Kecerdasan Buatan (AI) Kebimbangan oleh Bapa AI
Dalam era digital yang semakin pesat, kecerdasan buatan (AI) telah menjadi topik hangat yang menarik perhatian pelbagai pihak termasuk masyarakat umum. Teknologi ini menjanjikan revolusi besar dalam pelbagai sektor namun ia juga menimbulkan kebimbangan. Salah satu isu utama yang membimbangkan adalah kemungkinan AI menggantikan manusia dalam kerja-kerja yang berulang repetitive. Inisekali gus menjejaskan peluang pekerjaan bagi golongan pekerja biasa. Sehubungan dengan itu juga, baru-baru ini heboh di media sosial bahawa TikTok telah mengurangkan sebahagian besar pekerja dan menggantikannya dengan AI.
Kecerdasan buatan dan automasi dijangka menggantikan pekerjaan berulang yang tidak memerlukan kemahiran kreatif atau analisis yang kompleks. Antara pekerjaan yang berisiko tinggi untuk diambil alih oleh AI termasuk pekerjaan seperti berikut:
Pekerjaan di kilang seperti operator mesin sering kali melibatkan tugas-tugas rutin yang berulang seperti mengendalikan mesin pengeluaran, memantau parameter produk dan melakukan pengiraan asas. Sistem automasi dan robotik kini mampu menjalankan fungsi ini dengan lebih pantas dan tepat sekaligus menjadikan penglibatan manusia kurang diperlukan.
Dalam industri pembuatan misalnya, banyak kerja seperti pemasangan komponen atau penyeliaan barangan sudah mula digantikan oleh lengan robotik yang dikendalikan oleh AI. Ini mengurangkan keperluan pekerja manusia untuk melakukan tugas-tugas fizikal yang membosankan dan berulang.
Dalam sektor peruncitan pula, penggunaan mesin layan diri dan kios pembayaran automatik semakin meluas. Ini membolehkan pelanggan membeli barangan tanpa perlu berurusan dengan juruwang. AI juga mempermudahkan proses inventori, ramalan jualan dan analisis pelanggan yang biasanya dilakukan oleh manusia.
Chatbot berasaskan AI dan sistem panggilan automatik kini digunakan dalam pelbagai sektor untuk menangani pertanyaan aduan dan pertanyaan pelanggan. Pekerjaan ini yang dahulunya dijalankan oleh pekerja manusia semakin ditangani oleh teknologi AI yang mampu memberikan maklum balas dengan cepat dan cekap.
Selain daripada menggantikan pekerjaan di sektor perindustrian dan perkhidmatan, AI juga telah memasuki ruang domestik. Baru-baru ini robot manusia humanoid yang dihasilkan oleh Tesla, dikenali sebagai Optimus. Robot ini direka untuk membantu tugas-tugas harian di rumah dan menjadikan kehidupan lebih mudah serta selesa bagi pengguna.
Robot ini mampu melakukan tugasan seperti mengemas rumah, mengangkat barang-barang berat dan menguruskan peralatan rumah. Ini membantu mengurangkan bebanan kerja fizikal bagi penghuni rumah terutamanya golongan warga emas atau orang yang kurang upaya. Robot ini juga dilengkapi dengan kecerdasan buatan yang mampu memahami arahan suara dan belajar dari corak rutin pengguna. Sebagai contoh, ia boleh membantu menyediakan makanan ringan, menyusun jadual harian atau memberikan peringatan mengenai janji temu.
Robot ini juga boleh diprogramkan untuk memantau kanak-kanak atau haiwan peliharaan ketika pemiliknya sibuk. Ini memberikan lebih keselamatan dan keselesaan kepada keluarga yang mempunyai gaya hidup sibuk.
Untuk menghadapi kebimbangan mengenai kehilangan pekerjaan akibat automasi dan AI, beberapa langkah boleh dipertimbangkan.
Latihan Semula (Reskilling) dan Peningkatan Kemahiran (Upskilling). Kerajaan dan majikan perlu menyediakan peluang latihan semula kepada pekerja yang terjejas oleh automasi dan memberi mereka kemahiran baru yang diperlukan dalam ekonomi digital. Bidang seperti pengurusan AI, data sains dan teknologi maklumat mungkin dapat memberi peluang baru kepada pekerja.
Pendekatan Teknologi Bertanggungjawab. Syarikat-syarikat teknologi perlu mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab dalam membangunkan AI bagi memastikan teknologi ini digunakan untuk meningkatkan kehidupan manusia dan bukan menggantikan sepenuhnya peranan mereka.
Dasar Sokongan Sosial. Kerajaan harus memperkenalkan dasar-dasar seperti pendapatan asas sejagat (universal basic income) sebagai jaminan sosial kepada mereka yang kehilangan pekerjaan akibat automasi.
Peraturan dan Etika AI. Perlunya peraturan yang ketat dan rangka kerja etika untuk mengawal penggunaan AI supaya ia tidak melampaui batas dan menjadi ancaman kepada manusia.
Namun, di sebalik kemajuan AI ini individu terkemuka menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan AI ialah Geoffrey Hinton, yang dikenali sebagai “Bapa AI”. Hinton, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi pembelajaran mesin (machine learning) baru-baru ini telah menyuarakan kebimbangan mengenai potensi dan risiko AI. Beliau memberi amaran bahawa AI mungkin akan berkembang ke tahap di mana ia sukar dikawal dan akhirnya mampu melampaui keupayaan manusia dalam pelbagai aspek termasuk dalam membuat keputusan penting. Kebimbangan ini merangkumi potensi AI digunakan dengan cara yang salah seperti dalam bidang ketenteraan serta kemungkinan AI menjadi lebih cekap dan pintar daripada penciptanya sendiri yang boleh menimbulkan ancaman besar kepada masyarakat.
Jika dilihat dari perspektif Islam pula, teknologi dilihat sebagai alat yang boleh digunakan untuk kebaikan atau keburukan bergantung kepada niat dan cara ia dimanfaatkan. Al-Quran menekankan pentingnya kebijaksanaan dalam menggunakan sumber alam dan ilmu pengetahuan. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 31: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Ia berfirman “Terangkanlah kepada Ku nama benda-benda ini semua, jika kamu golongan yang benar”
Dalam konteks AI dan teknologi, umat Islam digalakkan untuk terus menuntut ilmu dan menggunakan teknologi dengan niat yang baik untuk kesejahteraan manusia.
Kecerdasan buatan sememangnya membuka peluang besar dalam meningkatkan kehidupan manusia tetapi ia juga membawa kebimbangan yang serius terutamanya dalam aspek pekerjaan dan kesejahteraan sosial. Teknologi harus digunakan dengan bijaksana dan bertanggungjawab selaras dengan ajaran Islam yang menekankan kebijaksanaan, keadilan dan kemajuan yang beretika. Dalam masa yang sama, pendidikan dan latihan semula pekerja adalah langkah penting untuk mengimbangi kesan teknologi terhadap ekonomi dan masyarakat
Penulis :
Dr. Nor Azaruddin Husni bin Hj Nuruddin, Felo Kanan/Pengarah dan
En. Nur Muhammad Azim bin Norazizi, Pegawai Penyelidik
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS)