarkan peluang untuk kerangka pemikiran Peradaban Islam menyumbang kepada cabaran dan wacana global secara lebih bermakna dan berkesan.
Pengiktirafan dan pengakuan yang sewajarnya terhadap Islam sebagai sebuah peradaban atau ketamadunan dalam sesebuah negara semestinya akan membayangkan bahawa wawasan untuk mengatur kehidupan itu akan dipandu oleh tradisi keilmuan dan keruhanian tamadun tersebut.
Memandangkan Tamadun Islam adalah sebuah tamadun yang menganggap suatu hikmah dari mana-mana peradaban itu sebagai kepunyaan mukmin jua (seperti yang disarankan oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam), maka dalam konteks Malaysia, rakyatnya berpeluang untuk mendapat manfaat daripada kebijaksanaan dan hikmat-hikmat tentang tamadun besar Asia, serta apa sahaja yang terpuji daripada tamadun Barat.
Titik rujukan pentadbiran dan kemajuan sesebuah negara—jika ia kembali kepada akar peradaban atau tamadun mereka—ialah tidak semestinya bergantung pada badan antarabangsa, mahupun perunding asing. Sebaliknya titik rujukan sebuah negara yang sedar tentang hubungannya dengan sebuah peradaban adalah pakar yang mengenali hakikat peradaban Islam, khazanah kebijaksanaan yang kaya yang terkandung dalam peradaban itu, serta kebijaksanaan daripada peradaban lain.
Agenda kebangkitan peradaban-peradaban besar di dunia yang kita lihat hari ini bukanlah sekadar suatu percaturan geopolitik; ia adalah suatu keperluan mendesak dalam konteks sistem antarabangsa yang mengalami krisis terbesar dalam sejarah manusia moden. Ia adalah suatu usaha yang perlu untuk membina semula dunia yang telah hilang makna-diri dan arahnya.
Oleh itu, dalam konteks global ini, pemimpin Muslim pelbagai bidang mesti menyalakan semula komitmen kita kepada kefahaman yang lebih komprehensif tentang hakikat Peradaban Islam. Ahli diplomat, pegawai kerajaan, dan Naib Canselor Universiti kita harus mempunyai pengetahuan yang dengan betul tentang hakikat Peradaban Islam, Asia, Afrika, Latin, Eurasia dan Barat – tentang kekuatan satu sama lain dari sudut pandangan yang betul.
Dalam konteks ini juga, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan pasukan akademik serta pasukan media tv dan radio—disamping pusat pengajian tinggi yang berfikiran sama—boleh membantu Kerajaan Malaysia dalam memberi pencerahan kepada individu-individu strategik dalam negara, serta barisan pemimpin masa depan negara dari pelbagai sektor. Lebih wajar lagi ialah untuk kementerian-kementerian yang berkaitan dalam kerajaan untuk merujuk kepada institusi seperti IKIM sebagai badan pemikir dan penasihat peradaban dan ketamadunan (IKIM bukan sekadar stesen radio yang sememangnya memberi inspirasi Islami!), untuk mengambil manfaat dari hikmat-hikmat tamadun Islam demi mengisi apa-apa kelompongan ilmu pengetahuan.
Dengan mempamerkan bagaimana Peradaban atau Tamadun Islam boleh menjadi sebahagian daripada usaha menawarkan penyelesaian kepada cabaran global, Malaysia boleh menjadi salah satu wakil bagi pihak dunia Islam dari segi kepimpinan pemikiran (thought leadership). Apabila Malaysia dan negara-negara Muslim lain berdiri bersama sebagai sebuah Peradaban, dan apabila kita ada sejumlah bijak pandai dan ahli fikir yang mempunyai persediaan ilmiah untuk menghadapi sebarang cabaran dari peradaban lain, maka kita tidak perlu bimbang tentang penjajahan bentuk baharu dari mana-mana kuasa-kuasa besar lain – selagi mana para bijak pandai dan ahli fikir yang layak ini diberi ruang untuk menjalankan tugasnya secara berkesan. Wallahua’lam.