Tata Kelola Diri Kendali Teknologi
Lebih kurang sedekad terakhir kini, khasnya sejak peningkatan ketara aneka penggunaan media sosial, wacana awam menjadi semakin tidak terkawal.
Hampir tanpa kecuali, isu demi isu, daripada aib yang sangat peribadi dan melibatkan rahsia suami-isteri hingga kepada urusan yang bertaraf negeri seperti penggubalan RUU Mufti, lemas membanjiri.
Suka atau tidak, semakin nyata bahawa demokrasi yang diserapkan pada maklumat cenderung merosot membiakkan demo(n)cracy dalam masyarakat terbanyak.
Tidak dapat disangkal bahawa pelbagai pelantar medsos sesungguhnya hasil perkembangan pesat teknologi.
Teknologi selaku karya manusiawi dimaksudkan pada asalnya sebagai pemberdayaan insan agar apa yang pada mulanya tiadapat atau sukar diusahakan oleh insan akan akhirnya terhasil dengan alat buatan mereka.
Namun, sebagai olahan ilmu pengetahuan insani, teknologi juga diwatakkan oleh pembuat yang merekayasanya.
Justeru, teknologi dalam pengertian sedemikian bukan bebas nilai; sebaliknya, teknologi mengandungi kedua-dua nilai sekali gus, baik dan buruk!
Sekiranya teknologi diumpamakan dengan pisau, pisau bernilai sebagai “alat yang berguna” sekali gus “senjata yang berbahaya.”
Yang akhirnya menzahirkan nilai atau sifat sebenar pisau tersebut ialah insan yang menggunakannya.
“…jikalau yang menggunakannya itu manusia yang baik maka pisau itu ‘alat yang berguna’—jikalau yang menggunakannya itu manusia jahat maka pisau itu ‘senjata yang berbahaya’.”
Begitulah penegasan lebih daripada 5 dekad yang lalu dalam perenggan ke-15 Risalah untuk Kaum Musliminnya oleh Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, yang pada 23 Oktober 2024 dianugerahi oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai penyandang pertama gelaran Profesor Diraja Terpuji (Royal Laureate Professor).
Oleh sebab itu, masalah hakiki yang mengharung kita sejak dahulu ialah diri insan yang perlu dididik menjadi peribadi yang terkendali dengan baik.
Didikan tersebut terkandung secara hakiki dalam ilmu akhlak (‘ilm al-akhlaq) yang sebenarnya ialah ‘ilm tadbir al-nafs, iaitu ilmu tata kelola diri sendiri.
Dalam disiplin ilmu Islam, ilmu mengurus diri sedemikian menjadi asas yang berterusan menunjangi dan menyerapi lapisan-luasan ilmu berikutnya, iaitu ekonomi (‘ilm tadbir al-manzil) yang berfokuskan tata kelola keluarga, termasuk saraan dan pemenuhan keperluannya, dan kemudiannya politik (‘ilm al-siyasah, ‘ilm tadbir al-madinah atau ‘ilm tadbir al-khilafah) yang berpusatkan pengurusan masyarakat, kota dan negara.
Sekiranya teras dan tunjang sebenar ini diakui, tumpuan utama dan tenaga terbesar kita akan dialihkan bukan kepada masyarakat (diri orang-orang lain) dan peraturan demi peraturan (undang-undang), tetapi kepada kendiri masing-masing yang harus dikendalikan tanpa henti.
Inilah sesungguhnya perjuangan yang sukar dan berpanjangan bagi setiap diri insan, sebagaimana yang diakui oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW lewat pengisytiharan Baginda al-jihad al-akbar.
Malangnya, bilangan terbesar daripada kita cenderung melarikan diri daripada pertarungan yang sukar sebegitu dan gembira pula digula-gulakan dengan tawaran penyelesaian yang sangat sementara! Akhirnya, yang berleluasa dan tiada berkesudahan ialah rentetan dan rangkaian bantahan, keresahan, keluhan, rungutan dan kerisauan yang dengan penuh amarah diluahkan melalui saluran bikinan manusia sendiri—medsos.