Pentingnya Perancangan Dan Pengurusan Harta Semasa Hidup
Kelangsungan hidup manusia mempunyai perkaitan dengan kitaran melibatkan harta. Kebiasaannya manusia akan mencari wang (pendapatan) untuk menjalani kehidupan dengan lancar melalui upah harian, gaji bulanan, komisien dam seumpamanya. Pencarian atau penghasilan pendapatan biasanya akan disertai dengan pembelian barang atau aset seperti rumah kediaman, premis, mesin tertentu dan kenderaan bagi menambahkan lagi kelancaran hidup seseorang.
Pembelian barang-barang atau aset ini secara tidak langsung merupakan pengumpulan harta oleh pemiliknya. Pada tahap seterusnya seseorang akan membuat tabungan atau simpanan yang akan digunakan pada masa kecemasan, atau kegunaan semasa hari tua. Situasi ini merupakan kelaziman yang berlaku pada kehidupan manusia tanpa menafikan terdapatnya kalangan yang kurang bernasib baik disebabkan faktor-faktor seperti sakit dan kecacatan yang mengurangkan keupayaan seseorang. Ada juga individu (dan keluarganya) yang mempunyai keperluan mengatasi pendapatan. Selain itu sikap boros serta tidak mempunyai kesedaran mengenai manfaat menyimpan juga mengakibatkan seseorang gagal membuat simpanan walaupun memiliki pendapatan berkala yang selesa.
Sehubungan dengan perkara ini adalah amat beruntung bagi seseorang yang memiliki harta mempunyai kesedaran untuk merancang dan mengurus harta masing-masing ketika masih hidup. Pemilik harta perlu memiliki ilmu yang berkaitan supaya perancangan dan pengurusan harta berlaku secara berkesan. Antara perkara yang perlu diketahui oleh pemilik harta ialah nilai-nilai Islam dalam pengurusan harta; dan kepelbagaian bentuk keluarga serta memahami tujuan mengenal pasti maklumat waris atau ahli keluarga. Hal yang demikian adalah kerana ada keluarga yang diasaskan dengan hubungan nasab, dan terdapat juga keluarga yang tidak menjadikan nasab sebagai asasnya.
Sehubungan dengan hal ini, perancangan dan pengurusan harta bukanlah sekadar memindah atau membuat turun milik daripada pemilik harta kepada penerima baharu menggunakan instrumen-instrumen seperti hibah, wasiat dan wakaf, tetapi perlu dimulai dengan pengetahuan dan kefahaman hal-hal yang bersangkutan dengan harta itu sendiri. “Harta” bukanlah sekadar barang-barang berharga atau aset yang bernilai tinggi, tetapi ia sebenarnya merujuk pada setiap perkara yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Di sinilah dapat dilihat bahawa betapa agama Islam merupakan agama yang amat teliti dan menggesa setiap Muslim untuk memberi perhatian terhadap setiap barang yang dimiliki.
Selanjutnya, tiada seorang pun manusia yang tahu bila tarikh kematiannya atau masa kepulangannya ke alam barzakh. Kita juga tidak akan menyangka sekiranya berlaku kejadian yang boleh mengurangkan keupayaan kita sebagai orang yang memiliki tubuh badan yang sihat, termasuklah dari aspek mental dan kewarasan fikiran. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Gunakan lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa mudamu sebelum masa tuamu; masa sihatmu sebelum masa sakitmu; masa kayamu sebelum masa miskinmu; masa lapangmu sebelum masa sempitmu; dan masa hidupmu sebelum masa matimu.”
Oleh yang demikian, setiap pemilik harta boleh mula merancang harta mereka agar penyerahan harta yang dimiliki kepada waris, kerabat atau pihak-pihak lain dapat dibuat selepas kematiannya seperti menggunakan instrumen hibah bersyarat atau wasiat. Tindakan sebegini adalah lebih efisien dan hasilnya lebih berkesan, dan dapat mengelakkan pelbagai komplikasi jika harta tidak diurus serta dirancang hingga berlaku kematian pemilik harta.
Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pemilik harta adalah dengan menyenaraikan harta yang dimiliki. Kemudian, mereka harus melakukan saringan terhadap harta mengikut tanggungjawab yang perlu dilaksanakan; pemberian nafkah kepada waris yang berhak; urusan jual beli yang masih berjalan; atau pegangan amanah (sekiranya individu tersebut menjadi pemegang amanah terhadap harta tertentu).
Perancangan dan pengurusan harta boleh dilakukan mengikut keinginan, kehendak atau permintaan seseorang berdasarkan instrumen yang terdapat dalam hukum syarak. Seterusnya tindakan pengagihan boleh dilakukan menurut prosedur undang-undang dan penyediaan dokumentasi bagi mengelakkan sebarang pertikaian berlaku pada kemudian hari. Dokumen yang telah selesai haruslah boleh dicapai oleh penerima atau pihak berkepentingan agar urusan pengagihan dapat dilakukan dengan lancar. Proses perancangan harta akan selesai selepas semua proses ini dilakukan.
Dokumentasi perlulah dibuat secara berhati-hati. Walaupun dokumentasi boleh disediakan secara sendirian, mendapatkan nasihat daripada pihak yang bertauliah dan profesional adalah jalan yang paling selamat. Pernah terdapat situasi satu dokumen wasiat disediakan untuk seorang pemilik harta dengan mencampur-adukkan instrumen hibah dengan wasiat. Natijahnya pengagihan harta sebagaimana yang dihasratkan oleh pemilik harta tidak dapat dilaksanakan apabila beliau meninggal dunia, kerana dokumen tersebut tidak menepati hukum syarak dan tidak dapat disahkan. Dokumentasi terbaik adalah apabila ia mendapat pengesahan daripada pihak berautoriti seperti mahkamah syariah.
Sebagai rumusan, harta ialah kurniaan daripada Allah SWT kepada manusia sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan ketika di akhirat nanti. Harta yang dimiliki haruslah dimanfaatkan dengan kaedah yang diharuskan oleh hukum syarak. Selain memanfaatkan harta yang dimiliki dengan kaedah yang diharuskan oleh syarak, ia akan menjadi lebih sempurna apabila diurus dan dirancang secara bijaksana. Sebagaimana galakan daripada Baginda Rasulullah yang menyebut dengan maksudnya, “Tiada patut bagi seorang muslim mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan dibiarkan hingga dua malam melainkan wasiatnya itu tertulis di sisinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Penulis :
Siti Shamsiah binti Md Supi, Pegawai Penyelidik Kanan dan
Nur Shakirah Mohamed Yasin, Pembantu Penyelidik
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)