Semaikan Nilai Islam Di Dalam Bersukan
Baru-baru ini heboh dalam dunia sukan badminton berkenaan pemain beregu badminton lelaki negara Malaysia yang kini bergelar pemain profesional iaitu Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei telah menjuarai badminton Terbuka China pada 22 September 2024 dan juga telah memenangi kejohanan Terbuka Finland pada 13 Oktober 2024 yang lalu.
Kemenangan ini bukan sahaja membuktikan pelbagai bangsa di dalam negara kita boleh bersatu dan bermain bersama, malah salah seorang pemain daripada mereka iaitu Nur Izzuddin Rumsani yang beragama Islam, mencuri tumpuan apabila pemakaian beliau ketika bermain menunjukkan bahawa agama Islam menitikberatkan soal aurat.
Secara umumnya, imej Islam diperhatikan dengan cara penampilan dan akhlak perilaku yang cukup menenangkan sekali gus dunia luar melihat orang Islam bukan sahaja bersifat baik malah turut menggegarkan dan menggentarkan atlet badminton dari negara yang lain kerana mereka juara dua kali kejohanan secara berturut-turut.
Sukan bukan sahaja merupakan satu aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan tetapi sukan dapat menyatukan rakyat Malaysia khususnya yang terdiri dari berbagai bangsa dan perbezaan fahaman politik. Kita dapat lihat apabila pasukan yang mewakili negara bertanding ianya akan disokong oleh seluruh rakyat Malaysia walau pun berbeza agama, bangsa dan fahaman politik.
Begitu juga, sukan Olimpik diadakan dengan tujuan untuk menyatukan manusia pelbagai negara, bangsa dan agama dalam semangat kesukanan dan persaingan yang sihat.
Malaysia mula menyertai Sukan Olimpik pada tahun 1964 dan semenjak itu sentiasa menghantar atletnya ke setiap temasya kecuali pada tahun 1980 apabila menyertai pemboikotan Sukan Olimpik Musim Panas 1980.
Namun, sepanjang penyertaan tersebut Malaysia masih belum berpeluang untuk memenangi sekalipun pingat emas. Secara keseluruhannya atlet Malaysia berjaya meraih 8 pingat Perak dan 13 pingat gangsa.
Pencapaian yang disifatkan terbaik bagi atlet Malaysia sepanjang tempoh penyertaan di temasya Olimpik adalah pada sukan Olimpik 2016 di Rio Brazil apabila berjaya membawa pulang lima pingat iaitu 4 pingat perak (3 acara badminton, 1 terjun) dan 1 pingat gangsa menerusi sukan berbasikal.
Baru-baru ini peruntukan lebih RM230 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025 bagi memantapkan ekosistem sukan negara. Jumlah ini meningkat sebanyak RM46 juta berbanding tahun lepas
Pada belanjawan 2024 memperuntukkan RM184 juta untuk industri sukan termasuk RM20 juta untuk program “Road to Gold (RTG)” yang diwujudkan bagi misi meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik baru-baru ini.
Jika dihitung dari tahun 1964 hingga sekarang sudah semestinya ianya melibatkan satu jumlah yang besar. Maka, besarlah harapan rakyat Malaysia khususnya kepada Menteri Belia dan Sukan agar dapat melihat Malaysia berjaya menggondol pingat emas yang pertama.
Sedikit perkongsian dan pengajaran untuk kita renung bersama mengenai Atlet Pakistan, Aeshad Nadeem yang mengungguli acara rejam lembing lelaki Olimpik di Paris.
Nadeem menang dengan rekod Olimpik dengan jarak 92.97 meter. Namun, apakah kisah di sebalik kejayaan beliau ini?
Di sebalik kejayaan ini ada kisah menarik yang mana beliau menggunakan dana sendiri hasil sumbangan daripada orang kampungnya. Arshad melakukan persiapan ala kadar ke Paris kerana tidak mampu membeli peralatan, tiada kemudahan latihan dan juga tidak mendapat tajaan daripada Kerajaan.
Bapanya memberitahu bahawa orang kampung bergotong-royong mengumpul dana bagi membolehkan Arshad meneruskan Latihan demi Impian menggenggam pingat di Olimpik Paris.
Rakan sekampung dan saudara mara sering menyumbang wang supaya dia dapat pergi ke bandar-bandar lain untuk latihan dan menyertai pertandingan.
Awal tahun ini, Arshad membuat rayuan di media sosial untuk mendapatkan lembing baharu untuk latihan .Ini membuktikan semangat kesukanan beliau dan orang-orang kampung yang kini berkembang ke pentas dunia walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk masalah pada siku, lutut dan belakang yang memerlukan pembedahan pada tahun lalu.
Jadi, tersemainya nilai-nilai Islam yang mana saling bantu membantu untuk meraih kejayaan. Perumpamaan orang-orang mukmin itu bagaikan satu tubuh saling mencintai, menyayangi, bantu-membantu bagi yang memerlukan.
Jika dilihat dari perspektif yang lain pula, sebagai contoh pemain bintang bola sepak yang beragama Islam Sadio Mane (Senegal) dan Mohamed Salah (Mesir) yang kaya-raya kerana berjaya menjadi pemain bintang di Eropah.
Hasil kekayaannya beliau membantu penduduk kampungnya sendiri iaitu untuk kebaikan penduduk tempatan. Mengikut laporan negara Senegal, Sadio Mane yang berasal dari Senegal telah membelanjakan sekitar USD 455,000 untuk pembangunan hospital dan sekolah yang dapat memanfaatkan penduduk setempat.
Disebabkan hal orang bukan Islam menghormati agama Islam dengan lebih tinggi kerana Islam mengajar umatnya dengan nilai mulia. Nilai Islam di dalam sukan seperti ini yang kita patut contohi kerana Islam mengajar kita untuk sentiasa bersedekah. Semakin banyak kita bersedekah ke Jalan Allah, semakin banyak pahala dan rezeki yang Allah beri kepada manusia.
Akhir kalam, imej dan dakwah Islam bukan sekadar kata-kata di dalam motivasi mahupun ceramah di masjid atau surau, malah dakwah ini boleh dimasukkan nilainya di dalam bidang apa sekalipun termasuk sukan. Sukan bukan hanya menyatukan rakyat, malah sukan juga dapat mendidik diri kita ke jalan yang diredhaiNya.